picture

News

 

Sarawak berperanan angkat martabat Malaysia: PM Anwar

Posted on 18 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Anwar diberi penerangan mengenai al-Quran tulisan tangan semasa melawat pameran selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Imam As-Syafi'i di BCCK, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

Anwar diberi penerangan mengenai al-Quran tulisan tangan semasa melawat pameran selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Imam As-Syafi'i di BCCK, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Sarawak salah satu negeri yang memainkan peranan dalam mengangkat martabat Malaysia menjadikan negara maju dan sejahtera menerusi idealisme Malaysia MADANI, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, ini kerana teras dalam MADANI tidak terlepas daripada sifat amanah, ihsan dan rahmah di mana ia wajar dirangkum dalam membina negara bangsa yang berjaya.

Jelasnya, mengenai rumusan MADANI, ia tidak terlepas untuk negara kembali kepada akar, keyakinan, tradisi yang berjaya di mana negara ini turut bersedia berdepan cabaran baharu.

"Ia bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju, mampan dari segi teknologinya dan ini sekali gus melahirkan manusia yang bermaruah dan tidak meminggirkan nilai serta akhlak.

"Alhamdulillah, rakan-rakan di mana Premier (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) ada di sini, di Sarawak bukan sahaja mendukung semangat ini tetapi Sarawak mendukung idealisme yang kita bawa bersama-sama," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Antarabangsa Imam As-Syafi'i di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Anwar (depan) diiringi Abang Johari tiba di BCCK bagi merasmikan Seminar Antarabangsa Imam As-Syafi'i, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Anwar (depan) diiringi Abang Johari tiba di BCCK bagi merasmikan Seminar Antarabangsa Imam As-Syafi'i, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

Seminar yang bertemakan Kelestarian Fiqh As-Syafi'i Memacu Kemakmuran Ummah sempena 60 Tahun Sarawak Merdeka itu turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Anwar berkata, sokongan Sarawak terhadap kepimpinan kerajaan sebagai jalur politik itu juga sebahagian daripada idealisme MADANI.

"Saya rasa terkesan di mana ia sebati dengan jiwa serta hati nurani apabila saya melihat pimpinan di Sarawak ini, bukan sekadar mendukung dari sudut kesatuan politik, kerjasama dan perpaduan.

"Namun, (Sarawak) turut mendukung hasrat dan idealisma ini bagi mengangkat martabat negeri Sarawak dan Malaysia sebagai sebuah maju," tegasnya.

Mengenai seminar tersebut, Menteri Kewangan itu berkata ia sebagai salah satu usaha kerajaan Sarawak untuk bersedia berkembang maju.

"Hari ini menyaksikan kesediaan pimpinan negeri Sarawak untuk menekankan satu aspek sangat penting dalam negara MADANI di mana negeri perlu makmur, berkembang maju yang berakar kepada keyakinan selain meletakkan soal nilai dan akhlak sebagai paksinya," katanya lagi.

Beliau pada masa sama turut berharap agar usaha untuk meneroka ilmu dan teknologi baharu yang berkaitan dengan khazanah ilmu kemanusiaan tidak terputus.

Usaha ini jelasnya, ia perlu diutamakan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang sentiasa membangun.

Kira-kira 1,300 peserta terlibat dalam acara berkenaan termasuk penyertaan dari luar negara seperti Brunei, Jordan, Yaman dan Indonesia.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Utilti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha, Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin serta tetamu jemputan lain.

  • oleh