News

 

Minat pelabur terhadap industri hijau di Sarawak semakin meningkat: Abang Johari

Posted on 26 Nov 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

Abang Johari (tengah) bersama Dr Hazland (kanan) dan Sakano ketika menghadiri Forum Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa Yamada 2025 di Kuching, hari ini. - Gambar BERNAMA

Abang Johari (tengah) bersama Dr Hazland (kanan) dan Sakano ketika menghadiri Forum Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa Yamada 2025 di Kuching, hari ini. - Gambar BERNAMA

KUCHING: Minat pelabur terhadap industri hijau di Sarawak dilihat semakin meningkat, namun kajian lanjut perlu dilakukan bagi menentukan kos serta model pelaksanaan yang sesuai.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak memainkan peranan penting dengan menyediakan kemudahan dan mempermudahkan pelaburan kerana industri tenaga hijau masih baharu.

“Yang menggembirakan ialah banyak pihak memberikan keyakinan dan minat untuk melabur dalam usaha mengeluarkan tenaga boleh diperbaharui.

“Kita hanya menyediakan kemudahan dan mempermudah proses pelaburan.

“Ini adalah satu perkara yang masih baharu dan sebahagian daripada ekonomi baharu berteraskan tenaga hijau, termasuk penggunaan tenaga daripada sisa,” ujarnya kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa Yamada 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Pengarah Urusan ASEAN & India, Yamada Consulting & Spire Singapore Pte. Ltd., Go Sakano.

Abang Johari turut memaklumkan undang-undang baharu Pengurusan Sumber Mampan dan Sisa 2025 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, membuka peluang pelaburan tambahan, khususnya melalui penghasilan tenaga daripada sisa.

Sarawak katanya, menjadi negeri pertama di Malaysia yang mempunyai undang-undang sedemikian.

“Undang-undang sisa yang baru diluluskan semalam mempunyai potensi untuk pelaburan, tetapi saya tidak boleh mengumumkannya dahulu.

“Ini adalah sebahagian daripada pendekatan Kerajaan Sarawak di mana sisa-sisa boleh dimanfaatkan sebagai sumber untuk perjalanan ekonomi negeri,” jelasnya.

Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak mempunyai pelbagai sumber tenaga boleh diperbaharui dan berharap dapat bekerjasama dengan penyedia teknologi antarabangsa untuk membangunkan tenaga hijau pada kos mampu milik, sekali gus juga boleh dimanfaatkan di peringkat ASEAN.

Menurutnya, Sarawak amat bertuah kerana mempunyai pelbagai sumber tenaga seperti hidro, solar, biojisim, gas, serta hidrogen, namun memerlukan kepakaran dan teknologi untuk menghasilkan tenaga tersebut secara komersial.

Sehubungan itu katanya, forum itu menjadi salah satu platform penting untuk mempertemukan pihak yang memiliki kepakaran teknologi dengan Sarawak yang mempunyai pelbagai sumber tenaga.

“Kita berkongsi kepada mereka potensi tenaga yang boleh dihasilkan Sarawak seperti hidro, solar, biojisim, gas dan hidrogen, termasuk kemungkinan penggunaan atom hidrogen sebagai asas tenaga fusiun,” katanya.

Abang Johari berkata, dunia kini sedang mencari penyelesaian untuk mengurangkan pemanasan global kepada bawah 1.5 darjah Celsius dan tenaga boleh diperbaharui adalah jawapan kepada cabaran tersebut.

Dalam konteks itu katanya, Sarawak berada pada kedudukan yang baik kerana mempunyai sumber yang luas.

Sementara itu, ketika ditemui di majlis sama, Sakano menjangkakan permintaan komersial bagi hidrogen hijau, ammonia dan bahan bakar boleh diperbaharui lain yang dihasilkan Sarawak dapat diintegrasikan ke dalam rantaian bekalan industrinya dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Beliau menekankan kestabilan dasar kerajaan merupakan faktor penting bagi syarikat Jepun membuat keputusan pelaburan, selain melihat Sarawak mempunyai potensi dan kepimpinan dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.

  •  oleh 
    Hafizah Abdul Hamid