picture

News

 

Sarawak perlukan 6,000 lagi juruteknik dan ahli teknologi

Posted on 19 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari melawat pameranpada Simposium Borneo MBOT di Kuching, hari ini. Turut kelihatan, Siti Hamisah (tiga kiri). - Gambar Muhammad Rais Sanusi

Abang Johari melawat pameran pada Simposium Borneo MBOT di Kuching, hari ini. Turut kelihatan, Siti Hamisah (tiga kiri). - Gambar Muhammad Rais Sanusi
 

KUCHING: Sarawak memerlukan kira-kira 6,000 lagi juruteknik dan ahli teknologi untuk mencapai sasaran 10,000 juruteknik dan ahli teknologi berdaftar di negeri ini menjelang tahun 2025.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tenaga juruteknik dan ahli teknologi sangat diperlukan sebagai peneraju tonggak penting dalam usaha membangunkan Sarawak ke arah negeri maju yang mampan. 

Pada masa ini menurut Abang Johari, Sarawak mempunyai 3,291 juruteknik dan ahli teknologi terdiri daripada graduan teknologis (1,961) , juruteknik berkelayakan (461), ahli teknologi profesional (722) dan juruteknik bertauliah (147). 

"Semalam (Rabu) saya melancarkan inovasi baharu dalam pembangunan lumut yang mengeluarkan lipid dan daripada lipid dijadikan bahan api bio dan juga produk lain yang diperlukan dalam bidang perubatan. 

"Dengan ekosistem dan bakat yang sesuai termasuk teknologi, kita dapat menambah lebih nilai kepada sumber yang kita miliki di sini.

"Semalam (Rabu) juga, Chitose Carbon Capture Central Sarawak (C4 Sarawak) yang dilancarkan adalah yang terbesar di dunia dan akan diperluaskan lagi pada masa akan datang. 

"Ini sekali gus mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan sudah pasti kita memerlukan juruteknik dan ahli teknologi untuk menerajui usaha penting ini. 

"Saya pasti Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) dan mereka yang terlibat akan mengeluarkan tenaga kerja berkelayakan untuk kita memulakan inisiatif ekonomi mampan kita," ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Borneo MBOT 2023 di Auditorium Muzium Budaya Borneo di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden MBOT Datuk Ts Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.  

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari berkata bakat kemahiran tinggi merupakan tulang belakang kepada semua ekonomi.

Bagaimanapun katanya, juruteknik dan ahli teknologi sering diabaikan, mengakibatkan kekurangan dalam banyak industri penting yang menghalang keupayaan untuk menjadi lebih berdaya saing dan produktif. 

"Itulah sebabnya saya menyokong penuh sebarang inisiatif yang meningkatkan kapasiti juruteknik dan ahli teknologi di Sarawak seperti yang kita ada hari ini. 

"Saya mahu pemain industri, institusi pendidikan dan pembangunan berkemahiran serta agensi kerajaan bekerjasama dalam mempromosi dan membangunkan bakat teknologi," katanya. 

Abang Johari turut gembira dengan Persatuan Juruteknik dan Ahli Teknologi Profesional (APTT) yang berpangkalan di Sarawak bekerjasama rapat dengan MBOT dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk membangunkan rangka kerja bagi memajukan juruteknik dan ahli teknologi di negeri ini.

  • oleh