picture

News

 

Premier hargai rakyat Sarawak terima konsep digitalisasi

Posted on 29 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Misalnya frasa ‘ketek ajak’ yang sering diungkapkannya di beberapa majlis dihadirinya kini viral di media sosial 

Abang Johari ketika menyampaikan ucapan. Gambar Roystein Emmor

Abang Johari ketika menyampaikan ucapan. -Gambar Roystein Emmor

“Selepas itu, muncul wajah saya di video tersebut… bukan saya suruh video saya keluar (ini bukan dilakukan atas kehendak saya).” 

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Premier Sarawak 

Oleh Marlinda Mardzuki

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berterima kasih kepada rakyat Sarawak kerana menerima konsep digitalisasi.

Abang Johari berkata, misalnya frasa ‘ketek ajak’ yang sering diungkapkan oleh beliau di beberapa majlis yang dihadirinya kini menjadi viral di media sosial seperti Tiktok.

Katanya, beliau ada melihat video lagu Iban bertajuk 'Enda Berasai' oleh Tracyta Clara di mana ia turut menyebut perkataan 'Ketik, Ketik, Ketik, Ketik aja'.

“Selepas itu, muncul wajah saya di video tersebut… bukan saya suruh video saya keluar (ini bukan dilakukan atas kehendak saya). 

“Tapi maknanya dengan video ini tadi, anda boleh mereka bentuk apa yang mahu digambarkan kepada umum.

“Bagaimanapun, saya tiada bantahan (terhadap video itu).

“Ia bagus dan saya berterima kasih kepada penyanyi itu,” katanya pada Majlis Jamuan Teh sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 Sarawak di sini, hari ini. 

Abang Johari berkata, pada asalnya, frasa ‘ketek-ketek’ merujuk kepada pendigitalan dan segala-galanya hanya dengan satu klik sahaja.

“Sama seperti ATM, anda hanya klik dan wang itu kemudiannya dikeluarkan dari mesin dan itu disebabkan teknologi.

“Justeru, saya rasa amat bersyukur kerana rakyat dapat menerima konsep digitalisasi sehinggakan frasa itu dimasukkan dalam sesebuah lagu. Saya berterima kasih kepada penyanyi itu,” katanya.

Sementara itu, beliau mohon agar pihak media terus memainkan peranan mereka dalam menyampaikan laporan yang tepat.