picture

News

 

Kerajaan Sarawak peruntuk RM6.5 juta bina Masjid Al-Mushtasfa di Hospital Umum Sarawak

Posted on 21 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari menyampaikan replika cek berjumlah RM6.5 juta kepada Pengerusi Pengelola Program Juh Berjarah Raya 2023 Dr. Nik Azim Nik Abdullah (kanan) sambil disaksikan  oleh Dr Sim dan Dr Ngian pada majlis Makan Malam Juh Berjarah Raya 2023 di Kuching, malam Sabtu. Gambar Penerangan
Abang Johari menyampaikan replika cek berjumlah RM6.5 juta kepada Pengerusi Pengelola Program Juh Berjarah Raya 2023 Dr. Nik Azim Nik Abdullah (kanan) sambil disaksikan oleh Dr Sim dan Dr Ngian pada majlis Makan Malam Juh Berjarah Raya 2023 di Kuching, malam Sabtu. Gambar Penerangan

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM6.5 juta untuk membangunkan Masjid Al-Mushtasfa di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut Abang Johari, jumlah perbelanjaan projek tersebut merupakan cadangan daripada pihak HUS dalam usaha menambah baik ruang solat di hospital berkenaan.

Sebelum ini, katanya, kakitangan HUS telah berjumpa dengan beliau untuk memaklumkan keadaan masjid yang mempunyai ruang solat tidak selesa untuk digunakan.

“Mereka mencadangkan untuk membangunkan masjid ini dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM6.5 juta. 

“Alhamdulillah, dengan pendapatan Sarawak yang semakin bertambah, maka saya pun bersetuju untuk pembinaan masjid ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Juh Berjarah Raya 2023 anjuran HUS di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, malam Sabtu.

Dengan adanya masjid tersebut, Abang Johari berkata, orang ramai termasuk pesakit yang tidak kritikal dapat menunaikan solat dalam keadaan yang lebih selesa.  

“Malah, rukun fardhu kifayah turut dapat dilaksanakan seperti menguruskan solat jenazah,” tambah beliau.

Sementara itu, Abang Johari berkata,  beliau turut mengarahkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) untuk menaik taraf ruang ibadat bagi agama lain.

“Justeru, melalui UNIFOR kita juga memperuntukkan RM600,000 bagi menaik taraf ruang ibadat untuk agama lain di HUS,” katanya.

Hadir sama, isteri kepada Premier Sarawak Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Hospital Umum Sarawak, Dr Ngian Hie Ung.