picture

News

 

Tingkat standard bandar untuk capai wilayah antarabangsa dan hijau

Posted on 29 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari menerima cenderahati penghargaan dari Yii disaksikan tetamu kehormat lain. -Gambar UKAS
Abang Johari menerima cenderahati penghargaan dari Yii disaksikan tetamu kehormat lain. -Gambar UKAS

MIRI: Usaha kerajaan Sarawak mengangkat standard bandar-bandar di negeri ini dengan pembangunan ekonomi baharu akan turut membantu mengangkat standard Sarawak sebagai wilayah bertaraf antarabangsa.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata,  ia merupakan hala tuju Sarawak sebagai negeri maju pada tahun 2030 dan usaha kerajaan negeri telah menampakkan hasil. 

Beliau memberitahu, untuk projek bandar raya pintar, Miri berada di hadapan dan menjadi contoh terbaik dari aspek penggunaan aplikasi dalam pengurusannya. 

Selain itu, katanya, pembinaan bangunan berteraskan hijau di Miri serta langkah melengkapkan Miri dengan infrastruktur moden dan peralatan canggih akan mengangkat standard Miri sebagai bandar raya antarabangsa.

Abang Johari berkata, langkah itu juga mengangkat Sarawak sebagai wilayah yang menuju ekonomi hijau yang mementingkan penjagaan alam sekitar dan persekitaran hijau.

"Kalau Miri dan juga bandar lain dapat diubah secara standard antarabangsa yang diterima, kita sudah tentu akan mengangkat Sarawak sebagai wilayah antarabangsa dan menggunakan ekonomi baharu," jelasnya merasmikan majlis makan malam penutupan Mayfest Majlis Bandaraya Miri (MBM) di Eastwood Valley Golf and Country Club pada malam tadi. 

Beliau memberitahu, kerajaan negeri telah memperkenalkan ekonomi hidrogen dan karbon, serta  yang pertama memperkenalkan dasar Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) yang menjadi hak negeri termasuk pengurusan dan perdagangan karbon. 

Beliau memberitahu, kajian tentang mikro alga atau lumut bermula sejak 2018 juga telah menampakkan hasil pada tahun ini. 

Dari kajian, katanya, mikro alga boleh menghasilkan minyak mampan dan bahan kompaun  anti viral  yang sesuai untuk perubatan. 

Mengulas tentang penggunaan Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF),  beliau memberitahu kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Aerospace Industry Inovation Centre Of Malaysia, SEDC Energy dan pesawat airbus untuk mengeluar SAF secara skala besar.

"Kita memasuki ekonomi baharu dari segi perdagangan karbon dimana kita mempertahankan kehijauan yang ada dan sebenarnya kita sangat maju dalam hal ini," jelasnya menambah kemajuan telah diakui kerajaan pusat sekali gus mengangkat standard dan mengubah ekonomi dengan dasar-dasar baharu yang disumbang dari ilmu kepakaran anak-anak Sarawak sendiri. 

Dari aspek pendidikan, beliau mahu anak-anak Sarawak mendapat pendidikan tinggi di universiti dan kolej antarabangsa milik kerajaan negeri yang menawarkan kursus dan disiplin yang terkini berdasarkan teknologi dan ekonomi baharu.

Beliau memberitahu, sekolah antarabangsa juga telah dibina di ibu negeri dan akan dibangunkan di Miri untuk pelajar-pelajar cemerlang termasuk dari keluarga B40 dan M40.

"Kalau kita mempunyai dana yang banyak kita, laburkan dalam dana berdaulat, kita hendak beri pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak, ini niat kita.

"Niat anak Sarawak belajar di universiti sendiri dan dana dibayai Yayasan Sarawak," jelasnya. 

Abang Johari berkata, dengan perolehan pendapatan yang meningkat membenarkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai perancangan pembangunan baharu. 

Pada tahun lalu, Sarawak menerima pendapatan berjumlah RM12 bilion. Untuk suku pertama tahun ini, perolehan pendapatan adalah RM5 bilion iaitu 45 peratus dari hasil yang diunjurkan iaitu RM11 bilion untuk sepanjang tahun 2023. 

Tentang pembangunan fasa kedua dewan bandaraya Miri, Abang Johari berkata, kerajaan negeri akan membuat kajian tentangnya termasuk kos pembinaan.  

"Kalau tertakluk kepada kos dan daya hidup,  boleh kita buat, tetapi mengikut keadaan, kalau (projek) dapat memberi simbol kemodenan dan simbol moden teknologi di Miri," jelasnya. 

Terdahulu ADUN Pujut dan Datuk Bandar Adam Yii berkata, majlis adalah penutupan untuk aktiviti-aktiviti dianjurkan sepanjang bulan Mei yang turut diadakan sempena sambutan ulangtahun ke 18 Miri setelah mencapai status  bandar raya pada 20 Mei 2005. 

Majlis diserikan dengan pelbagai persembahan tarian kebudayaan etnik kaum di sini. 

Hadir sama Timbalan Premier dan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta timbalan-timbalan menteri.

  • oleh