News

 

Pertumbuhan ekonomi Sarawak tarik tenaga mahir pulang berkhidmat

Posted on 26 Nov 2025
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari menerima cenderamata daripada pihak penganjur. Turut kelihatan Dayang Norjihan (empat kanan) dan Fatimah (empat kiri). - Gambar UKAS
Abang Johari menerima cenderamata daripada pihak penganjur. Turut kelihatan Dayang Norjihan (empat kanan) dan Fatimah (empat kiri). - Gambar UKAS

KUCHING: Pertumbuhan ekonomi Sarawak kini menjadi daya penarik baharu bagi tenaga mahir di luar negara untuk pulang dan berkhidmat di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkata, pertumbuhan ini membolehkan penawaran gaji dapat diberikan selaras dengan kelayakan akademik mereka.

“Oleh itu, kita perlu meningkatkan tahap ekonomi supaya mereka boleh mendapatkan pekerjaan maka sebab kita itu memberi tumpuan kepada industri semikonduktor, teknologi tinggi, pertanian moden menggunakan mesin, dan sektor perkhidmatan termasuk perbankan.

“Apabila tarif industri rendah dan kompetitif, pelaburan baharu akan tertarik ke kawasan dengan kos pengeluaran rendah, menjadikan produk bersaing di pasaran antarabangsa sekali gus mewujudkan pekerjaan,” katanya pada sesi dialog dalam Leadership Soiree Dinner (Sarawak Woman Of Tommorrow 2025) di sebuah hotel di sini pada malam Selasa.

Abang Johari berkata, sebagai contoh, loji metanol di Bintulu menyaksikan ramai rakyat Sarawak yang sebelum ini bekerja dengan syarikat Shell dan PETRONAS kembali berkhidmat di negeri ini kerana gaji ditawarkan mencukupi.

Tambahnya, ini termasuk projek Transit Aliran Autonomi (ART) yang kini giat dilaksanakan di mana rakyat Sarawak yang sebelum ini bekerja dalam projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Kuala Lumpur, kembali berkhidmat di negeri ini.

“Persoalannya adalah kedudukan ekonomi anda di mana jika rakyat mempunyai kemahiran tetapi anda tidak dapat menyediakan pekerjaan, anda tidak boleh menyalahkan mereka pergi kerana mereka perlu mencari rezeki.

“Tetapi apabila ekonomi berkembang dan kepakaran diperlukan, majoriti mereka akan kembali,” ujarnya.

Tambahnya lagi, program urbanisasi Sarawak turut menarik profesional untuk kembali dan menyertai sektor swasta yang memerlukan kepakaran mereka.

Abang Johari memberitahu, kerajaan juga memperkenalkan dasar visa kerja lima tahun kepada rakyat bukan Sarawak untuk membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

Hadir sama, anaknya Dayang Norjihan, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah serta dif kenamaan lain. 

  •  oleh 
    Utusan Borneo