picture

News

 

SaraCarbon syarikat swasta tempatan pertama diberikan Permit Kajian Karbon

Posted on 24 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari diiringi dua Timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas (kiri) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (kanan) beredar dari DUN selepas persidangan berakhir hari ini. - Gambar Penerangan
Abang Johari diiringi dua Timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas (kiri) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (kanan) beredar dari DUN selepas persidangan berakhir hari ini. - Gambar Penerangan

KUCHING: Sarawak melakar satu lagi pencapaian penting apabila membuka pintu kepada sektor swasta untuk mengambil bahagian secara aktif dalam inisiatif perdagangan karbon.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, SaraCarbon muncul syarikat swasta tempatan pertama diberikan Permit Kajian Karbon oleh kerajaan Sarawak yang akan membolehkan syarikat itu menjalankan kajian dalam bidang berkaitan untuk permohonan Lesen Karbon.

"Perdagangan karbon adalah penyelesaian menang-menang untuk Sarawak. Ia memberi peluang kepada syarikat menjana pendapatan sambil turut menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar.

"SaraCarbon, sebuah syarikat swasta dari Sarawak, telah menyahut cabaran untuk menjadi syarikat pertama yang menerima Permit Kajian Karbon," ujarnya dalam ucapan penggulungan pada persidangan DUN di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, inisiatif perdagangan karbon merupakan usaha global yang penting untuk menangani perubahan iklim.

Perdagangan karbon di Sarawak katanya, kini boleh dilakukan susulan Ordinan Hutan yang telah diluluskan dalam persidangan DUN pada Mei 2022, dan Peraturan Hutan (Aktiviti Karbon Hutan) 2022 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.

"Sarawak mempunyai potensi berskala dunia untuk penyimpanan CO2 (pelepasan karbon dioksida), dianggarkan sekitar sembilan bilion tan.

"Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) mengetuai agenda Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) untuk membuka kunci potensi nilai jangka panjang untuk rantau ini," tegasnya.

Beliau berkata, pelaksanaan CCS di Sarawak dijangka dapat memastikan kemampanan dan keselamatan tenaga jangka panjang.

"CCS akan menarik pelaburan langsung asing dan menggalakkan pertumbuhan hidrogen biru dan hijau serta industri terbitannya di rantau ini," katanya.

Beliau berkata, Sarawak melalui PETROS sedang membangunkan Pelan Hala Tuju CCS komprehensif yang menggariskan strategi dan tindakan yang perlu untuk merealisasikan potensi penuh rantaian nilai CCS di Sarawak.

Menurut Bank Dunia katanya, pada masa ini terdapat 73 instrumen penetapan harga karbon global yang beroperasi, berbanding 68 ketika Bank Dunia mengeluarkan laporan 2022 pada Mei lalu, meliputi sekitar 23 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global.

"Angka yang dinaikkan pada 2022 dalam hasil karbon meningkat daripada sekitar AS$84 bilion yang diperoleh pada 2021," jelasnya.

Abang Johari berkata, pada 2017, laporan oleh Suruhanjaya Peringkat Tinggi mengenai Harga Karbon menunjukkan harga karbon perlu berada dalam julat AS$50-100 setan menjelang 2030 untuk mengekalkan kenaikan suhu global di bawah dua darjah Celsius yang dipersetujui dalam Perjanjian Paris 2015.

  • oleh