News

 

'Niti Daun' Gawai Dayak 2023 gamit warga, pelancong

Posted on 17 Jun 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari tiba di pentas utama bagi menyaksikan acara lintas hormat kontinjen yang menyertai 'Niti Daun' Gawai Dayak 2023 di Tebingan Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

Abang Johari tiba di pentas utama bagi menyaksikan acara lintas hormat kontinjen yang menyertai 'Niti Daun' Gawai Dayak 2023 di Tebingan Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan 'Niti Daun' Gawai Dayak 2023 yang berlangsung cukup meriah di sekitar Tebingan Kuching di sini, hari ini.

Selain masyarakat tempatan, perarakan yang turut diadakan sempena sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka itu juga menarik minat pengunjung asing.

Perarakan sejauh sekitar 1.2 kilometer itu disertai lebih 3,000 peserta melibatkan lebih 90 kontinjen.

Lebih meriah, perarakan yang bermula di Bangunan Tun Jugah dan berakhir di Jambatan Darul Hana itu diketuai oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg diiringi Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan tetamu kehormat lain.

Abang Johari melambai kontinjen yang melakukan lintas hormat semasa 'Niti Daun' Gawai Dayak 2023 di Tebingan Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Abang Johari melambai kontinjen yang melakukan lintas hormat semasa 'Niti Daun' Gawai Dayak 2023 di Tebingan Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

Sebelum perarakan bermula, upacara 'miring' diadakan di Atrium Tun Jugah.

Peserta perarakan kemudiannya berarak menuju ke Tebingan Kuching di mana tetamu kehormat menyaksikan lintas hormat kontinjen yang mempamerkan pakaian tradisi masing-masing.

Selain jabatan dan kementerian, perarakan itu turut disertai oleh kontinjen Persatuan Veteran Tenaga Kor Renjer (Sarawak Ranger) dan 'Bujang Berani.'

Antara peserta yang terlibat dalam 'Niti Daun' Gawai Dayak 2023 di Tebingan Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Antara peserta yang terlibat dalam 'Niti Daun' Gawai Dayak 2023 di Tebingan Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, acara 'niti daun' wajar dijadikan acara tahunan sempena perayaan Gawai Dayak di Sarawak.

Menurutnya, acara itu juga signifikan kepada 'Segulai Sejalai' yang dipilih sebagai cogan kata perpaduan negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

"Sekiranya anda melihat perarakan ini, ia merupakan keputusannya di mana ia membawa maksud bersatu.

Antara peserta yang terlibat dalam 'Niti Daun' Gawai Dayak 2023 di Tebingan Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Antara peserta yang terlibat dalam 'Niti Daun' Gawai Dayak 2023 di Tebingan Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

"Apabila masyarakat bersatu, rakyat akan selalu bekerjasama selain sentiasa yakin untuk melakukan sesuatu secara bersama," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, acara itu dilihat mampu menggamit perhatian pelancong asing, selain menampilkan kepelbagaian dan keunikan budaya masyarakat Dayak.

Penyelaras Perarakan Datuk Stephen Mundaw berkata, perarakan itu memberi peluang untuk masyarakat bekerjasama dan berinteraksi menerusi slogan 'Segulai Sejalai.'

"Ini bermaksud, ia bukan sahaja melibatkan etnik Dayak, malah termasuk etnik lain yang terdapat di Sarawak.

"Bagi perarakan yang bakal diadakan tahun depan, ia akan dilaksanakan dengan lebih istimewa dan mencerminkan era daripada dahulu hingga sekarang, namun ia tidak boleh didedahkan dahulu," katanya semasa ditemui media selepas selesai acara berkenaan.

Empat kontinjen diumumkan sebagai pemenang dalam perarakan berkenaan iaitu Raban N.36 Layar Betong bagi kategori badan bukan kerajaan (NGO)/persatuan Iban.

Kategori NGO/persatuan Bidayuh dimenangi oleh kontinjen Kelab Rekreasi Pengguna dan Pengurusan Dewan Serbaguna Kampung Tematu.

Antara peserta yang terlibat dalam 'Niti Daun' Gawai Dayak 2023 di Tebingan Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Antara peserta yang terlibat dalam 'Niti Daun' Gawai Dayak 2023 di Tebingan Kuching, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS) pula memenangi kategori NGO/persatuan Orang Ulu, manakala Gabungan Orang Asal Sabah Sarawak (GOASS) memenangi bagi kategori kementerian/jabatan/badan berkanun/swasta/syarikat berkaitan kerajaan (GLC)/jemputan.