News

 

TVS bakal punyai bangunan sendiri, dijangka dibina mulai tahun depan

Posted on 11 Nov 2023
Source of News: The Borneo Post
Abang Johari menyampaikan dekoder MyTV percuma kepada salah seorang penerima selepas pada majlis TVS Prihatin dan Penyerahan Dekoder MyTV sempena Ulang Tahun Ke-3 TVS di Gedong hari ini. - Gambar  UKAS
Abang Johari menyampaikan dekoder MyTV percuma kepada salah seorang penerima selepas pada majlis TVS Prihatin dan Penyerahan Dekoder MyTV sempena Ulang Tahun Ke-3 TVS di Gedong hari ini. - Gambar UKAS

KUCHING: Stesen televisyen milik kerajaan Sarawak, TVS bakal mempunyai bangunan sendiri yang akan dibina berdekatan Pusat Persembahan Seni di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di sini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan bangunan baharu TVS itu dijangka dimulakan tahun depan.

Ia katanya, akan dilengkapi dengan peralatan terkini termasuk kemudahan studio bagi memudahkan warga TVS menjalankan kerja.

“Kita akan mewujudkan bangunan TVS kita sendiri dan ini akan kita bangunkan tahun depan berdekatan Pusat Seni Persembahan kita di DUN lama.

“Maknanya, TVS akan mempunyai bangunan baharu dengan dilengkapi studio dan peralatan moden yang akan digunakan oleh mereka untuk menjalankan siaran langsung,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis TVS Prihatin dan Penyerahan Dekoder MyTV sempena Ulang Tahun Ke-3 TVS di Dewan Datuk Patinggi Ali, Gedong dekat sini, hari ini.

Sementara itu Abang Johari dalam ucapannya berkata, TVS yang kini sudah memasuki tahun ketiga penubuhannya memainkan peranan penting dalam mempromosikan keunikan Sarawak di seluruh dunia, sama ada daripada kepelbagaian budaya dan tradisi tempatan.

Selain menjadi platform untuk pencipta kandungan tempatan, penerbit dan penghibur mempamerkan idea dan bakat kreatif mereka katanya, TVS turut menyediakan penonton tentang keindahan destinasi pelancongan dan sebagainya yang ada di Sarawak.

Menurutnya, Sarawak merupakan negeri pertama di Malaysia yang memiliki stesen televisyennya sendiri yang boleh ditonton menerusi Saluran 122 di Astro TV dan MyTV serta platform media sosial yang lain.

“Apabila kita mula-mula menubuhkan TVS, kita mahu menjadi medium yang berkesan untuk menyiarkan pelbagai acara berita dan maklumat lain tentang Sarawak serta memupuk lebih ramai bakat tempatan.

“Hari ini, kita berbangga untuk mengatakan bahawa stesen TV kita sendiri telah menghasilkan pelbagai kandungan bernilai tinggi seperti filem pendek, drama dan banyak lagi,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, TVS akan terus bekerjasama dengan sektor swasta dan masyarakat tempatan untuk meningkatkan kandungannya dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada penduduk tempatan.

“Ini termasuk mengadakan program atau rancangan TV khas dalam mempromosikan produk dan perniagaan tempatan serta industri pertanian di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari menyarankan agar pemberian dekoder MyTV percuma di bawah program TVS Prihatin diperluaskan ke kawasan luar bandar di seluruh negeri ini.
 

  • oleh