picture

News

 

RM15 juta bangun prasarana baharu di SMK Gedong: Abang Johari

Posted on 23 Jul 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari (duduk) tengah merakamkan gambar bersama mereka yang hadir pada Majlis Penutupan Kem Kepimpinan Belia EMART di SMK Gedong. - Gambar Penerangan

Abang Johari (duduk) tengah merakamkan gambar bersama mereka yang hadir pada Majlis Penutupan Kem Kepimpinan Belia EMART di SMK Gedong. - Gambar Penerangan

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan membangunkan prasarana baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gedong dengan anggaran peruntukan RM15 juta. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan itu perlu bagi menambah baik kemudahan sedia yang telah daif. 

“Saya akan minta Jabatan Pendidikan melantik perunding untuk memberi cadangan dan anggaran saya untuk sekolah ini adalah RM15 juta. 

“Sekolah ini adalah sekolah menengah dan kita akan bangunkan prasarana baharu termasuk landskapnya seperti sebuah sekolah baharu,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kem Kepimpinan Belia EMART di SMK Gedong, dekat sini hari ini. 

Hadir sama Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman, Pengarah Urusan Syarikat EMART Ngu Ting Sii, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Buhari Bujang, Penasihat MINTRED Datuk Naroden Majais dan Pengetua SMK Gedong Abdul Wahab Bujang. 

Selain SMK Gedong, kerajaan negeri menurut Abang Johari juga akan menaik taraf Sekolah Kebangsaan (SK) Sageng di Simunjan yang berkeadaan daif. 

Katanya, walaupun sekolah itu terletak di tanah gambut, ia masih boleh dibangunkan menggunakan teknologi baharu.
 
“Tetapi Jabatan Pendidikan sampai hari ini belum memberikan butiran kos kepada saya (SK Sageng),” katanya. 

Sehubungan itu, beliau meminta pihak Jabatan Pendidikan segera memberikan butiran kepadanya untuk dimasukkan dalam peruntukan beliau. 

Pada majlis itu, Abang Johari turut menasihatkan anak-anak pelajar supaya memberi tumpuan kepada ilmu baharu berkait alam sekitar yang boleh mengangkat ekonomi negeri seperti hidrogen. 

Katanya, impian Sarawak adalah untuk menjadikan negeri ini maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030. 

Oleh sebab itu katanya, Sarawak memerlukan anak-anak yang pakar dalam sains, kimia, fizik dan matematik kerana untuk mengeluarkan hidrogen, ia berkehendakkan asas-asas dalam bidang tersebut. 

“Saya kongsikan ini dengan anda (anak pelajar) sebab 2030 adalah era anda. Saya berumur 73 tahun bulan depan dan 80 tahun pada 2030, manakala anda berumur 23 tahun. 

“Jadi andalah yang akan mengubah masa depan Sarawak selepas 2030,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong.