picture

News

 

Sarawak curi tumpuan pada Minggu Kraf London 2023

Posted on 11 May 2023
Source of News: The Borneo Post
Abang Johari dan isteri, Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang berkesempatan melihat keris dan tepak sireh yang dipamerkan di ruang legar lobi hotel pada Majlis SAMArindok Aidilfitri 2023. Turut kelihatan adalah Awang Tengah (dua kanan). – Gambar Muhammad Rais Sanusi

Abang Johari dan isteri, Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang berkesempatan melihat keris dan tepak sireh yang dipamerkan di ruang legar lobi hotel pada Majlis SAMArindok Aidilfitri 2023. Turut kelihatan adalah Awang Tengah (dua kanan). – Gambar Muhammad Rais Sanusi
 

KUCHING: Hasil kraf luar biasa dan kekayaan warisan budaya Sarawak yang dipamerkan kepada dunia pada Minggu Kraf London 2023 di Suruhanjaya Tinggi Malaysia United Kingdom berjaya mencuri tumpuan pemimpin-pemimpin luar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia termasuk Raja Bhutan Jigme Khesar Namgyel Wangchuck dan Permaisuri Jetsun Pema yang kagum melihat pameran dari Sarawak.

Sarawak menurutnya, menonjol dalam pameran tersebut menerusi paparan kain songket, keringkam, anyaman dan seni budaya tempatan yang lain.

“Ramai pembesar-pembesar dan raja-raja yang menghadiri Istiadat Pertabalan Raja Charles III di Wesminster Abbey turut berkesempatan menghadiri Minggu Kraf London 2023 yang diadakan bermula Sabtu hingga Ahad ini (14 Mei).

“Malaysia (pada acara itu) diwakili oleh Sarawak, Pahang dan Terengganu. Namun yang menarik perhatian adalah pameran Sarawak, bahkan Raja dan Permaisuri Bhutan sangat kagum tatkala melihat pameran dari negeri kita,” ujar beliau ketika berucap merasmikan Majlis SAMArindok Aidilfitri 2023 anjuran Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di sebuah hotel di sini pada malam Rabu.

Majlis tersebut dihadiri sekitar 1,000 orang masyarakat Melayu Sarawak termasuklah tokoh kenamaan, pemimpin politik, pimpinan kerajaan, ketua-ketua jabatan, agensi kerajaan, ketua masyarakat dan badan bukan kerajaan. 

Malah, majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan-rakan daripada persatuan yang mewakili kaum lain. 

Dalam pada itu, Abang Johari berkata Sarawak mempunyai seni budaya begitu halus dan nilai sangat tinggi yang boleh mempengaruhi tamadun manusia.

Justeru menurutnya, seni budaya halus tersebut umpamanya kain songket, keringkam dan pua kumbu, harus dipertahan dan diperbaiki kerana ia mencerminkan perpaduan masyarakat Bumiputera yang ada di negeri ini. 

Beliau menambah, adalah menjadi tanggungjawab generasi kini untuk memperbaiki keadaan dari sudut seni budaya di samping kedudukan status ekonomi bangsa.

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AKYBMS Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika berucap di majlis sama memaklumkan bahawa naskhah asal sebuah karya agung berupa Novel Melayu Pertama di dunia telah dikesan di sebuah perpustakaan Rhodes House of Library di London.

“Naskhah itu berjudul Hikayat Panglima Nikosa Mendapat Kesusahan Waktu Perang Hingga Mendapat Kesenangan; dan ia telah diterbitkan sejak tahun 1876.

“Sehingga kini, penerbitan, kajian dan beberapa usaha dokumentasi sedang giat dilaksanakan bagi tujuan melonjakkan naskah ini sebagai salah satu pencalonan dalam Memory of The World di peringkat dunia dalam daftar United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO),” katanya.

Tambah Awang Tengah, Bangsa Melayu Sarawak sejak dahulu memiliki ketamadunan skriptorium yang merupakan salah satu daripada ciri-ciri salah sebuah tamadun tua, iaitu budaya sejarah bertulis dalam bentuk naskah.

  • oleh