picture

News

 

Majlis pembukaan persidangan DUN ke-19 penuh istiadat

Posted on 15 May 2023
Source of News: The Borneo Post
Tun Taib menberi tabik hormat perarakan masuk panji-panji dan kawalan kehormat utama pada istiadat pembukaan Persidangan DUN Sarawak. - Gambar Roystein Emmor

Tun Taib memberi tabik hormat perarakan masuk panji-panji dan kawalan kehormat utama pada istiadat pembukaan Persidangan DUN Sarawak. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Majlis Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 berjalan lancar dengan penuh adat istiadat hari ini. 

Majlis pembukaan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang hadir bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib di Dataran Perbarisan DUN.

Turut hadir, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Speaker DUN Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar dan dif-dif kenamaan lain.

Istiadat pembukaan bermula dengan perarakan masuk panji-panji dan kawalan kehormat utama dengan kekuatan anggota seramai 105 orang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 lain-lain pangkat dari Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia diketuai oleh DSP Hussen Epok manakala Inspektor Michael Kilab sebagai pegawai panji.

Tun Taib dan Toh Puan Ragad diiringi Abang Johari (kanan) dan Asfia (kiri) tiba bagi istiadat pembukaan Persidangan DUN. - Gambar Roystein Emmor 
Tun Taib dan Toh Puan Ragad diiringi Abang Johari (kanan) dan Asfia (kiri) tiba bagi istiadat pembukaan Persidangan DUN. - Gambar Roystein Emmor 

Selesai istiadat pembukaan, aturcara diteruskan dengan pemasyhuran oleh Speaker DUN diikuti dengan ucapan pembukaan oleh Yang di-Pertua Negeri sebelum mesyuarat ditangguhkan.

Sementara itu, persidangan DUN yang bermula 15 hingga 24 Mei ini  menyaksikan tiga Rang Undang-Undang (RUU) Kerajaan akan dibentangkan.

Speaker DUN berkata, RUU tersebut ialah RUU Perbekalan Tambahan (2022), 2023; RUU Perbekalan Tambahan (2023), 2023 dan RUU Majlis Kraf Sarawak, 2023.

Daripada ketiga-tiga RUU itu katanya, RUU Majlis Kraf Sarawak, 2023 merupakan RUU baharu yang akan dibentangkan pada persidangan DUN kali ini.

  • oleh