Oleh Agnes Tugong
KUCHING: Sarawak akan mengoptimumkan kekuatan sumbernya dan menaik tarafnya kepada produk hijau bernilai tinggi.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dunia kini memberi penekanan kepada tenaga hijau.
Justeru katanya, jika Sarawak dapat mengoptimumkan kekuatan sumbernya, dunia akan datang kepada Sarawak seperti semut datang ke arah gula.
“Itu akan menjadi konsep yang kita hendak buat untuk Sarawak dan saya harap kita boleh mencapainya sehingga 2030 dan menjadi suar di seluruh kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada rumah terbuka Deepavali anjuran peguam Shankar Ram dan keluarganya di The King’s Curry di sini hari ini.
Ujar Abang Johari lagi, Sarawak bertuah kerana dikurniakan banyak sumber dan satu-satunya masalah adalah untuk mendapatkan pengetahuan yang betul bagi menambah nilai kepada sumber yang ada.
Malah katanya Sarawak telah meneroka banyak sumber baharu untuk meningkatkan hasil dan pada masa yang sama menyuntik semula hasil kepada pembangunan negeri terutama infrastruktur.
“Saya berada di Bali baru-baru ini dan saya mendapat penghormatan untuk berkongsi mengenai pembangunan tenaga hidro kita, berkongsi apa yang Sarawak telah capai dan rancangan masa depan untuk Sarawak.
“Niat kita adalah untuk Sarawak menjadi Hab ASEAN kerana kita terletak secara strategik di tengah ASEAN,” ujarnya.
Abang Johari turut berkata masyarakat dunia kini beralih kepada metanol dan ammonia hijau dan Sarawak sedang menerokainya untuk menjana ekonomi.
Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana membenarkan Sarawak mengambil semula Pelabuhan Bintulu.
Bintulu katanya sama jarak antara China dan India dan pada masa yang sama, Bintulu adalah tempat dalam rantau ASEAN.
Pada majlis itu, Abang Johari turut berterima kasih kepada Shankar Ram dan keluarganya atas jemputan itu.
Katanya semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum ini menjadi kunci utama kepada kemakmuran Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah serta yang lain.