picture

News

 

Sarawak rancang pasang antena pada tangki air aras tinggi untuk tingkat liputan Internet

Posted on 20 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari bercakap pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Gedong ke Kampung Semalatong, Simunjan di Gedong, hari ini. - Tangkap layar video UKAS
Abang Johari bercakap pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Gedong ke Kampung Semalatong, Simunjan di Gedong, hari ini. - Tangkap layar video UKAS

KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk memasang antena pada tangki air aras tinggi bagi meningkatkan liputan Internet terutama di kawasan luar bandar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu juga dapat mengurangkan kos pembinaan menara. 

"Tadi saya bincang dengan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi (Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi), kita ada tangki air aras tinggi, bukan sahaja boleh simpan air tetapi juga bagi tujuan Internet. 

"Saya akan minta Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) untuk memasang antena Internet ini, tidak perlu lagi buat menara," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Jalan Gedong ke Kampung Semalatong, Simunjan di Gedong hari ini.

Mengulas lanjut Abang Johari berkata, inisiatif terbaharu itu akan mengurangkan kos kerajaan dalam menyediakan Internet tanpa perlu berbelanja lebih untuk menara. 

"Ini adalah sesuatu yang di luar kotak dalam usaha kita untuk memperbaiki infrastruktur asas di kawasan pedalaman. 

"Fungsinya sama dengan menara telekomunikasi, tetapi menggunakan tangki aras tinggi selain menyimpan air," katanya. 

Terdahulu dalam ucapan pada majlis itu, Abang Johari berkata masalah bekalan air dan elektrik akan selesai pada tahun 2030. 

Bagi tujuan itu katanya, kerajaan kini menggunakan teknologi baharu solar termasuk hibrid solar untuk membekalkan elektrik ke kampung-kampung dan rumah panjang di luar bandar.

Manakala bagi bekalan air pula katanya, masalahnya sekarang adalah tekanan air terlalu kuat menyebahkan paip agihan ke kampung-kampung pecah dan perlu diubah. 

"Kita juga akan mencari sumber air baharu untuk bekalkan air ke kawasan luar bandar dan dalam masa sehingga 2030 semua ini akan selesai, bermakna Sarawak menjadi satu kawasan wilayah yang paling membangun di Malaysia pada 2030," katanya. 

Selesai majlis itu, Abang Johari turut mengadakan lawatan ke projek naik taraf bekalan air di Kampung Sageng dan Kampung Kelka di SK Sageng, Simunjan.

  • oleh