picture

News

 

Premier beri bayangan satu lagi sumber baharu untuk tingkat pendapatan Sarawak

Posted on 25 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari (tiga kanan) menerima cenderamata daripada ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang sebagai penghargaan sempena majlis makan malam Kelab Penyokong GPS. Turut kelihatan Dr Sim (dua kiri), Uggah (dua kanan), Asfia (kanan) dan Ibrahim (kiri). - Gambar Roystein Emmor
Abang Johari (tiga kanan) menerima cenderamata daripada ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang sebagai penghargaan sempena majlis makan malam Kelab Penyokong GPS. Turut kelihatan Dr Sim (dua kiri), Uggah (dua kanan), Asfia (kanan) dan Ibrahim (kiri). - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan satu lagi sumber pendapatan baharu yang beliau percaya akan meningkatkan lagi pendapatan Sarawak.

Bercakap pada majlis makan makan malam Kelab Penyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diadakan di sebuah hotel di sini malam tadi, Abang Johari berkata beliau akan membuat pengumuman mengenai perkara itu tidak lama lagi.

“Sebelum ini, kami telah meneroka dan mengembangkan sumber pendapatan melalui perdagangan karbon dan yang terbaru, lumut. Terdapat satu lagi sumber pendapatan baru dalam fikiran saya sekarang yang akan meningkatkan lagi sumber pendapatan Sarawak.

“Bayangkan sahaja pasaran yang ada dan kita mampu menghasilkan sumber yang kita ada dan menambah nilai kepada teknologi serta memajukan lagi negari kita,” jelasnya.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata bagi suku pertama 2023, Sarawak mencatatkan pendapatan lebih RM5 bilion dan Sarawak diunjurkan menerima lebih RM11 bilion hasil tahun ini.

Dengan kedudukan kewangan yang kukuh, beliau percaya aspirasi pembangunan negeri akan dapat direalisasikan dan ini termasuk menyediakan pendidikan tinggi percuma kepada rakyat Sarawak sebelum 2030.

"Masa depan Sarawak sangat cerah, maka itu sasaran saya sebelum 2030, kita ingin memberikan pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak Sarawak.

"Saya harap dengan hasil ini, kita mengikuti Jerman dan juga negara Scandinavia, mereka menekankan pendidikan, bermakna pembangunan bakat. Sebaik sahaja anda mendapat bakat itu, barulah kita boleh menghargai sumber kami sendiri,” jelasnya.

Abang Johari turut mengingatkan rakyat Sarawak supaya terus memelihara perpaduan.

“Jaga perpaduan kita dan biarkan GPS menjadi pelindung Sarawak,” katanya.
 
Hadir sama majlis, dua timbalan premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Ketua Whip GPS Datuk Ibrahim Baki serta menteri kabinet, timbalan menteri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS.