
KUCHING: Songket dan keringkam bukan sekadar perhiasan, malah identiti Melayu merentasi generasi, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurutnya, sejak berabad lamanya, masyarakat Melayu khasnya wanita Melayu telah mengangkat tekstil ini dekat dengan hati mereka yang mana setiap helainya membawa makna kepunyaan, asal-usul, keturunan dan warisan.
"Justeru hari ini, kita berkumpul bagi menghormati Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang, seorang wanita yang kehidupannya telah menyentuh masyarakat, mengangkat tradisi dan meninggalkan kesan mendalam terhadap jati diri budaya Sarawak," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Buku 'Kebangkitan Songket dan Keringkam Sarawak: Menghormati Datuk Amar Juma'ani' di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, petang Khamis.
Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, tatkala buku tersebut dirintis pada 2018 melalui Projek Inovasi Warisan Sarawak: Songket dan Keringkam, adalah wajar visi, belas kasihan serta dedikasi Allahyarhamah yang begitu teguh terhadap seni songket dan keringkam dikenang.
"Inisiatif ini membentuk sebuah ekosistem komprehensif yang menghubungkan pembuat dasar dan komuniti sepanjang rantaian nilai daripada mendapatkan bahan mentah, melatih para penyulam dan memperkukuh kemampuan reka bentuk.
"Ia juga memastikan kawalan kualiti, membuka saluran runcit, membangun penjenamaan, melindungi harta intelek, sehinggalah mewujudkan akses pasaran yang mampan.
"Hari ini, usaha tersebut terus berkembang ke seluruh Sarawak menyentuh kehidupan keluarga, belia serta komuniti yang suatu ketika dahulu menjadikan kraf ini sebahagian daripada rutin harian.
"Sehingga tahun 2025, seramai 1,022 penenun dan penyulam telah dilatih di seluruh negeri, satu pencapaian luar biasa yang mencerminkan kepimpinan beliau serta komitmen para penggiat warisan," kata Abdul Karim.
Niat penuh kasih sayang itu katanya, memberi gambaran bagaimana Allahyarhamah Juma’ani telah 'menenun' warisan ini sejak awal lagi, jauh sebelum orang lain menyedari nilainya.
"Maka, buku ini bukan sekadar dokumentasi, ia bukti hidup kepada para penyulam yang mengekalkan tradisi, kepada masyarakat yang terus memeliharanya dan kepada Allahyarhamah Datuk Amar Juma’ani untuk generasi yang akan datang," katanya.
Abdul Karim berkata, kementeriannya melalui Majlis Kraftangan Sarawak, CENTEX serta agensi dan NGO berkaitan akan terus komited menjayakan usaha ini sebagai agenda pemeliharaan warisan bersama.
"Kita wajar terus menghormati para artis tempatan, memperkukuhkan ekosistem warisan dan memastikan setiap benang pada masa hadapan membawa sedikit daripada hati dan semangat beliau.
"Semoga ingatan terhadap Allahyarhamah menjadi keberkatan, dan semoga legasinya terus menginspirasi kita semua," katanya.
Hadir sama ialah Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, anakandanya Dayang Norjihan, Speaker Datuk Amar Asfia Awang Nassar, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Khui Hian, barisan menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan.