TEKS UCAPAN
YAB KETUA MENTERI SARAWAK
SEMPENA HARI KEBANGSAAN 2016
PERINGKAT NEGERI SARAWAK
SRI AMAN
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud
Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib
Bagi pihak rakyat sekalian, saya mengucapkan terima kasih kepada Tun dan Toh Puan kerana sudi bersama rakyat sekalian untuk meraikan Hari Kebangsaan pada tahun ini di Sri Aman.
Tun sudah melihat kesemuanya berlaku semenjak Sarawak diberi kuasa oleh Kerajaan British untuk memerintah diri pada bulan 22 Julai 1963 dan pembentukan Malaysia dua bulan lebih kemudian pada 16 September 1963. Tun adalah antara ahli Kabinet pertama Negeri Sarawak setelah negeri ini mendapat kuasa “self-rule”.
After a brief spell of political instability in 1987 you have created Sarawak which is stable, united and progressive. Sir, the emergence of a modern Sarawak is the legacy of your era as the fourth Chief Minister of Sarawak.
Tun, sekarang saya mohon berucap kepada rakyat sekalian.
Mulai tahun lepas, perayaan untuk meraikan hari kemerdekaan negara ini tidak dinamakan lagi sebagai Perayaan Hari Kemerdekaan. Sambutan Hari Kemerdekaan Negara dinamakan Sambutan Hari Kebangsaan memandangkan tarikh kemerdekaan Negeri Sarawak dan semenanjung daripada penjajahan Kerajaan British tidak sama. Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana menghormati sentimen rakyat di Sarawak;
Pada tahun ini, genaplah Negeri Sarawak mencapai 53 tahun menjadi sebahagian daripada Malaysia yang merdeka. Kita amat bersyukur kerana rakyat dan pemimipin daripada pelbagai latarbelakang bangsa dan agama sentiasa bersama untuk memastikan negara kita terus aman dan mampu mencapai tahap pembangunan yang diimpi-impikan. Pada hemat saya ini amat selaras dengan tema Hari Kebangsaan kita SehatiSejiwa.
Saya amat berbangga perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak pada tahun ini dapat dibawa sekali lagi ke tempat yang jauh daripada pusat bandar raya. Ini amat bermakna dalam usaha kita menumpukan perhatian terhadap pembangunan di kawasan-kawasan yang jauh dari pusat-pusat bandar besar di negeri ini. Rakyat kita di luar bandar memerlukan lebih perhatian dan pembelaan.
Tidak dapat dinafikan dalam tempoh 53 tahun ini Sarawak mencapai banyak pembangunan kerana para pemimpin kita dahulu dan sekarang meletakkan Sarawak dan Malaysia keseluruhannya pada landasan yang betul untuk bergerak maju dan memberi nikmat kemerdekaan kepada rakyat.
Sarawak ketika ini merupakan penyumbang ketiga teratas kepada ekonomi Malaysia dengan nilai KDNK semasa sebanyak RM122 bilion pada tahun 2015 dan pendapatan per kapita Sarawak pada tahun 2015 ialah RM45,000.
Perbelanjaan yang berhemat membolehkan ekonomi Sarawak diiktiraf mempunyai “clean bill of health” untuk tempoh 13 tahun berturut-turut di samping mempunyai “surplus” bajet mulai tahun 2003 dan diberi penarafan “credit rating” yang tinggi oleh agensi penarafan antarabangsa.
Untuk memastikan Negeri Sarawak terus maju dan progresif, Kerajaan Negeri kini melaksanakan Sarawak Socio Economic Transformation Plan (SETP) iaitu pelan jangka panjang sehingga tahun 2030 yang komprehensif, seimbang dan bersepadu. Ianya bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan pendapatan, mengurangkan jurang pendapatan rakyat dan seterusnya membawa Sarawak ke arah negeri maju berpendapatan tinggi pada tahun 2030.
Kita amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana melaksanakan Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat Sarawak. Saya amat berharap projek ini akan melonjakkan ekonomi Negeri Sarawak seperti impak Lebuh Raya Utara-Selatan kepada ekonomi Semenanjung Malaysia.
Walaupun Sarawak sudah mencapai banyak kejayaan, masih banyak lagi yang perlu dilakukan agar negeri ini setanding dengan tahap pembangunan di negeri-negeri lain di Malaysia, khususnya Semenanjung Malaysia. Sarawak ialah sebuah negeri yang besar dengan jumlah penduduk yang kecil dan berselerak. Kawasan pedalaman dan pesisiran pantainya adalah kawasan yang sukar untuk diterokai dan dibawa ke dalam arus pembangunan.
Oleh yang demikian, kawasan luar bandar di Sarawak jauh ketinggalan dari segi infrastruktur dan kemudahan-kemudahan awam untuk manfaat rakyat terutama sekali di kawasan luar bandar, pedalaman dan pesisiran pantai. Terdapat jurang ekonomi yang besar antara kawasan bandar dan luar bandar di Negeri Sarawak yang mesti diberi perhatian yang serius.
Kemudahan-kemudahan yang terdapat di luar bandar sekarang tidak mencukupi untuk memboleh rakyat mengecapi kehidupan yang selesa seperti di bandar. Rakyat luar bandar memerlukan bekalan letrik, bekalan air bersih, jalan raya, jambatan, klinik, sekolah dan kemudahan-kemudahan lain. Selepas 53 tahun kita mahu diberi perhatian yang khusus oleh para pentadbir di Putrajaya. Kita tidak mahu lagi ada sekolah yang ”terjun” ke dalam sungai, ada sekolah yang tidak ada bekalan elektrik 24 jam, ada sekolah yang hanya boleh didatangi dengan berjalan dalam lumpur dan tanah becak.
Sebagai usaha untuk merapatkan jurang perbezaan antara bandar dan luar di Negeri Sarawak, Kerajaan Negeri telah melulus dan sedang membelanjakan RM1 bilion pada tahun 2015 dan 2016 untuk menyediakan kemudahan-kemudahan infrastruktur dan kemudahan-kemudahan asas untuk manfaat rakyat di kawasan luar bandar. Sarawak memperuntukkan wangnya sendiri untuk tujuan ini kerana peruntukkan dari Putrajaya selalunya tidak mencukupi dan mengambil masa yang lama untuk diluluskan dan disalurkan kepada Sarawak.
Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kita telah melaksanakan 53 prinsip dan tindakan untuk kepentingan rakyat sekalian. Saya berterima kasih kepada rakyat kerana menyambut baik kebanyakan daripada 53 prinsip dan tindakan ini. Antaranya, kita tidak mahu orang Dayak di Negeri Sarawak dikategorikan sebagai ”lain-lain” dalam borang-borang rasmi.
Saya percaya ini bukan sekadar isu semantik atau suatu perkataan semata-mata. Ini melibatkan maruah orang-orang Dayak yang cukup kaya dengan budaya, tradisi dan adat resam mereka yang diwarisi sejak turun temurun.
Kita juga mahu supaya masyarakat di luar Sarawak memahami bahawa komposisi kaum di Sarawak bukanlah seperti di Semenanjung di mana kaum Bumiputeranya ialah 99% Melayu lebih daripada dan kesemuanya beragama Islam. Di Sarawak kaum Bumiputera bukan kesemuanya Melayunya dan beragama Islam. Hanya 23 % daripada jumlah penduduknya adalah Melayu manakala hampir 50 % adalah Bumiputera bukan-Melayu dan bukan-Islam. Dasar-dasar yang digubal oleh Kerajaan Persekutuan hendaklah mengambil kira faktor ini di Sarawak.
Agama tidak pernah menjadi isu yang boleh memecah belahkan rakyat di Negeri Sarawak. Orang Kristian boleh menggunakan perkataan ”Allah” dan kitab Bible boleh menggunakan Bahasa Malaysia.
Sarawak juga mempunyai tanggungjawab untuk memperkukuhkan Persekutuan Malaysia. Kita menuntut hak Sarawak seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, Malaysia Agreement 1963, Malaysia Act, Inter-Governmental Reports and Recommendations dan Cobbold Commission Report bukan beerti kita mahu melemahkan Persekutuan Malaysia. Malah kesediaan Perdana Menteri untuk berunding dengan Sarawak dalam usaha menurunkan kuasa dan mengembalikan kuasa-kuasa Sarawak yang sudah terhakis selama ini akan menyemarakan lagi semangat Sarawak untuk mempastikan Malaysia terus kukuh.
Kita mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mempunyai pemikiran terbuka terhadap permintaan Sarawak.
Kita juga mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS kerana menghormati permintaan Sarawak dan sedia berunding agar negeri ini mendapat lebih manfaat daripada sumber minyak dan gasnya. Beberapa hari yang lepas Petronas bersetuju dengan tujuh perkara yang diminta oleh Sarawak. Ini merupakan satu permulaan kerana kita akan terus mengadakan rundingan dengan PETRONAS mengenai royalti dan perkara-perkara lain.
Selama ini tiada anak Sarawak dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah PETRONAS. Selepas berunding PETRONAS bersetuju supaya Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak dilantik sebagai wakil Sarawak. PETRONAS juga bersetuju lebih ramai anak Sarawak dilantik sebagai pengurus, dilantik ke jawatan di peringkat pengurusan dan eksekutif.
PETRONAS juga telah menyatakan komitmennya untuk menyokong industri hiliran atau downstream industries dalam sektor petrochemical. PETRONAS akan mempertingkatkan penyertaan anak-anak Sarawak dalam latihan teknikal anjurannyadi seluruh negara disamping menyedia tempat untuk anak-anak Sarawak di Universiti Teknologi PETRONAS di Perak.
Hari Kebangsaan yang diadakan tiap-tiap tahun harus memperkuatkan impian kita untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang aman, makmur dan damai. Sarawak mempunyai impian yang tinggi untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia yang maju, progressif dan sejahtera. Kita mungkin berbeza pendapat tetapi tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan jika kita berunding dengan cara yang rasional.
Be proud of our National Flag Jalur Gemilang and fly them at your places in conjunction with our Hari Kebangsaan. We have been in Malaysia for 53 years, we are Malaysia now, and we will be Malaysia forever.
Marilah kita sama-sama berdoa agar Malaysia terus sejahtera dan sentiasa dilimpahkan rahmat oleh Allah SWT.
Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2016. Terima kasih.