KUCHING: Sarawak sedia bekerjasama dengan Petronas untuk meneroka pengeluaran tenaga alternatif selain minyak dan gas.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, selain mengukuhkan kerjasama dalam industri minyak dan gas, Sarawak juga melihat potensi kerjasama dalam bidang lain bersama Petronas.
“Sekarang ini, kita menghadapi masalah iklim dan kita ada tenaga alternatif seperti hidrogen di mana kita boleh berbincang bersama untuk meneroka tenaga-tenaga alternatif, selain minyak dan gas.
“Saya berpendapat bahawa nilai minyak dan gas akan menurun dari konteks perniagaan global sebab wujudnya tenaga alternatif yang akan digunakan industri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Dialog Strategik Tahunan (ASD) Sarawak-Petronas Ke-3 yang diadakan di Menara Berkembar Petronas bersama Pengerusi Petronas Tan Sri Mohd Bakke Salleh di Kuala Lumpur, hari ini.
Abang Johari berkata, dialog yang diadakan bersama Petronas itu sangat berhasil dan akan memberi pulangan serta kemakmuran kepada Sarawak.
Katanya, antara perkara yang dibincangkan termasuk penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).
“Keduanya berkaitan dengan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas dalam membantu kita termasuk pendidikan.
“Ketiganya adalah memantapkan lagi kerjasama antara Petronas dan Petros (Petroleum Sarawak Berhad) dalam menguruskan bidang minyak dan gas termasuk penerokaan luar pesisir pantai,” katanya.
Abang Johari berkata, perbincangan yang diadakan itu sangat baik dan percaya Sarawak akan terus berkembang dengan Petronas dalam industri minyak dan gas.
Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), dialog yang berlangsung kira-kira dua jam setengah itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.
Turut hadir, Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais dan Penasihat Peguam Negeri Dato Sri JC Fong.
Terdahulu, Abang Johari menerima kunjungan hormat daripada Tengku Muhammad Taufik.
Pertemuan selama kira-kira sejam itu diadakan di Menara Berkembar Petronas dan turut dihadiri Amar Awang Tengah dan Mohd Bakke Salleh.
Sebelum berangkat pulang, Premier Sarawak dan dif-dif kenamaan lain sempat meninjau panorama Kuala Lumpur di Jambatan Udara Menara Berkembar Petronas.
Pada Selasa, Abang Johari menghadiri Mesyuarat Majlis Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negara Tahun 2023 yang diadakan di Bangunan Parlimen.
Mesyuarat yang berlangsung kira-kira 1 jam itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri serta wakil-wakil kementerian.