picture

News

 

Sekolah Menengah Islam Antarabangsa Sarawak ambil 100 pelajar tingkatan satu menjelang 2027

Posted on 17 Jun 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari menerima cenderamata daripada Misnu pada Majlis Perasmian Seminar Pendidikan Islam Antarabangsa 2023 di Kuching, hari ini. - Gambar Muhd Rais Sanusi

Abang Johari menerima cenderamata daripada Misnu pada Majlis Perasmian Seminar Pendidikan Islam Antarabangsa 2023 di Kuching, hari ini. - Gambar Muhd Rais Sanusi

KUCHING: Sekolah Menengah Islam Antarabangsa Sarawak dijangka mengambil seramai 100 pelajar tingkatan satu menjelang 2027.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datu Misnu Taha berkata, jumlah itu melibatkan kohort pertama pengambilan pelajar untuk sekolah asrama penuh tersebut.

“Ketika ini, MIS melalui Biro Perkhidmatan Pendidikan sedang giat mengusahakan hal-hal dasar sekolah tersebut termasuk kurikulum, kakitangan, pengambilan pelajar dan aspek pembiayaan sekolah.

“Jadi, apabila ia beroperasi sepenuhnya, akan ada 500 pelajar yang akan menggunakan Kurikulum Kebangsaan, Kurikulum Tahfiz dan Hafazan dan kurikulum Sijil Am Antarabangsa Pendidikan Menengah (IGCSE),” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Seminar Antarabangsa Pendidikan Islam yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.

Menurut Misnu, terdapat sembilan sekolah rendah agama bantuan kerajaan ditubuhkan oleh MIS dan sembilan sekolah menengah agama di Sarawak pada masa ini.

“Dua daripada sekolah menengah agama itu telah ditubuhkan oleh MIS iaitu SMK (A) Tun Ahmad Zaidi, Kuching dan SM (A) Pasentren Abdul Taib Mahmud, Kota Samarahan.

“Kurikulum dan bekalan guru untuk semua sekolah ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu sekolah menengah agama pertama di Sarawak ialah SMK (A) Sheikh Haji Othman Abdul Wahab, Kuching yang telah dibuka pada tahun 1976. 

“Terdapat ramai pelajar sekolah ini yang menjawat pelbagai jawatan penting di beberapa jabatan kerajaan dan agensi Islam di negeri ini.

“MIS turut mengambil alih Ma'had Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya'kub pada Januari 2020 dan sedang melaksanakan Kurikulum Bersepadu Tahfiz Sarawak (KBTS) sejak 2021,” jelasnya.

Beliau memaklumkan MIS melalui Biro Perkhidmatan Pendidikan juga telah menubuhkan 19 taska dan dua prasekolah di Sarawak.

“Terdapat juga 31 sekolah tahfiz dan satu sekolah rendah agama swasta yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Sarawak. 

“Biro Perkhidmatan Pendidikan turut melaksanakan 29 program Pendidikan Berasaskan Komuniti dengan bantuan Jawatankuasa Pengurusan Masjid di seluruh Sarawak melibatkan lebih 490 fasilitator,” ujarnya.

Terdahulu, seminar dua hari pada 17 dan 18 Jun itu  dianjurkan oleh Biro Perkhidmatan Pendidikan MIS dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka.

Seminar yang bertemakan 'Pencapaian Pendidikan Islam, Cabaran dan Jalan ke Hadapan' menghimpun 300 peserta dari dalam dan luar negara, 100 jemputan perasmian dan 50 urus setia serta jemputan pembentang dari Indonesia dan Brunei.

Seminar ini juga bersiaran langsung di Facebook dan YouTube.