SIDANG MEDIA KHAS YAB KETUA MENTERI SARAWAK
8 MEI 2020 @ 3.00 PETANG
BANTUAN KHAS SARAWAKKU SAYANG (BKSS) 3.0
Bantuan Rakyat Yang Lebih Inklusif
Bismillahhirrahmannirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Pertama kali saya ingin memanjat syukur ke hadrat Allah SWT kerana berkat limpah kurnianya, kita dapat sama-sama berjumpa sekali lagi. Saya berharap anda semua sentiasa diberi kesihatandan keselamatan.
Sekarang adalah masa yang sangat mencabar bagi kita kerana banyak industri dan perniagaan tidak dapat beroperasi seperti biasa. Ramai telah kehilangan punca pendapatan. Ini secara langsung telah menjejaskan kehidupan seharian masyarakat secara keseluruhannya bukan sahaja di Sarawak bahkan di seluruh Malaysia dan dunia.
Walaupun Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), aktiviti perniagaan masih tidak dapat dilakukan seperti biasa.Ramai masih lagi mengambil sikap berhati-hati. Namun, kita perlu bersedia menyesuaikan diri dengan norma baharuini dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengekang penyebaran wabak COVID-19.
Pada 23 Mac 2020 yang lalu, saya telah mengumumkan BKSS 1.0 dan diikuti oleh BKSS 2.0 pada 10 April 2020. Secara keseluruhannya, kedua-dua Pakej ini yang berjumlah RM2.25 bilionadalah bertujuan untuk meringankan beban kewangan rakyat, para peniaga dan industri, akibat wabak COVID 19.
Langkah-langkah yang telah saya diumumkan dalam Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 1 dan 2 yang lepas, meliputi:
(1) Pembayaran tunai kepada rakyat golongan B40;
(2) Penangguhan pembayaran pinjaman dan pinjaman mudah tanpa faedah untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS);
(3) Diskaun bil utiliti untuk pengguna di Sarawak;
(4) Pengecualian bayaran lesen perniagaan serta diskaun sewa gerai untuk para peniaga; dan
(5) Bayaran insentif bulanan untuk kakitangan barisan hadapan yang terlibat dalam menangani wabak COVID-19.
Saya percaya langkah-langkah ini telah memberi sedikit kelegaan kepada rakyat dan para peniaga serta pemain industri dalam menghadapi kesukaran disebabkan oleh COVID-19.
Sehubungan itu, saya dengan sukacitanya ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan beberapa pencapaian pelaksanaan BKSS 1.0 dan BKSS 2.0 yang telah dilaksanakan:
(1) Pembayaran tunai fasa pertama untuk kumpulan B40 di bawah BKSS 1.0 berjumlah RM97.7 juta telah dikreditkan ke akaun bank 391,037penerima bantuan pada 15 April 2020. Bagi 15,206 penerima bantuan yang tidak mempunyai akaun bank, tuntutan secara tunai melalui BSN boleh dibuat mulai17 April 2020;
(2) Sejumlah RM3.2 juta telah dikreditkanke 12,856 akaun penerima barisan hadapan yang terdiri daripada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Imigresen, Angkatan Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia pada 27 April 2020;
(3) Lebih 10,000peniaga dan penjaja yang menyewa pasar dan gerai di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mendapat manfaat daripada pengecualian bayaran permit dan lesen perniagaan dan diskaun 50% untuk penyewaan pasar dan gerai yang berkuatkuasa pada 1 April 2020 hingga 30 September 2020;
(4) 2 juta topeng muka percuma telah diedarkan kepada rakyat sejak 17 April 2020;
(5) 8,575penyewa flat Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) telah mendapat manfaat daripada penangguhan sewa sejak April 2020.
(6) 28,377Ketua Isi Rumah termasuk 85,000 ahli keluarga mereka telah mendapat manfaat daripada moratorium Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) atas semua pembayaran pinjaman perumahan dan rumah panjang dan caj penyelenggaraan untuk projek perumahan selama 6 bulan mulai April 2020;
(7) 144Pengusaha Kecil dan Sederhana di Sarawak telah mendapat manfaat daripada penangguhan pinjaman Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) mulai April 2020;
(8) 1,800 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan telah menerima Pembayaran Geran Khas Fasa Pertama bernilai RM750 melalui Sarawak Pay pada 30 April 2020;
(9) 366 permohonan telah diterima di bawah Skim Kredit Mikro Sarawak yang melibatkan dana berjumlah RM14.48 juta;
(10) Lebih daripada 3,000Pengusaha Kecil dan Sederhana seluruh Sarawak telah memohon program SME Special Relief Fundyang melibatkan dana berjumlahRM1.3 bilion. Setakat ini lebih daripada RM539 jutatelah diluluskan dan baki permohonan masih lagi menunggu kelulusan Bank Negara Malaysia; dan
(11) Selain melaksanakan inisiatif BKSS 2020, Kerajaan Sarawak juga telah melaksanakan Program Pengagihan Bantuan Makanan di seluruh Sarawak dan telah memberi manfaat kepada 380,568Ketua Isi Rumah.
Saya telah menerima banyak maklumbalas yang positif berkaitan dengan Bantuan Khas Sarawakku Sayang ini. Bantuan yang diterima sedikit sebanyak telah meringankan beban kewangan dan membolehkan mereka untuk meneruskan kehidupan dan aktiviti perniagaan masing-masing.
Saya juga mengambil maklum masih ada rakyat Sarawak yang memerlukan bantuan dalam menghadapi keadaan yang sukar ini. Ini kerana PKP telah dilanjutkan sebanyak 3 kali sejak 18 Mac 2020.
Sebagai Kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, kita sangat prihatin dengan cabaran dan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat.
Setelah mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan dalam Kabinet dan berdasarkan maklumbalas daripada pelbagai pihak, pada petang ini saya akan mengumumkanBantuan Khas Sarawakku Sayang 2020 yang ketiga atau BKSS 3.0.
BKSS 3.0 mengandungi 7 langkah tambahanyang lebih inklusif untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat di Sarawak.
LANGKAH 1: INSENTIF UNTUK KETUA ISI RUMAH B40 TERMASUK BUJANG BERUMUR 21 TAHUN KE ATAS YANG BERPENDAPATAN RM2,000 SEBULAN DAN KE BAWAH DI SARAWAK
Dalam pengumuman BKSS 1.0 sebelum ini, Ketua Isi Rumah kategori B40 di Sarawak yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah diberi bantuan tunai bulanan sebanyak RM250 selama 6 bulan.
Pada masa yang sama, Kerajaan Sarawak telah menerima banyak maklum balas daripada Ketua Isi Rumah yang layak tetapi tidak tersenarai dalam BKSS 1.0.
Sehubungan ini, Kerajaan Sarawak telah membuka peluang bagi Ketua Isi Rumah yang layak untuk membuat rayuan secara atas talian atau melalui Pejabat Daerah yang berhampiran mulai 18 April sehingga 28 April 2020.
Berdasarkan rayuan tersebut, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan menyalurkan bantuan pembayaran secara tunaisebanyak RM1,500 kepada anggaran 30,000Ketua Isi Rumah yang sebelum ini tidak tersenarai di bawah BKSS 1.0.
Saya juga dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan memberi bayaran tunai secara one-off iaitu sekali sebanyak RM500 kepada 377,806 individu bujang yang berumur 21 tahun ke atas yangberpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.
Langkah ini dijangka akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM234.0 juta.
LANGKAH 2: TAMBAHAN UNTUK GERAN KHAS RM750 KEPADA PENJAJADAN PENIAGA KECIL YANG BERDAFTAR DENGAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN MELALUI SARAWAK PAY
Dalam BKSS 2.0, saya telah mengumumkan Geran Khas berjumlah RM1,500 kepada para penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan yang akan dibayar secara 2 peringkat iaitu RM750pada bulan Mei dan RM750 pada bulan Julai 2020.
Memandangkan para penjaja dan peniaga kecil merupakan golongan yang paling terkesan oleh wabak ini, sukacita saya mengumumkan Kerajaan Sarawak akan menambahGeran Khas ini selama sebulan lagi iaitu sebanyak RM750 kepada mereka.
Dengan tambahan ini, setiap penjaja dan peniaga kecilakan menerima secara keseluruhannya sejumlah RM2,250melalui Geran Khas ini. Saya berharap tambahan sebulan lagi akan membantu golongan ini yang terjejas dari segi pendapatan pada masa ini.
Bantuan Geran Khas ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM48.75 juta.
Dalam BKSS1.0, saya telah mengumumkan Elaun Bulanan Khas kepada petugas barisan hadapan yang menanganiwabak COVID-19, iaitu kakitangan Perubatan, Imigresen dan PDRM, petugas Bilik Gerakan Negeri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan anggota RELA sebagai penghargaan atas sumbangan dan pengorbanan mereka.
Kerajaan Sarawak juga amat menghargai sumbangan dan pengorbanan anggota barisan hadapan lain yang turut terlibatsecara langsung dalam pengurusan wabak COVID-19 dan terdedah kepada risiko jangkitan semasa menjalankan tugas di Sarawak.
Dalam hal ini, saya telah bersetuju supaya Elaun Bulanan Khas kepada petugas barisan hadapan sebanyak RM200untuk enam bulan juga diberikan kepada:
(1) 358anggota Kastam DiRaja Malaysia yang menjalankan tugas di semua pintu masuk sempadan, pelabuhan dan lapangan terbang di seluruh Sarawak;
(2) 870 kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan yang membantu melaksanakan tugas perkhidmatan kecemasan, kerja-kerja pemeriksaan dan sanitasi di seluruh Sarawak;
(3) 887anggotaBOMBA danPenyelamatdalam menjalankan perkhidmatan kecemasan dan kerja-kerja sanitasi, khususnya di kawasan berisiko tinggi; dan
(4) 500anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang membantu pihak PDRM dan ATM dalam memastikan pelaksanaan PKP dipatuhi sepenuhnya.
Kerajaan Sarawak akan membelanjakan RM3.2 juta untuk membayar Elaun Bulanan Khas ini.
LANGKAH 4: INSENTIF UNTUK PEMILIK DAN PENGENDALI PENAMBANG YANG BERDAFTAR DENGAN LEMBAGA SUNGAI-SUNGAI SARAWAK (SRB)
Penularan wabak COVID-19 telah menyebabkan penurunan drastik pengguna penambang khususnya para pelancong. Ini telah menjejaskan pendapatan pemilik dan pengendali penambang di seluruh Sarawak.
Kerajaan Sarawak prihatin dengan nasib pengusaha penambang. Oleh itu, bantuan tunai secara one-off iaitu sekali sebanyak RM500akan diberi kepada pemilik dan pengendali penambang berdaftar di Sarawak.
Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 199 pemilik dan pengendali penambangdan diharap dapat mengurangkan beban kewangan mereka.
Langkah ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM99,500.
LANGKAH 5: INSENTIF UNTUK PENGENDALI VAN PENUMPANG, PEMANDU TEKSI, PENGENDALI BAS DAN VAN SEKOLAH YANG BERDAFTAR DI SARAWAK
Kerajaan Sarawak amat prihatin dengan kehilangan punca pendapatan pengendali van penumpang, pemandu teksi, pengendali bas dan van sekolah yang berdaftar di Sarawak akibat wabak ini.
Kerajaan Sarawak menghargai sumbangan mereka dalam membantu urusan sehariankita. Mereka menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pelajar – pelajar sekolah kita, para pelawat dan pelancong yang datang ke Sarawak dan rakyat tempatan yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan.
Oleh yang demikian, Kerajaan Sarawak akan menyediakan bantuan kewangan secara one-off iaitu sekali sebanyak RM600 kepada 959 pengendali van penumpang, 1,976 pemandu teksi dan 739 pengendali bas dan van sekolah yang berdaftar di Sarawak.
Bantuan ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM2.20 juta.
LANGKAH 6: GERAN KHAS KEPADA PEMANDU PELANCONG DAN PEMANDU PELANCONG TAMAN NEGARA YANG BERLESEN
Industri pelancongan merupakan industri yang paling terjejas akibat wabak COVID-19. Perkara ini telah menyebabkan agensi pelancongan di Sarawak kehilangan sumber pendapatan kerana pembatalan lawatan oleh pelancong dan tidak ada tempahan untuk 6 bulan yang akan datang.
Oleh yang demikian, Pemandu Pelancong dan Pemandu Pelancong Taman Negara di Sarawak turut terkesan akibat situasi ini dan ramai mungkin akan hilang pekerjaan dan punca pendapatan.
Bagi meringankan beban kewangan mereka, Kerajaan Sarawak akan memberi Geran Khas secara one-off iaitu sekali sebanyak RM1,500 kepada 145 Pemandu Pelancong dan 113 Pemandu Pelancong Taman Negara yang berdaftar di Sarawak.
Pemberian Geran Khas ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM387,000.
LANGKAH 7: PERKHIDMATAN CAWANGAN BANK BERGERAK BSN YANG DILENGKAPI DENGAN MESIN ATM MEPS KE KAWASAN LUAR BANDAR
Untuk meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah:
(1) Kerajaan Sarawak telah memberi bantuan tunai melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS); manakala
(2) Kerajaan Persekutuan pula melalui Bantuan Sara Hidup (BSH) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Bantuan tunai ini disalurkan melalui perkhidmatan bank khususnya Bank Simpanan Nasional (BSN).
Namun, terdapat rakyat di kawasan luar bandar mengalami kesukaran untuk mendapat akses kepada perkhidmatan bank kerana tidak ada perkhidmatan bank di luar bandar.
Untuk mengatasi masalah penduduk luar bandar ini, saya telah membuat initiatif untuk bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional dan beberapa institusi kewangan lain untuk menyediakan perkhidmatan perbankan mereka ke kawasan luar bandar.
Saya ingin memaklumkan bahawa Perkhidmatan Cawangan Bank Bergerak yang dilengkapi dengan Mesin ATM MEPS akan beroperasi di luar bandar Sarawak.
Oleh yang demikian, Kerajaan Sarawak akan memperuntukkan RM1.6 millionsebagai perbelanjaan modal kepada BSN bagi mengendalikan Perkhidmatan Cawangan Bank Bergerak untuk memberi perkhidmatan perbankan kepada masyarakat di luar bandar Sarawak.
Sebagai permulaan, kaunter bergerak BSN akan beroperasi di Pakan, Sarikei pada 10 hingga 11 Mei 2020 dan perkhidmatan ini akan diperluaskan lagi ke kawasanlain di luar bandar Sarawak.
Saya juga ingin mengumumkan bantuan one-off RM1500 kepada ahli-ahli media (anggaran 500 ahli) untuk menghargai sumbangan media.
IMPLIKASI KEWANGAN
Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang(BKSS) 3.0 akan melibatkan suntikan dana berjumlah RM0.30 bilion (RM300 juta) kepada ekonomi Sarawak. Suntikan dana ini merupakan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sepenuhnya.
Secara keseluruhannya, jumlah suntikan dana kepada ekonomi Sarawak melalui Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 2020 adalah berjumlah RM2.55 bilion iaitu melalui:
(1) BKSS 1.0 berjumlah RM1.15 bilion;
(2) BKSS 2.0 berjumlah RM1.11 bilion; dan
(3) BKSS 3.0 berjumlah RM0.30 bilion.
KESIMPULAN
Saya berharap Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 3.0 dapat meringankan beban kewangan rakyat dan para peniaga yang terkesan akibat wabak ini. Dalam keadaan yang sukar sekarang ini, saya juga berharap bantuan ini dapat membantu memulihkan ekonomi kita dan dapat menyediakan landasan yang kukuh untuk terus makmur pada masa hadapan.