picture

News

 

Kerajaan Sarawak sedia membantu wartawan ingin lanjut pelajaran ke peringkat lebih tinggi

Posted on 29 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari menerima cenderamata daripada Abdullah pada majlis berkenaan hari ini. -Gambar Roystein Emmor
Abang Johari menerima cenderamata daripada Abdullah pada majlis berkenaan hari ini. -Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedia membantu wartawan yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan biasiswa bagi meningkatkan tahap profesionalisme mereka.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemberian bantuan biasiswa itu akan diberikan menerusi Yayasan Sarawak.

Beliau katanya, mahu wartawan lebih mahir dalam menyediakan laporan yang bertanggungjawab melalui kefahaman dalam pelbagai bidang terutama sains, kewangan dan perbankan serta ekonomi.

“Misalnya, kita mahu wartawan mempunyai latar belakang sains untuk bercakap tentang alga (lumut), bagaimana bahan api penerbangan mampan (SAF) dihasilkan daripada alga, apakah itu lipid kerana lipid dihasilkan daripada alga. Jika tidak, mereka akan membuat laporan palsu.

“Dari sudut ekonomi dan kewangan pula, kita juga mahu wartawan mempunyai latar belakang kewangan korporat supaya laporan (kewangan) itu betul. Itu yang saya kata laporan bertanggungjawab.

“Sebab itu  jika anda (wartawan) ingin melanjutkan pelajaran, saya akan membantu menerusi Yayasan Sarawak. 

“Dengan itu, standard kita dapat ditingkatkan dan cara laporan para wartawan juga betul," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Teh sempena Hari Wartawan Nasional  (HAWANA) 2023 Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini. 

Sementara itu, Abang Johari berkata, Sarawak akan mengadakan persidangan mengenai kewartawanan bagi meningkatkan profesionalisme dan laporan para wartawan di negeri ini.

Beliau menegaskan persidangan itu perlu kerana 'laporan yang bertanggungjawab' bergantung kepada tahap standard dan latar belakang wartawan.

"Sebab itu saya fikir persidangan ini satu cara untuk kita berkongsi idea bagaimana kita menaik taraf profesion kewartawanan.

"Melalui persidangan ini juga, saya berharap perbincangan yang dihasilkan boleh dikemukakan nanti kepada kerajaan," ujarnya.

Mengenai sambutan HAWANA, Abang Johari ‘memberi lampu hijau’ sekiranya Sarawak menjadi tuan rumah sambutan HAWANA peringkat kebangsaan tahun depan.

"Insya-Allah, kalau Menteri  Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil bersetuju, kita boleh menjadi hos bagi sambutan ini tahun depan. Mengenai masalah kewangan, kita juga boleh bantu," ujar Abang Johari.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak)  Abdullah Saidol, ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datu Hii Chang Kee.

  • oleh