picture

News

 

Jamin luar bandar terus dibangunkan

Posted on 18 Jun 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari ketika berucap pada majlis Sambutan Gawai 2023 Daerah Gedong di Dewan RTC Munggu Lalang, Ulu Gedong pada malam Sabtu. -Gambar UKAS
Abang Johari ketika berucap pada majlis Sambutan Gawai 2023 Daerah Gedong di Dewan RTC Munggu Lalang, Ulu Gedong pada malam Sabtu. -Gambar UKAS

KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi jaminan untuk terus membangunkan kawasan luar bandar termasuk di Gedong dan Simunjan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini terbukti apabila 70 peratus bajet yang diperuntukkan untuk Sarawak disalurkan ke kawasan luar bandar bagi melaksanakan pembangunan.

"Kita bukan sahaja hendak membantu Gedong dan Simunjan malah juga di kawasan Rajang, Saribas, Baram serta utara Sarawak.

"Kita buat jalan, jambatan, projek pengairan dan saliran serta projek yang boleh membangunkan ekonomi luar bandar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Gawai 2023 Daerah Gedong di Dewan RTC Munggu Lalang, Ulu Gedong pada malam Sabtu.

Sehubungan itu, Abang Johari menggesa rakyat Sarawak untuk terus bekerjasama dan menjaga perpaduan dengan baik.

Katanya, ia penting bagi memastikan kesemua projek pembangunan termasuk di luar bandar dapat dilaksanakan dan seterusnya menjadi tunjang kepada kestabilan ekonomi Sarawak menjelang 2030.

“Oleh itu, penting untuk kita menjaga perpaduan pelbagai kaum yang sudah sekian lama terjalin demi manfat rakyat sekarang dan juga, generasi  pada masa hadapan,” katanya.

Pada majlis tersebut Abang Johari turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Kumang Gawai sempena sambutan Hari Gawai pada 2023.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohammad Abu Bakar,; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Ir. Aidel Lariwoo; Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dan wakil khas Premier Sarawak di Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais.

  • oleh