Click here for Pan Borneo Speeches pdf files.
UCAPAN YAB KETUA MENTERI SARAWAK
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN PEMBINAAN
LEBUHRAYA PAN BORNEO SARAWAK
PADA HARI SELASA, 31 MAC 2015
BERTEMPAT DI REST & RECREATION (R&R)
SIMPANG BAKUN, BATU 32 JALAN BINTULU-MIRI,
BINTULU, SARAWAK
[PENDAHULUAN]
1. Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhana Wa Ta’ala kerana dengan izin dan limpah kurniaNya kita dapat berada di majlis yang amat bersejarah pada pagi ini di mana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri akan melancarkan satu projek yang begitu bermakna bagi kita rakyat di Negeri Sarawak, iaitu Projek Lebuhraya Pan Borneo.
2. Sebelum meneruskan ucapan, saya ingin mengalu-alukan kehadiran Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Mohamad Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia kerana sudi meluangkan masa untuk berkunjung sekali lagi ke Negeri Sarawak bagi merasmikan Majlis Pelancaran Pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo, walaupun beliau mempunyai jadual yang sangat padat. Ini jelas menunjukkan beliau adalah seorang pemimpin yang prihatin dengan kehendak rakyat di negeri ini.
- Kepada semua yang turut hadir pada pagi ini, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih.
[UCAPAN PENGHARGAAN KEPADA YAB PERDANA MENTERI]
- Pertama sekali, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana telah menunaikan permintaan rakyat Sarawak untuk membina Projek Lebuhraya Pan Borneo yang merupakan salah satu projek Aku Janji Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
- Terima kasih juga kerana beliau masih memberi keutamaan yang tinggi kepada projek Lebuhraya Pan Borneo walaupun negara sedang melaksanakan beberapa langkah khusus bagi menghadapi cabaran ekonomi dan kewangan semasa. Ini jelas menunjukkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan peka dengan keperluan rakyat di negeri Sarawak.
[SOKONGAN KERAJAAN NEGERI]
- Kerajaan Negeri menyokong penuh pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo kerana ia akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat khususnya dalam pembangunan sosio-ekonomi negeri Sarawak. Maka untuk memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan mengambilkira keperluan Negeri, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Teknikal Peringkat Negeri.
- Kedua-dua Jawatankuasa ini memainkan peranan yang penting dalam menyelaras dan melicinkan pelaksanaan projek ini di peringkat Negeri khususnya dalam urusan tanah, penentuan jajaran jalan raya dan menangani isu-isu pelaksanaan projek.
[KEPERLUAN PERUNTUKAN DARIPADA KERAJAAN PERSEKUTUAN]
- Saya difahamkan bahawa kos pelaksanaan projek ini dianggarkan berjumlah RM13.35 Bilion iaitu merupakan jumlah yang terbesar bagi satu-satu projek yang pernah dilaksanakan di negeri Sarawak setakat ini.
- Kita berasa amat bertuah kerana mendapat peruntukan yang besar bagi pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo. Walau bagaimanapun, kita berharap supaya peruntukan tersebut adalah over and above peruntukan pembangunan di bawah Pelan Pembangunan Lima Tahun, iaitu Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) dan Keduabelas (RMKe-12) untuk negeri Sarawak. Ini disebabkan negeri Sarawak masih memerlukan peruntukan pembangunan yang besar untuk mencapai tahap pembangunan yang setaraf dengan Semenanjung Malaysia.
- Untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan merapatkan jurang pembangunan dengan negeri-negeri yang lebih maju di Semenanjung Malaysia, maka Kerajaan Negeri telah merangka Program Transformasi Sosio-Ekonomi (Socio-Economic Transformation Programme-SETP) negeri Sarawak. Program ini akan dilaksanakan mulai RMKe-11 dengan memberi fokus kepada Lima Teras Utama iaitu Transformasi Luar Bandar, Pertumbuhan Ekonomi, Pembangunan Bandar, Pembangunan Sosial dan Pembangunan Alam Sekitar.
- Dalam melaksanakan SETP, Kerajaan Negeri akan memberi keutamaan kepada projek-projek yang diperlukan oleh rakyat (people centric projects). Kebanyakan daripada projek-projek ini adalah projek infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrik ke kawasan luar bandar yang memerlukan peruntukan yang besar daripada Kerajaan Persekutuan.
[JALAN RAYA PAN BORNEO SARAWAK]
- Bagi rakyat negeri Sarawak, jalan raya Pan Borneo adalah rangkaian jalan raya utama sedia ada yang menghubungkan negeri Sarawak, negara Brunei Darussalam dan negeri Sabah. Pada masa ini, jalan raya tersebut mempunyai pelbagai kekurangan termasuklah hampir keseluruhan jalan raya ini adalah two lanes single carriageway, jalan yang tidak lurus, kekurangan lorong memotong dan tempat R&R yang terhad berbanding dengan keadaan lebuhraya yang serba lengkap di Semenanjung Malaysia.
- Oleh yang demikian, satu sistem perhubungan jalan raya yang sempurna, cekap lagi berkesan sangat diperlukan bagi merangsang pertumbuhan sosio ekonomi dan perindustrian negeri Sarawak termasuk di kawasan SCORE, seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mencapai status Negeri Maju menjelang 2020.
- Dalam konteks ini, pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo daripada two lanes single carriageway kepada four lanes dual carriageway adalah bertepatan dengan aspirasi ini. Pelaksanaan projek ini sudah tentunya akan mengubah landskap negeri Sarawak dengan ketaranya daripada the tip of Borneo iaitu dari Tanjung Datu sehinggalah ke Merapok, Lawas.
[IMPAK LEBUHRAYA PAN BORNEO]
- Projek Lebuhraya Pan Borneo ini sudah tentunya akan menyediakan rantaian jalan raya yang menghubungkan Kalimantan, Sarawak, Brunei Darussalam dan Sabah. Oleh yang demikian, dari perspektif pembangunan wilayah, projek ini akan membuka dan memperluaskan pasaran bagi barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh para industri dan pengusaha tempatan dari negeri Sarawak. Dengan adanya rantaian jalan raya ini juga memudahkan pergerakan penduduk yang boleh meransangkan pertumbuhan industri pelancongan tempatan.
- Pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo ini akan memendekkan masa perjalanan dan mengurangkan kos pengangkutan serta logistik. Keadaan ini akan membantu para industri dan pengusaha dari negeri Sarawak menjadi lebih kompetitif dalam memasarkan hasil keluaran mereka. Malahan, mereka boleh juga mendapatkan bekalan mentah dengan lebih cepat hasil daripada kos pengangkutan yang berpatutan.
- Jajaran projek ini akan melalui bandar dan pekan kecil yang terletak di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo. Lebuhraya ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar dan pekan kecil ini di mana pengguna jalan raya akan memerlukan perkhidmatan setempat seperti kemudahan penginapan. Selain daripada itu, penduduk-penduduk di kawasan tersebut berpeluang untuk memasarkan produk-produk tempatan termasuk kraftangan, hasil industri desa dan produk pelancongan seperti homestay kepada pengguna Lebuhraya yang melalui kawasan tersebut.
- Bagi penduduk yang selalu berulang-ulang alik semasa cuti dan musim perayaan, Lebuhraya Pan Borneo akan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas dengan menyediakan laluan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat.
- Saya percaya pelaksanaan projek ini akan secara langsung menyediakan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk Sarawak khususnya dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan.
[KERJASAMA RAKYAT ]
- Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo pada peringkat awalnya akan melibatkan kerja-kerja pengambilan tanah bukan hanya tanah kerajaan tetapi juga tanah milik pihak syarikat dan perseorangan.
- Untuk memastikan pelaksanaan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo ini berjalan lancar, sokongan dan kerjasama daripada pemilik tanah yang terlibat amatlah diperlukan. Mereka harus memahami hasrat baik kerajaan dalam usaha membangunkan sosio ekonomi rakyat menerusi pembangunan infrastruktur jalan perhubungan ini.
- Sehubungan itu, saya menyeru kepada mereka yang terlibat supaya memberi kerjasama kepada pihak kerajaan di dalam proses pengambilan tanah untuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo. Sudah tentu proses ini akan dijalankan secara bijaksana dan adil berpandukan kepada perundangan Kerajaan Negeri yang sedia ada.
[PENUTUP]
- Selepas ini kita akan mendengar amanat daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Sebelum mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana sudi bersama kita pada pagi ini. Terima kasih juga kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis pelancaran ini.
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullah/ Wabarakatuh
Speech Venue : REST & RECREATION (R&R) SIMPANG BAKUN, BATU 32 JALAN BINTULU-MIRI, BINTULU, SARAWAK