picture

News

Abang Johari hadiri Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka

Posted on 23 Jul 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
 Abang Johari diiringi Abdul Karim serta tetamu kehormat lain sebaik tiba pada Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Kuching, malam Sabtu. - Gambar Penerangan

Abang Johari diiringi Abdul Karim serta tetamu kehormat lain sebaik tiba pada Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Kuching, malam Sabtu. - Gambar Penerangan

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, malam Sabtu.

Ketibaan beliau bersama isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang sekitar jam 8 malam disambut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Majlis dimulakan dengan persembahan pembukaan daripada Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS) sebelum pelancaran buku khas 60 Tahun Sarawak Merdeka bertajuk ‘Sarawak Maju Makmur’ oleh Abang Johari.

Para tetamu kemudiannya dipersembahkan dengan video montaj mengenai buku khas berkenaan yang merangkumi perjalanan para pemimpin dalam membangunkan Sarawak sejak kemerdekaan pada tahun 1963.

Abang Johari menyempurnakan simbolik pelancaran buku khas pada Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Kuching, malam Sabtu. Turut kelihatan Uggah, Awang Tengah, Dr Sim, Abdul Karim serta tetamu kehormat lain. - Gambar Penerangan

Acara diteruskan dengan tayangan sebuah filem pendek bertajuk ‘Sayang Sarawak’ yang mengisahkan kehidupan tiga generasi keluarga bekas pejuang kemerdekaan Sarawak.

Filem itu turut menyingkap warna-warni, pahit manis kehidupan, kesepaduan dan keharmonian rakyat Sarawak.

Majlis turut diserikan dengan persembahan artis terkenal Bob Yusof dan artis-artis tempatan seperti Claudia Geres, Charlyn Dare, Christine Chua, Mal Imran, Gabriel Fairuz Louis dan Nur Hijrah Yahya.

Selesai majlis, Abang Johari dan tetamu kehormat lain menyaksikan pertunjukan bunga api di Dataran Perbarisan di sini.

Hadir sama, tiga Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Yang Di-Pertua Dewan Negara Senator Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kehormat lain.

oleh