picture

News

 

Sarawak hargai usaha serius selesai isu MA63 yang telah lama tertunggak

Posted on 24 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari ketika tiba di DUN bagi menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Abang Johari tiba di DUN bagi menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya hari ini. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Kerajaan Sarawak menghargai usaha kerajaan persekutuan yang serius dalam menyelesaikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah lama tertunggak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kesungguhan itu dibuktikan menerusi penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“MTPMA63 disokong oleh dua Jawatankuasa Teknikal iaitu Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia (Dato Sri Fadillah Yusof) dan Jawatankuasa Penyelarasan yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

“Mesyuarat Majlis Tindakan ini yang pertama diadakan pada 20 Januari 2023 di Kuching,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, antara keputusan yang telah dipersetujui dalam mesyuarat itu ialah pelantikan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak sebagai wakil Kerajaan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Antara keputusan lain yang dipersetujui termasuk Jabatan Kerja Raya Sarawak dan Jabatan Pengairan dan Saliran diiktiraf sebagai Jabatan Teknikal dan diberi kuasa untuk melaksanakan projek persekutuan di Sarawak dengan had sehingga RM50 juta. 

“Turut dipersetujui ialah Semakan Peruntukan Kewangan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan untuk meningkatkan jumlah Pemberian Khas kepada Sarawak sehingga RM300 juta dan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sempadan Sarawak-Kalimantan juga dipersetujui,” katanya.

Kata Abang Johari, Perdana Menteri telah memberi kelulusan awal untuk peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi menaik taraf infrastruktur, meningkatkan keselamatan dan meningkatkan keupayaan kompleks ICQS di sempadan Sarawak dan Sabah. 

“Kita kini bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan untuk melaksanakan projek-projek tersebut,” katanya.

Mengenai Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Sarawak Merdeka Dalam Malaysia, beliau berkata, tahun ini menandakan satu peristiwa bersejarah dalam sejarah Sarawak.

“Kita akan menyambut ulang tahun ke-60 kemerdekaan Jubli Intan kita pada 22 Julai 2023 dengan tema Sarawak Maju Makmur atau Sarawak Progresif Sejahtera,” katanya.

Menurutnya, rakyat telah melangkah jauh sejak 1963 apabila Sarawak mencapai kemerdekaan. 

“Sepanjang enam dekad yang lalu, kita telah menyaksikan kemajuan dan pembangunan yang luar biasa di Sarawak. 

“Kemakmuran ekonomi yang kita kecapi hari ini tidak datang dengan mudah. Justeru, mari kita meraikan sambutan ini bagi mengiktiraf kerja keras, ketekunan dan ketabahan pemimpin kita dahulu dan sekarang yang telah menyatukan rakyat dan menumpukan usaha membangunkan Sarawak untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Rakyat Sarawak ujarnya, harus kekal komited untuk membina masa depan yang mampan untuk negeri Sarawak, yang mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan penjagaan alam sekitar dan keterangkuman sosial. 

“Kita mesti memastikan bahawa kemajuan kita memberi manfaat kepada semua rakyat Sarawak,” katanya.

  • oleh