picture

News

 

RM133 juta untuk projek saluran paip air dari Loji Slabi ke Gedong dan Simunjan

Posted on 22 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari bersama Rodiyah dan Awla melakukan simbolik perasmian Ramah Tamah Aidilfitri dan Mantar Gawai Bersama Rakyat di Daerah Simunjan 2023 di Dewan Mesra Simunjan di Simunjan hari ini. - Gambar UKAS
Abang Johari bersama Rodiyah dan Awla melakukan simbolik perasmian Ramah Tamah Aidilfitri dan Mantar Gawai Bersama Rakyat di Daerah Simunjan 2023 di Dewan Mesra Simunjan di Simunjan hari ini. - Gambar UKAS

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM133 juta untuk projek penyambungan saluran paip air dari Loji Rawatan Air Slabi di Serian ke Gedong dan Simunjan yang dilaksanakan dalam jangka masa tiga tahun.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan saluran paip air itu bagi menyediakan bekalan air bersih untuk penduduk di daerah Gedong dan Simunjan.

Menurutnya, penduduk di dua kawasan terbabit sering menghadapi masalah bekalan air ekoran daripada sumbernya.

“Kerana itu, saya telah berbincang dengan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi dan memutuskan akan menyediakan dua sumber air yang datang ke daerah Gedong dan Simunjan.

“Satu sumbernya dari Kuching dan yang kedua, ialah dari Loji Rawatan Air Slabi, Serian. Ini bermakna kalau ada musim panas kemarau, sumber air akan sentiasa ada dan kedua-dua sumber ini akan mengisi air ke tangki air paras tinggi yang membekalkan air di daerah Gedong dan Simunjan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ramah-Tamah Aidilfitri dan Mantar Gawai Bersama Rakyat di Daerah Simunjan 2023 di Dewan Mesra Simunjan di Simunjan hari ini.

Mengulas lanjut Abang Johari berkata, penyambungan saluran paip air itu akan melalui jalan baharu yang menghubungkan Serian iaitu Munggu Kopi ke Gedong.

“Jadi, sumber air tidak putus... ada paip kalau tak ada air, susah juga kerana tak ada air keluar. Maka, kita bina saluran paip ini dengan harganya kira-kira RM133 juta,” katanya.

Menurutnya, ia merupakan pendekatan jangka panjang kerajaan dan pelaksanaan projek itu mungkin  mengambil masa 36 bulan untuk siap ekoran jalan raya baharu yang turut dibina.

“Bekalan api, elektrik dan juga infrastruktur akan menjadi tulang belakang dalam kita membangunkan daerah Simunjan dan juga daerah Gedong.

“Oleh itu, berilah kita (kerajaan Sarawak) masa memandangkan perancangannya sudah ada dan insya-Allah dengan pendapatan  negeri yang meningkat akan kita kembalikan kepada rakyat menerusi satu pelan pembangunan yang menyeluruh,” jelasnya.

Abang Johari dalam pada itu memaklumkan kerajaan negeri bercadang untuk membina ‘Storm Pond’ atau tasik buatan di Simunjan dalam merancakkan lagi kemudahan pembangunan dan sektor ekonomi penduduk setempat.

Katanya, tasik buatan itu akan turut dijadikan pusat rekreasi bagi penduduk serta pengunjung yang datang.

“Hari ini saya diberi taklimat mengenai dengan pembangunan hakisan benteng dengan cara mengumpul air di suatu tempat ‘Storm pond’ dan akan menjadi kawasan rekreasi macam tasik buatan dan sudah tentu ia di tengah pekan yang akan menjadi tarikan pengunjung ke Simunjan,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Ir Aidel Lariwoo, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris.