Click here for SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SARAWAK TAHUN 2022 pdf files.
TEKS UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT
DATUK PATINGGI TAN SRI (Dr.) ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG
PREMIER SARAWAK
SEMPENA
SAMBUTAN HARI GURU
PERINGKAT SARAWAK TAHUN 2022
Terima kasih saudara/ saudari pengacara majlis.
1. Yang Berhormat Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak
2. Yang Berbahagia Datu Dr. Haji Azhar bin Haji Ahmad, Pengarah Pendidikan Sarawak
3. Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi bin Habibollah, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Malaysia merangkap Ahli Parlimen P221 Limbang
4. Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Ismail, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N79 Bukit Kota
5. Yang Berhormat Tuan Paulus Palu Gumbang, Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak N.80 Batu Danau
6. Yang Berusaha, Tuan Haji Sebi bin Haji Abang, Residen Bahagian Limbang
7. Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian
1. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T kerana atas limpah kurnia dan keizinan-Nya kita berkesempatan untuk meraikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak tahun 2022. “Selamat Hari Guru, terima kasih Cikgu”. Saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak kerana sudi untuk menjemput saya hadir bersama meraikan Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak tahun 2022.
2. Bertemakan “Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA” Sambutan Hari Guru pada kali ini amat bertepatan dengan usaha pihak kerajaan untuk memberi penekanan terhadap peranan para guru bagi membimbing dan membentuk kemenjadian anak-anak murid secara lebih holistik dan bersepadu selari dengan hasrat yang terkandung di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pembetukan generasi muda yang berilmu pengetahuan, berkemahiran, berketrampilan, memiliki jati diri sebagai warganegara Malaysia dan sahsiah yang mulia merupakan aspirasi negara yang perlu diperjuangkan bagi memastikan pembangunan negara yang lestari.
3. Pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Sarawak, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah serta institusi pendidikan bagi mewarnai keceriaan Sambutan Hari Guru pada kali ini. Apapun kaedah yang kita gunakan untuk menyambut Hari Guru, semuanya haruslah bermatlamat untuk menghargai segala jasa bakti dan pengorbanan insan yang bergelar guru kerana gurulah yang memainkan peranan penting dalam memberikan kesedaran kepada anak-anak murid tentang erti kehidupan, menitipkan asas ilmu pengetahuan dan kemahiran, membentuk jati diri yang mantap, bersemangat patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan mempunyai nilai moral yang tinggi, memiliki budaya kehidupan yang maju dan saintifik serta memiliki identiti nasional sebagai rakyat Malaysia yang bersatu padu.
Cikgu- cikgu Sekalian,
4. Guru menjadi tonggak utama kepada pendidikan berkualiti. Negara menaruh harapan yang tinggi kepada golongan pendidik yang bergelar guru dalam mendidik anak bangsa. Guru perlu memastikan pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan dapat dizahirkan sepenuh jiwa dalam kalangan anak didik bagi menerapkan ilmu, kemahiran dan nilai.
5. Saya sedar bahawa profesion guru sangat disanjung tinggi oleh masyarakat kerana peranan guru sangat besar dalam proses melahirkan modal insan yang diperlukan oleh Sarawak khasnya dan diperlukan oleh negara Malaysia amnya. Bagi mencapai matlamat Sarawak Maju 2030, peranan guru sangat penting untuk memastikan matlamat ini tercapai dalam pembentukan generasi yang berkualiti dalam semua aspek yang seimbang iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek, sosial dan kepercayaaan kepada Tuhan. Kita perlu menyedari bahawa peranan guru di sekolah sekarang bukan hanya sebagai pemudah cara dalam penyampaian ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada para murid tetapi turut berperanan sebagai pembimbing dan pembentuk insan yang beretika, mempunyai nilai moral yang tinggi serta berkepercayaan yang utuh kepada Tuhan berlandaskan prinsip Rukun Negara. Dalam proses menghadapi persaingan serba mencabar dan terus berkembang dengan begitu pantas, guru perlu sentiasa bersedia menerima segala perubahan dan berupaya menjadi pemudah cara yang berkesan bagi memperkembang minat, bakat, kebolehan serta keupayaan murid membina daya fikir yang kritis dan kreatif sehingga mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dunia yang sukar diramal yang berlaku di sekeliling mereka. Ini bermakna bahawa guru sekarang perlu senantiasa bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab yang semakin rencam dan sangat mencabar.
6. Saya juga sedar bahawa peranan utama Kerajaan Sarawak ialah memberi sokongan kepada agenda pendidikan kebangsaan. Yang kurang kita tambah. Yang perlu kita wujudkan. Yang sudah ada kita rekayasa. Semuanya dengan tujuan untuk membolehkan pendidikan di Sarawak berdiri sama tinggi dengan agenda pendidikan di peringkat kebangsaan demi kepentingan anak Bumi Kenyalang. Sumbangan dan jasa para guru dalam apa-apa juga program yang diadakan di sekolah, memberi kesan dalam usaha untuk melahirkan generasi yang berupaya bersaing di semua peringkat sama ada di peringkat negeri, di peringkat negara atau di peringkat dunia. Tuntutan untuk menjadi pesaing global itu sangat mencabar. Keperluannya sangat tinggi. Oleh itu, visi, misi, profesionalisme, kreativiti, inovasi dan keterampilan para guru amat penting sebagai tunjang untuk merealisasikan impian ini. Para guru perlu melengkapkan diri supaya dapat memudah cara pembelajaran para murid dengan pemahaman dan kesedaran tentang ilmu serta maklumat yang relevan dengan zaman mereka sesuai dengan kata-kata Syaidina Umar Al-Khattab bahawa “Didiklah anak-anak kamu mengikut zaman mereka.” Oleh hal yang demikian, para guru diingatkan perlu terus mengorak langkah untuk bersedia menerima perubahan dan memperkukuh kompetensi masing-masing bagi membina negara bangsa melalui sistem pendidikan negara yang mantap berasaskan ilmu, nilai dan budaya yang kita sanjung. Dengan sumbangan jasa guru-guru yang berkualiti tinggi, saya sangat berharap kita dapat menjadikan anak didik, khususnya di Sarawak, sebagai insan yang cemerlang dan berkualiti serta setanding dengan bangsa lain di seluruh pelosok dunia.
7. Guru merupakan penggerak utama dalam pembangunan modal insan. Justeru, kita memerlukan sokongan padu daripada guru untuk membina keupayaan dan kompetensi murid agar menjadi kuasa siber dan kuasa kognitif, cyberpower and brain power khususnya di Sarawak. Sarawak memerlukan keupayaan ini bagi mengangkat martabat dan maruah serta menggerakkan Sarawak Melangkah ke Hadapan supaya Sarawak dengan 2.8 juta penduduknya maju menjelang tahun 2030.
8. Sesungguhnya, segala usaha yang dilakukan di Sarawak merupakan agenda besar yang bakal mengubah nasib dan masa depan rakyat pelbagai kaum, khususnya masyarakat di luar bandar. Kejayaannya banyak bergantung kepada pemahaman dan penyertaan rakyat, khususnya generasi muda melalui bimbingan dan pemudahcaraan para guru. Ini ialah inisiatif untuk mereka dan kejayaannya tentu tidak hanya bergantung kepada kerajaan. Di sinilah kita sangat mengharapkan para guru bersama-sama Kerajaan Negeri Sarawak melalui Yayasan Sarawak dan MEITD menghulurkan sokongan selagi mampu untuk membangunkan potensi anak Sarawak dan seterusnya menjamin generasi yang akan menikmati kelangsungan kemajuan dan kesejahteraan bumi Sarawak ini.
Hadirin sekalian,
9. Saya berseru agar para guru terus menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan berintegriti tanpa mengira asal dan keturunan diri guru masing-masing, tanpa mengenal pegangan agama atau ideologi apatah lagi fahaman politik. Pendidikan ialah tonggak pembangunan keilmuan. Budaya ilmu merentasi semua budaya, semua umat dan milik semua orang. Perkara ini penting kerana keharmonian serta perpaduan penduduk Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum perlu terus terpelihara. Dengan adanya perpaduan dan keharmonian yang kukuh, segala cabaran dapat dihadapi bersama-sama secara berkesan. Dasar Transformasi Pembangunan Sarawak akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya.
Wabillahi tawfik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.