
KUCHING: Dayang Norjihan menyifatkan keperibadian Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang sebagai seorang wanita dan ibu yang sangat pendiam, merendah diri serta tidak gemar berada di hadapan.
Sepanjang hayatnya, Juma'ani seorang wanita yang kehidupannya telah menyentuh masyarakat, mengangkat tradisi dan meninggalkan kesan mendalam terhadap jati diri budaya Sarawak.
"Sejujurnya itulah keistimewaan ibu saya yang sangat istimewa bukan sahaja kepada ayahanda (Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg), anak-anak, cucu malah rakyat Sarawak amnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Buku 'Kebangkitan Songket dan Keringkam Sarawak: Menghormati Datuk Amar Juma'ani' di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak petang Khamis.
Dalam nada sebak, Dayang Norjihan memberitahu segala sokongan yang diberikan kepada ayahanda, kerja dan usahanya melambang kecintaan, kasih sayang dan minat yang mendalam termasuk terhadap songket dan keringkam yang kini telah dibukukan untuk tatapan dan rujukan bersama.
Setiap kali ibu perlu ke luar negara, seminggu sebelum itu beliau sering berpesan agar menjaga makan minum, pakaian dan kesihatan ayahanda kerana mungkin ia pesanan terakhir darinya.
"Kecintaan beliau terhadap warisan ini bukanlah sesuatu yang bermula lewat sebaliknya telah berakar sejak usia mudanya dengan segala koleksi yang dipaparkan dalam video yang anda lihat tadi hanyalah sebahagian kecil daripada apa yang telah dikumpulkan sepanjang hidupnya," ujar Dayang Norjihan lagi.
Inilah katanya, peri pentingnya warisan tekstil dan menyifatkan songket dan keringkam bukan sekadar pakaian tetapi lambang maruah, seni halus dan identiti sebagai anak Sarawak.
"Ia layak diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa.
Katanya, apabila diminta untuk berkongsi koleksi ibunya beliau mengakui walaupun sudah lima bulan berlalu namun ketika melihat barang-barang ibunya hatinya amat tersentuh.
"Namun kerana saya tahu betapa besar kasih sayang beliau terhadap songket dan keringkam maka saya kuatkan diri dan memilih pakaian serta mengambil sebahagian koleksi untuk dikongsi yang kesemuanya 19 helai," kata Dayang Norjihan.
Beliau turut berkongsi sehelai selayah berwarna merah jambu yang dipakai hasil tangan ibunya yang telah disiapkan sebelum beliau lahir.
"Alhamdulillah, apabila saya bertemu jodoh, ibu hadir bersama kami dan seperti dijanjikan, saya memakai selayah itu pada hari perkahwinan saya," katanya dan berpesan agar selayah keringkam itu diwarisi pula kepada anaknya pula ketika berkahwin suatu hari nanti.
"Satu perkara yang jelas, setiap apa yang dilakukan oleh ibu, semuanya lahir daripada kasih yang sangat tulus," katanya sambil menambah ibunya amat menyayangi kucing.
Tambah Dayang Norjihan lagi, ibunya sangat aktif dengan aktiviti kebajikan dan telah mengasaskan sebuah persatuan kebajikan dan kerap membawanya melawat ke pusat kebajikan di seluruh Sarawak.
"Satu minat ibunya ialah suka berkunjung ke pasar sayur dan beliau bukan sahaja membeli barangan dapur malah mendengar rintihan masyarakat dan atas sebab itu bila ibu pergi meninggalkan kita, seluruh Kampung Bintawa meratapinya.
"Itu menunjukkan betapa dekatnya beliau dengan masyarakat," katanya.