picture

News

 

Sudah tiba masanya Sarawak wujudkan Kereta Api Trans Borneo: Abang Johari

Posted on 27 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari melihat replika Jambatan Lawas semasa lawatan ke tapak projek di Lawas, hari ini.
Abang Johari melihat replika Jambatan Lawas semasa lawatan ke tapak projek di Lawas, hari ini.

LAWAS: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sudah sampai masanya untuk Sarawak mewujudkan Kereta Api Trans Borneo melibatkan Malaysia, Brunei dan Indonesia bagi menjana ledakan aktiviti ekonomi  setempat, khususnya di utara Sarawak.

Beliau berkata, cadangan untuk mewujudkan Kereta Api Trans Borneo telah dibuat kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).

"Kami telah diberi taklimat oleh MOT mengenai cadangan ini dan satu kajian akan dibuat oleh kementerian tersebut.

"Dicadangkan kita akan mempunyai Kereta Api Trans Borneo yang juga akan menjurus ke Sabah dan bersambung dengan Kalimantan, Indonesia.

"Jadi, apa yang berlaku mesti ada perbincangan antara negara Malaysia, Indonesia dan Brunei," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Hotel Seri Malaysia di sini selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Jambatan Lawas, Hospital Lawas dan Kompleks Kerajaan Bersepadu Lawas, hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan kenamaan lain.

Abang Johari berkata, jika projek itu dilaksanakan, ia akan dibiayai oleh kerajaan persekutuan.

"Saya rasa masa sudah sampai untuk kita mewujudkan Kereta Api Trans Borneo untuk meletuskan ekonomi setempat kita," ujarnya lagi.

Mengulas mengenai projek pembangunan, Abang Johari berkata terdapat 226 projek di bawah pembiayaan alternatif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK1-2) Negeri dan Projek Rakyat dengan jumlah peruntukan RM440.7 juta telah diluluskan untuk Bahagian Limbang.

"Setakat 30 April tahun ini, 57 projek telah disiapkan, (manakala) 88 projek berada di bawah pelbagai peringkat perlaksanaan," katanya.

Ujarnya, daripada 226 projek terbabit, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dengan 114 projek mempunyai paling banyak projek di bawah pelbagai peringkat perlaksanaan.

Terdahulu, Abang Johari mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri di sini, pagi ini.

  • oleh