News

 

Penjawat awam perlu bergerak seiring dengan dunia digital: Premier

Posted on 19 Jun 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Mardzuki (tiga kiri) menyampaikan cenderamata sebagai tanda kenangan kepada Abang Johari pada majlis berkenaan. - Gambar UKAS
Mardzuki (tiga kiri) menyampaikan cenderamata sebagai tanda kenangan kepada Abang Johari pada majlis berkenaan. - Gambar UKAS

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru penjawat awam di negeri ini supaya sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terkini dan trend dunia yang sentiasa berubah.

Selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), beliau berkata penjawat awam di negeri ini perlu kekal berdaya saing, proaktif dan mempunyai inisiatif untuk meningkatkan kualiti dan taraf perkhidmatan awam.

Menurutnya, ekonomi digital memberi kesan dan mengubah banyak sektor di mana ia bukan sahaja mengenai cara kerajaan, sektor swasta dan individu beroperasi dan berinteraksi. 

"Ia juga mempunyai kaitan dengan operasi, pengurusan dan penyelenggaraan aset awam dan teknologi infrastruktur seperti internet benda (IoT).

"Dalam menyediakan Sarawak menuju ke arah ekonomi digital, kita perlu bekerja lebih keras dan lebih bijak untuk membina dan meletakkan semua infrastruktur digital yang diperlukan dan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk menjalankan ekonomi digital sepenuhnya dalam persekitaran yang selamat, terjamin dan boleh dipercayai.

"Kita kini sedar bahawa kita sedang berhadapan dengan dunia tanpa sempadan. Justeru, dalam era komunikasi tangkas, kita mesti bergerak seiring dengan dunia digital. Ini adalah peranan setiap penjawat awam di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam penghargaan penjawat awam 'Majlis Sekalung Budi' di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) malam tadi.

Abang Johari turut mengulangi bahawa penjawat awam perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam meneroka cara baharu untuk negeri menguruskan ekonominya.

"Kerajaan negeri memberi penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam menambah nilai kepada sumber sedia ada di negeri ini untuk meningkatkan ekonomi negeri dan negara.

"Allah telah memberikan kita sumber yang luas, dan sudah tentu kita harus menambah nilai kepada sumber kita dengan meneroka teknologi baharu, supaya kita dapat memberikan pendapatan kepada negeri dan negara.

"Kami (kerajaan) kini meningkatkan sumber baharu serta menggunakan sumber sedia ada ke arah ekonomi hijau. 

"Iklim kita telah berubah. Terdapat negara yang habitatnya terancam akibat perubahan iklim. Itulah sebabnya kita harus meneroka perkara ini dalam usaha mengurangkan kesan perubahan iklim dan kita boleh membuat sumbangan yang berkesan ke arah kelestarian alam sekitar kita," tambahnya. 

Pada majlis itu, seramai 31 penjawat awam negeri dan persekutuan diraikan sempena pertukaran dan persaraan ketua jabatan.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan mantan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.

  • oleh