picture

News

 

Kerajaan GPS beri jaminan usaha kembalikan hak Sarawak akan diteruskan

Posted on 22 Jul 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari (tengah) bersama isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang serta tetamu kehormat lain mengibarkan bendera Sarawak. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Abang Johari (tengah) bersama isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang serta tetamu kehormat lain mengibarkan bendera Sarawak. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi jaminan bahawa usaha untuk mengembalikan hak Sarawak yang terhakis akan diteruskan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, meskipun bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem sudah tiada, namun usaha mendapatkan kembali hak Sarawak yang terhakis akan diteruskan sehingga semua yang diperuntukkan kepada Sarawak pada perjanjian tersebut dihormati dan dikotakan.

"Tok Nan tidak ada bersama kita lagi, tetapi saya ingin memberi jaminan bahawa usaha untuk mengembalikan hak Sarawak yang terhakis akan diteruskan.

"Sehingga semua yang diperuntukkan kepada Sarawak pada perjanjian tersebut dihormati dan dikotakan," katanya ketika berucap pada Perhimpunan dan Perarakan Sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Padang Merdeka di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, Allahyarham Pehin Sri Adenan telah memulakan inisiatif untuk mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis ketika beliau memegang tampuk kepimpinan kerajaan Sarawak.

"Seluruh rakyat Sarawak menyanjungi perjuangan yang telah dimulakan oleh beliau untuk mengangkat maruah dan martabat Sarawak Ibu Pertiwi kita sebagai sebahagian daripada wilayah yang menubuhkan Malaysia. Terima kasih Tok Nan," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi GPS turut mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Kerajaan Perpaduan yang telah baru-baru ini bersetuju mengembalikan kepada kerajaan Negeri 52 lot tanah yang tidak dibangunkan termasuk bangunan Pejabat Pos Sarawak yang bersejarah.

Sebelum ini juga ujarnya, melalui proses penurunan kuasa, Sarawak telah diberi kuasa untuk melaksanakan projek RM50 juta ke bawah melalui JKR Sarawak dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak yang sekali gus diiktiraf sebagai Jabatan Teknikal.

"Selain itu, kita juga telah berjaya meletakkan wakil negeri sebagai ahli Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sejajar dengan peruntukan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Sementara itu, Abang Johari menegaskan dalam bidang pendidikan, Sarawak tidak bergantung semata-mata kepada program dan inisiatif kerajaan persekutuan walaupun bidang pendidikan berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Katanya, ia bertujuan mengekalkan konsistensi dan dinamika dasar sesuai dengan keperluan semasa dan juga tuntutan keilmuan pada masa hadapan selaras dengan kuasa yang diberi kepada Sarawak di bawah Perkara 17 Inter-Governmental Committee Report (IGC).

"Kerajaan Sarawak telah menyusun beberapa inisiatif bertujuan untuk memartabatkan bidang pendidikan di Sarawak agar setaraf dengan standard negara-negara yang sudah maju dalam bidang pendidikan seperti Singapura," katanya.

Mengenai sambutan yang diadakan, beliau berkata dalam tempoh 60 tahun yang lepas pemimpin-pemimpin negeri ini telah berusaha untuk mengangkat martabat Sarawak mengikut suasana dan keperluan pada era mereka masing-masing.

"Terima kasih kepada mereka, iaitu mendiang Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, mendiang Datuk Tawi Seli, Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’akub, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang telah meletakkan asas yang kukuh untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dan agama, merencanakan pembangunan untuk memodenkan ekonomi Sarawak, penurunan kuasa dan pengembalian hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan IGC.

"Kita juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan keselamatan yang telah berjuang untuk menentang keganasan dan ideologi komunisme mulai awal tahun 60-an. Di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’akob aktiviti komunis berakhir dengan perjanjian Sri Aman pada 1973," katanya.

  • oleh