News

 

1,750 pelari dijangka sertai IEM Engineers Run 2025

Posted on 25 Nov 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

Abang Johari (tengah), Angelia (empat kiri) bersama ahli IEM yang lainnya merakamkan kenangan ketika kunjungan hormat, hari ini. - Gambar UKAS
Abang Johari (tengah), Angelia (empat kiri) bersama ahli IEM yang lainnya merakam kenangan ketika kunjungan hormat, hari ini. - Gambar UKAS

KUCHING: Seramai 1,750 pelari dijangka menyertai IEM Engineers Run 2025 yang akan berlangsung pada 30 November ini di PETROS, Batu Kawa, menjadikannya antara penyertaan terbesar sejak acara itu dianjurkan.

Pengerusi IEM Cawangan Sarawak Ir Dr Angelia Liew San Chuin berkata, acara tahunan dan program 'flagship' IEM itu akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

“Acara yang akan datang, iaitu IEM Engineers Run 2025 pada Ahad ini di PETROS, Batu Kawa akan diserta kira-kira 1,750 pelari, menjadikannya penyertaan terbesar sejak acara ini dianjurkan,” katanya dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Petra Jaya, hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, Angelia turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Premier Sarawak untuk menghadiri Majlis Makan Malam Tahunan IEM Sarawak 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 19 Disember ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), yang dijangka menghimpunkan 1,300 tetamu.

Beliau menambah, pada tahun hadapan Sarawak juga akan menjadi tuan rumah kepada Federation of Institutions of Engineering for Asia and the Pacific (FEIAP) yang menghimpunkan 23 ekonomi anggota termasuk Malaysia, Singapura, Australia, Hong Kong, Indonesia, China dan anggota baharu dari Dubai.

Katanya, satu lagi kunjungan hormat kepada Premier Sarawak akan diadakan awal tahun depan bagi menyerahkan jemputan rasmi serta memberi taklimat terperinci mengenai program FEIAP.

Hadir sama dalam kunjungan itu ialah Timbalan Pengerusi I Datu Ir Dr Cassidy Morris serta delegasi IEM Cawangan Sarawak.

  •  oleh 
    Utusan Borneo