News

 

Kerajaan Sarawak terus sokong usahawan wanita dengan modal permulaan

Posted on 26 Nov 2025
Source of News: Utusan Borneo Online

Abang Johari memberi pandangan semasa sesi dialog dalam Leadership Soiree Dinner (Sarawak Woman Of Tommorrow 2025) di Kuching pada malam Selasa. - Gambar UKAS
Abang Johari memberi pandangan semasa sesi dialog dalam Leadership Soiree Dinner (Sarawak Woman Of Tommorrow 2025) di Kuching pada malam Selasa. - Gambar UKAS

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus menyokong usahawan wanita dalam bidang perniagaan terutamanya dengan menyediakan modal permulaan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkata, beliau memahami cabaran utama yang sering dihadapi usahawanita, kebanyakannya terdiri daripada ibu tunggal dan balu.

“Di sinilah kerajaan memainkan peranan melalui penyediaan modal permulaan. Kita telah melaksanakan ini bersama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.

“Saya menyalurkan peruntukan kepada kementeriannya dan melalui kementerian tersebut, bantuan diberikan kepada ibu tunggal dan balu yang mempunyai kemahiran tertentu.

“Hasilnya, ramai yang berjaya maka kita tambah lagi peruntukan apabila diminta. Ada yang kini membuka salun, ada yang mengusahakan kraftangan, dan mereka sangat berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi dialog dalam Leadership Soiree Dinner (Sarawak Woman Of Tommorrow 2025) di sebuah hotel di sini, malam Selasa.

Abang Johari turut menggesa usahawan wanita supaya terus meningkatkan kemahiran yang menjadi asas kepada perkembangan kendiri, termasuk membangkitkan dorongan dalaman bagi membentuk kejayaan dalam perniagaan.

Beliau juga menekankan kepentingan pengurusan masa terutamanya dalam mengimbangi waktu bersama keluarga dan kerjaya.

Kini jelasnya, bidang yang dahulu dianggap dominasi lelaki turut disertai oleh ramai wanita disebabkan majoriti mereka merupakan graduan universiti termasuk dalam bidang kejuruteraan.

“Pada saya, ia bergantung kepada keupayaan dan kapasiti individu kerana jika mereka layak, mengapa tidak?

“Mereka boleh memegang jawatan tersebut maka sebab pengurusan masa antara keluarga dan kerjaya amat penting dalam wanita,” ujarnya.

Hadir sama, anaknya Dayang Norjihan, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah serta dif kenamaan lain. 

  •  oleh 
    Utusan Borneo