picture

News

 

Kayu tereka bentuk bahan binaan mampan, jejak karbon lebih rendah: Awg Tengah

Posted on 19 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari dan Awang Tengah menerima taklimat daripada Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak Datu Hashim Bojet ketika melawat ruang pameran, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Abang Johari dan Awang Tengah mendengar penerangan daripada Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak Datu Hashim Bojet (kiri) ketika melawat ruang pameran, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
 
Abang Johari dan Awang Tengah mendengar penerangan daripada Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak Datu Hashim Bojet (kiri) ketika melawat ruang pameran, hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Kayu tereka bentuk berpotensi mengurangkan pelepasan karbon dengan menggantikan simen dan keluli dalam pembinaan bangunan.

Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kayu tereka bentuk adalah bahan binaan yang mampan dan hijau kerana ia boleh menyimpan karbon serta mempunyai jejak karbon lebih rendah.

Ini katanya yang selaras dengan agenda global semasa untuk menangani perubahan iklim dan mempromosikan produk hijau bagi mencapai kelestarian alam sekitar.

"Mempromosikan kayu tereka bentuk dalam industri pembinaan dan bangunan juga selaras dengan aspirasi kerajaan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk memastikan kelestarian alam sekitar.

"Saya ingin mempelawa pelabur dan pemain industri untuk meneroka potensi industri kayu tereka bentuk di Sarawak.

"Ini merupakan peluang baharu bagi pemegang LPF di Sarawak untuk menghasilkan bahan yang sesuai dan mampan untuk industri ini," katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Perasmian Persidangan Kayu Tereka Bentuk Antarabangsa 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir menyempurnakan majlis perasmian persidangan anjuran Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) itu.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata malah buluh boleh dianggap sebagai bahan yang sesuai untuk pengeluaran kayu tereka bentuk.

"Bagi tujuan itu, saya berpandangan bahawa adalah penting bagi Sarawak mempunyai pusat yang cemerlang untuk menjalankan latihan penyelidikan dan pembangunan serta ujian prestasi produk," ujarnya.

Beliau berkata transformasi industri perkayuan Sarawak daripada industri utama kepada industri nilai tambah tinggi perlu bagi mengoptimumkan penggunaan bahan mentah daripada hutan asli dan industri penanaman pokok.

Pengerusi PUSAKA itu berkata Sarawak menyasarkan untuk membangunkan 1 juta hektar hutan tanam menjelang 2025. 

Beliau berkata ini akan menjadi sumber utama bekalan kayu untuk industri pemprosesan hiliran tempatan Sarawak pada masa hadapan.

" Usaha untuk meningkatkan nilai sumber-sumber kayu adalah seiring dengan sasaran ditetapkan bagi industri perkayuan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk menjana RM8 bilion nilai eksport tahunan, bagi menjadikan Sarawak negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

"Di bawah PCDS 2030, Sarawak sedang meneruskan rancangan membangunkan industri nilai tambah tinggi dengan memberi tumpuan kepada kayu tereka bentuk, perabot dan produk berasaskan buluh.

"Ini berikutan ketersediaan bahan sesuai dari hutan tanam dan seiring trend global untuk menggunakan lebih banyak kayu tereka bentuk dalam industri bangunan dan pembinaan," katanya.

Mengenai persidangan itu, Awang Tengah berkata ia diadakan tepat pada masanya untuk PUSAKA mengembangkan industri kayu tereka bentuk  pada masa sama mengekalkan Sarawak sebagai salah satu pengeluar utama produk kayu di rantau ini.

"Saya mahu PUSAKA terus menganjurkan acara serupa pada masa hadapan untuk manfaat industri perkayuan," tambahnya.
 

  • oleh