Speeches

 

Perutusan Premier Sarawak Sempena Gawai Dayak 2022

01 Jun 2022

Click here for Perutusan Premier Sarawak sempena Gawai Dayak 2022 pdf files.

 

PERUTUSAN PREMIER SARAWAK

SEMPENA

GAWAI DAYAK 2022

 

Salam sejahtera

Salam Sarawakku Sayang

Bagi pihak saya sendiri dan keluarga, saya ingin mengucapkan selamat Hari Gawai 2022 kepada rakan-rakan dan anak Sarawak berketurunan Dayak yang menyambut Gawai pada tahun ini.

Kita sama-sama mengucapkan syukur kepada Tuhan yang memberi kita keizinan dan limpah kurnia yang membolehkan saudara dan saudari merayakan Gawai dalam suasana yang ceria dan aman setelah dua tahun dikongkong oleh COVID-19.

Semua kenikmatan ini adalah berkat usaha gigih yang telah dijalankan oleh semua pihak di bawah kepimpinan SDMC dan dengan kerjasama rakyat jelata. Penularan COVID-19 di Sarawak telah dapat dikekang dan program pemberian vaksin dilaksanakan dengan jayanya. Terima kasih kepada semua yang sentiasa ingin patuh kepada SOP supaya dijauhi daripada jangkitan COVID-19.

Saudara dan saudari sekalian,

Seperti pada perayaan-perayaan lain, inilah musimnya saudara dan saudari balik ke kampung halaman atau rumah panjang masing-masing untuk merayakan Gawai di samping keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai.

Saya percaya ramai antara saudara dan saudari yang lama sudah tidak merayakan Gawai di rumah panjang dan kampung kerana kekangan COVID-19. SOP perayaan untuk Gawai pada kali ini membolehkan saudara dan saudari berkunjung antara satu sama lain atau ngabang namun jika kita merasa kurang sihat atau bergejala, elakkanlah untuk keluar ke tempat-tempat lain dan beradalah di rumah sehingga keadaan mengizinkan.

Di samping itu, berhati-hatilah selalu ketika bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain mengunakan kenderaan darat atau air. Pastikan kenderaan selamat digunakan dan pandulah dengan tenang dan semoga anda sentiasa selamat sampai ke destinasi masing-masing.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

Gawai Dayak telah diinstitusikan sebagai usaha untuk membina identiti kaum Dayak di Sarawak dan menjadi satu titik penyatuan kaum Dayak.  Oleh itu, saya amat berharap musim perayaan ini, dalam suasana yang santai boleh menjadi wadah untuk bertukar-tukar fikiran dan pendapat dalam usaha memperkukuhkan perpaduan dan iltizam kaum Dayak ke arah penglibatan yang lebih aktif dalam proses pembangunan negeri ini.

Kaum Dayak mempunyai asset yang besar dalam bentuk pemilikan tanah yang harus diberi keupayaan untuk menjana pendapatan dengan membangunkannya dari segi pertanian atau agroforestry atau keusahawanan yang lain. Pendek kata, ceburilah bidang pertanian sebagai suatu perniagaan supaya ia mampu memberi keuntungan kepada saudara dan saudari.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

Kerajaan GPS telah diberi mandat yang besar oleh rakyat pada PRN12 untuk meneruskan usaha untuk  membangunkan Sarawak bagi tempoh lima tahun lagi. Kerajaan GPS memikul tanggungjawab yang berat untuk mempastikan Sarawak sentiasa berada di hadapan di era pembangunan yang dipacu oleh teknologi digital dan hijau di samping mempertingkatkan kemudahan infrastruktur jalan raya dan Internet di seluruh negeri.

Kerajaan GPS pimpinan saya juga adalah sebuah kerajaan yang meletakkan komitmen yang tinggi terhadap menyesuaikan Sarawak dan memastikan negeri ini sentiasa memainkan peranan utama bersama komuniti sejagat untuk mengekang perubahan iklim dunia sejajar dengan Perjanjian Paris.

Pindaan-pindaan kepada Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Ordinan Perhutanan pada persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini adalah langkah kehadapan ke arah pengurangan gas-gas rumah hijau yang juga memberi kemungkinan kepada negeri ini untuk menambahkan hasilnya.

Pindaan kepada Ordinan tersebut bertujuan untuk menyediakan kerangka perundangan bagi menguruskan stok karbon yang tersimpan pada inventori hutan negeri ini. Saya yakin langkah ini akan membuka laluan  kepada negeri kita untuk terlibat dalam perniagaan karbon atau carbon trading yang berpontensi memberi pulangan hasil kepada Sarawak.

Pindaan kepada Kanun Tanah Negeri juga merupakan langkah ke hadapan bagi mempersiapkan Sarawak untuk terlibat dalam aktiviti mengekang pertambahan gas karbon dioksida di udara yang menjadi penyebab kepada kenaikan suhu pada iklim dunia melalui teknologi carbon capture and Storage (CCS).

Keperluan untuk menyediakan tempat dalam perut bumi bagi tujuan menstor gas tersebut yang dihasilkan oleh industri sebelum ianya dilepaskan ke udara juga akan memberi peluang kepada Sarawak untuk mendapatkan pulangan hasil yang agak lumayan.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

Saya yakin, langkah-langkah yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan GPS dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini untuk memperkukuhkan ekonomi negeri ini, termasuk langkah-langkah yang terbaharu ini, akan menambahkan lagi hasil negeri Sarawak.

Sekarang ini Sarawak mempunyai rizab kewangan yang terbesar antara negeri-negeri dan pertambahan kepada simpanan negeri ini harus dilaburkan semula sebahagiannya untuk memberi pulangan hasil untuk memberi manfaat kepada generasi akan datang melalui sebuah dana yang dinamakan sovereign wealth fund.

Ordinan untuk membolehkan penubuhan dana tersebut yang bermodelkan Government Pension Fund Global Norway akan dibentangkan pada persidangan DUN November hadapan. Saya menjangkakan dana ini, jika tidak ada aral melintang, akan mula beroperasi pada tahun 2024.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

Masa hadapan Sarawak amat cerah. Negeri kita mempunyai banyak sumber yang boleh dimanfaatkan untuk menjadikan Sarawak sebuah kuasa ekonomi di negara dan juga di rantau ini.

Ramai pelabur ingin datang untuk melabur di negeri ini kerana kita mempunyai kelebihan dari segi kestabilan politik dan perpaduan rakyat yang berbilang bangsa, keturunan dan agama atas dasar saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Oleh, itu saya amat berharap agar seluruh Anak Sarawak terus bersatu ke arah meletakkan Sarawak ditempat yang tertinggi sebagai sebuah wilayah yang progresif lagi dinamik pembangunan ekonomi dan sosialnya.

Akhir kata, sekali lagi saya dan isteri, Datuk Amar Hajjah Juma’ani mengucapkan Selamat Hari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai Lantang Senang Nguan Menua kepada seluruh masyarakat Dayak yang merayakan Gawai.

Sekian. Terima kasih.

Speech By : YAB Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg
Speech Venue : Kuching Sarawak