KUCHING: Beberapa blok bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gedong tidak lagi selamat untuk digunakan, kata Pengetuanya Abdul Wahab Bujang.
Berucap pada majlis penutupan Kem Kepimpinan Belia EMART di sekolah itu hari ini, Abdul Wahab berkata pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat penarafan aspek keselamatan bangunan sekolah itu.
Hasil daripada penarafan tersebut katanya, didapati beberapa blok bangunan di sekolah itu tidak selamat, perlu diselenggara, diroboh atau dilupuskan.
"Kami dengan rasa rendah diri memohon jasa baik Premier untuk menyediakan dan menambah baik beberapa kemudahan di sekolah kami supaya kami dapat beroperasi dengan selamat.
"Memandangkan SMK Gedong merupakan satu-satunya sekolah menengah di Gedong, maka besarlah harapan kami agar pihak Premier dapat mempertimbangkan permohonan kami," ujarnya.
Dalam pada itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir merasmikan penutupan kem tersebut yang disertai seramai 160 pelajar dari sekolah tersebut selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Julai.
Kem itu merupakan kolaboratif antara Kumpulan EMART dan SMK Gedong yang juga sebahagian daripada inisiatif kebajikan sosial Kumpulan EMART bagi mempromosikan dan memupuk nilai baik dalam kalangan belia.
Antara objektif kem tersebut adalah untuk membina nilai diri belia dan membantu dalam perkembangan sahsiah belia sebagai pemimpin masa depan negeri.
Sejak diperkenalkan pada Ogos 2013, Kumpulan EMART telah mengadakan lebih daripada 120 kem latihan melibatkan lebih 20,000 pelajar.
Kumpulan EMART terus komited untuk memperkasakan belia dan akan terus menyokong dan menyumbang kepada inisiatif yang sama.
oleh