picture

News

 

Ancaman keselamatan siber: Sarawak mahu laksana identiti digital

Posted on 20 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari menyaksikan Fahmi (empat kanan) menerima cenderamata pada majlis perasmian Persidangan Keselamatan Siber Asia Pasifik 2023 di Kuching, malam Jumaat. -Gambar UKAS

Abang Johari menyaksikan Fahmi (empat kanan) menerima cenderamata pada majlis perasmian Persidangan Keselamatan Siber Asia Pasifik 2023 di Kuching, malam tadi. -Gambar UKAS

KUCHING: Sarawak mahu melaksanakan platform identiti digital melalui kad maya, pas digital dan Pihak Berkuasa Persijilan (CA) bagi menangani ancaman keselamatan siber.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, platform itu perlu menjadi salah satu amanah bagi tujuan pengesahan identiti individu di Internet dan di dunia siber.

Menurutnya, rangkaian identiti negeri dan kaedah pengesahan adalah sudah tidak bersesuaian kerana setiap organisasi mempunyai cara tersendiri untuk menentukan kelayakan dan pengesahan individu dalam rangkaian mereka.

“Ketidaksamaan ini menyebabkan banyak pergeseran dan masalah apabila orang ramai perlu berurusan dengan pelbagai entiti dalam sektor awam dan swasta. 

“Untuk berurus niaga dalam ekonomi digital, kita memerlukan Ekonomi Amanah yang boleh mempercayai keaslian pihak yang berurusan secara digital.

“Oleh itu, dalam menerima ekonomi digital dengan mudah dan selamat, kita juga mesti meletakkan rangka kerja yang amanah,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Keselamatan Siber Asia Pasifik 2023 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam Jumaat.

Menerusi platform itu, Abang Johari berkata, seluruh rakyat Sarawak akan memiliki pasport digital yang membolehkan mereka membawa kelayakan ke mana sahaja mereka pergi dan berkongsi dengan sesiapa sahaja yang mereka mahu pada bila-bila masa.

Mengenai kad maya, beliau berkata ini akan membolehkan individu mengakses perkhidmatan namun adalah mustahil bagi mereka tanpa rangkaian telekomunikasi, seperti di kawasan luar bandar.

"Faedah kad maya, yang dikuasakan oleh identiti digital adalah sangat besar, meluas dan memberi kesan dari segi sosial dan ekonomi," katanya.

Mengenai pas digital Sarawak, beliau berkata negeri itu mahu mewujudkan Sarawakpass, yang diilhamkan oleh model kerja Singapura, Singpass.

“Sarawakpass akan menjadi identiti digital yang dipercayai bagi setiap rakyat Sarawak.

“Pass ini membolehkan rakyat mengakses perkhidmatan awam yang disediakan oleh pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri serta perkhidmatan sektor swasta,” jelasnya.

Bagi CA, beliau berkata kerajaan negeri perlu menyiasat penciptaannya bagi menjamin dan melindungi internet untuk kedua-dua organisasi dan individu melalui pengesahan ketulenan dan kebolehpercayaan entiti siber (laman web, domain dan organisasi).

“Dengan ini, Sarawak akan mempunyai pakej suite keselamatan siber yang lebih lengkap,” katanya.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil , Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian, serta tetamu kehormat lain.