KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mengumumkan satu lagi sumber pendapatan baharu bagi meningkatkan ekonomi negeri ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, ia sebagai tambahan kepada beberapa sumber pendapatan yang sudah dilaksanakan ketika ini.
"Ya, memang kita (kerajaan Sarawak) sudah merancang satu lagi sumber pendapatan baharu.
"Sekarang kita (Sarawak) sudah ada televisyen sendiri, syarikat petroleum sendiri, Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) dan kita juga akan ada syarikat penerbangan sendiri," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis TVS Prihatin dan Penyerahan Dekoder MyTV sempena Ulang Tahun Ke-3 TVS di Dewan Datuk Patinggi Ali, Gedong dekat sini, hari ini.
Ditanya lanjut mengenai pendapatan baharu itu, Abang Johari bagaimanapun enggan mendedahkan bidang berkenaan dan dijangka akan mengumumkannya dalam masa terdekat.
“Mungkin saya akan umumkan perkara itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang (November ini) atau mungkin juga dalam masa terdekat selepas persidangan itu nanti,” katanya.
Persidangan DUN Sarawak dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 29 November ini.
Sementara itu, Abang Johari memberitahu Dewan Datuk Patinggi Ali di Gedong akan dinaik taraf dengan menjadikan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) sebagai model.
Beliau berkata, dewan baharu itu nanti bakal dilengkapi fasiliti moden seperti pendingin hawa serta ruang pameran.
"Kita telah memutuskan akan meroboh dewan ini dan kita bangunkan dewan baharu yang 'small-scale' dengan bermodelkan BCCK.
"Kita akan ada sebuah koridor sebagai ruang pameran dan di dalamnya adalah dewan untuk majlis keramaian," ujar Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong.
Jelasnya, dewan tersebut bakal siap dalam masa 18 bulan selepas tender dibuka pada Januari tahun hadapan.
Terdahulu, Abang Johari menyempurnakan majlis penyerahan 300 dekoder MyTV percuma kepada penerima di Gedong bagi membolehkan mereka menonton siaran TVS di Saluran 122, selain pelbagai program menarik.
Sebelum itu, beliau turut menyertai acara penanaman pokok di pekarangan Masjid Al-Khawtar bersama Pengerusi DBOS Datuk Amar Tan Sri (Dr) Mohamad Morshidi Abdul Ghani yang bertujuan merealisasikan komitmen TVS untuk memelihara alam sekitar.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Ir Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah II (Pembangunan Wilayah) Datuk Maclaine Ben@Martin Ben dan Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TVS Kushairi Abang.