picture

News

 

Cendekiawan Islam disaran buat kajian tingkat tatacara pengurusan wakaf

Posted on 17 Jun 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari diiringi Misnu dan tetamu kehormat lain melakukan simbolik perasmian Seminar Pendidikan Islam Antarabangsa 2023 di Kuching hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Abang Johari diiringi Misnu dan tetamu kehormat lain melakukan simbolik perasmian Seminar Pendidikan Islam Antarabangsa 2023 di Kuching hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Pakar dan cendekiawan Islam disaran supaya membuat kajian dalam meningkatkan tatacara pengurusan wakaf di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, masyarakat Islam kebanyakannya mempunyai banyak aset dan ia boleh ditambah nilai menerusi sistem wakaf.

Menurutnya, sekiranya aset atau harta itu tidak diuruskan dengan baik, ia akan menjadi suatu pembaziran dan ini tidak sealiran dengan ajaran Islam.

“Justeru, daripada perspektif islam dan dari segi wakaf, saya berpendapat kita boleh mencari penyelesaian untuk menguruskan aset ini dengan berkesan memandangkan ada banyak tanah Islam yang terbiar.

“Keadaan ini sudah tentu akan menyebabkan pembaziran dan jika kita mensia-siakannya (tanah), ia seperti kita tidak menghargai anugerah Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Seminar Pendidikan Islam Antarabangsa 2023 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Mengambil contoh, Abang Johari berkata, beliau membuat kajian tentang lumut bertujuan untuk menambah pendapatan negeri yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, lumut tumbuh dalam persekitaran yang mempunyai karbon dioksida, cahaya matahari dan air yang mencukupi.

“Di Sarawak, kebanyakan orang Islam tinggal berhampiran pantai, dan ini bermakna lumut boleh ditanam di kawasan tersebut.
 
“Dengan ini, kita dapat berkongsi pengetahuan dengan orang bukan Islam serta mereka juga boleh menanam lumut di kawasan (tanah) mereka, selain getah dan kelapa sawit,” jelasnya.

Beliau berkata, inisiatif seumpama itu sudah tentu akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak, terutama dengan memberi penekanan kepada ekonomi baharu yang berasaskan sumber tenaga boleh diperbaharui.

Dalam pada itu, Abang Johari menggesa semua umat Islam khususnya cendekiawan agar terus mencari jalan bagi menangani isu perubahan iklim yang berlaku di dunia hari ini.

Menurutnya, terdapat keperluan untuk mengimbangi pembangunan dengan kesannya terhadap alam sekitar.

“Justeru, saya mengajak semua umat Islam, terutama para cendekiawan agar terus mencari jalan menangani isu perubahan iklim yang berlaku di dunia hari ini.

“(Dan) pada masa sama melahirkan anak Islam atau cendekiawan yang fasih dalam semua bidang dengan menjadikan falsafah Islam sebagai dorongan untuk manfaat pada masa hadapan,” kata beliau.

  • oleh