picture

News

 

Infrastruktur asas terus dinaik taraf

Posted on 28 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Ia bagi memberi peluang kepada pihak swasta melabur dan terlibat sama dalam aktiviti ekonomi setempat

Lee (dua kiri), Abang Johari, Awang Tengah dan yang lain melakukan pecah tanah pasar raya Lepapa dan Hotel Roxy Lawas.

Lee (dua kiri), Abang Johari, Awang Tengah dan yang lain melakukan pecah tanah pasar raya Lepapa dan Hotel Roxy Lawas.

Oleh Mastura Ismail

LAWAS: Kerajaan Sarawak terus menaik taraf infrastruktur asas di negeri ini termasuk di utara Sarawak bagi memberi peluang kepada pihak swasta melabur dan terlibat sama dalam aktiviti ekonomi setempat.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) adalah agensi yang menumpukan kepada pembangunan infrastruktur, jalan raya, bekalan air, elektrik dan perhubungan Internet di bahagian itu.

“Ini perkara penting kerana pelabur dan swasta tidak akan datang jika prasarana asas kita tidak ditingkatkan ke tahap standard.

“Aspek menaik taraf infrastruktur asas menjadi tanggungjawab kerajaan dan apabila sudah ada infrastruktur asas, barulah swasta berani melabur di Lawas,” katanya pada Upacara Pecah Tanah Pasar Raya Lepapa dan Hotel Roxy Lawas di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Pengarah Urusan Teckonic & Sons Holding Sdn Bhd Lee Chin Teck.

Abang Johari berkata, dengan adanya semua kemudahan itu syarikat-syarikat swasta berani melabur di Lawas.

“Saya percaya masa depan Limbang dan Lawas adalah cerah kerana adanya kemudahan asas dibangunkan kerajaan seperti elektrik termasuk kemudahan jalan pesisir.

“Orang akan datang ke Lawas, hotel dah ada, restoran ada, pelancongan semakin berkembang,” jelasnya.

Abang Johari berkata, lapangan terbang baharu di Lawas juga akan dibina walaupun dana daripada kerajaan negeri.

“Apabila ini berlaku ekonomi meningkat, orang datang membeli khazanah dan barang kita yang ada di Sarawak,” katanya.

Sementara itu, projek pasar raya Lepapa mempunyai 26 unit dan tiga tingkat kedai komersil serta empat tingkat Hotel Roxy, menjadi satu lagi mercu baharu pembangunan di Lawas apabila siap dalam tempoh dua tahun akan datang.