picture

News

 

Sarawak bersedia keluar bahan api bio

Posted on 10 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Kemudahan pengeluaran bahan api bio berasaskan lumut pertama di Sarawak bakal jana pulangan besar kepada pendapatan negeri
Abang Johari membincangkan mengenai mikro lumut yang dihasilkan di kemudahan itu semasa lawatan tapak dan turut kelihatan Uggah (kiri). - Gambar Chimon Upon

Abang Johari membincangkan mengenai mikro lumut yang dihasilkan di kemudahan itu semasa lawatan tapak dan turut kelihatan Uggah (kiri). - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Chitose Carbon Capture Central Sarawak (C4 Sarawak), iaitu kemudahan pengeluaran bahan api bio berasaskan lumut atau mikroalga pertama di negeri ini bakal menjana pulangan besar kepada pendapatan negeri.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau percaya ia merupakan kemudahan pengeluaran bahan api bio berasaskan lumut terbesar seumpamanya di dunia, yang boleh diterjemahkan kepada Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) atau minyak untuk kapal terbang.

“Kemudahan seluas lima hektar ini saya percaya adalah yang pertama di Malaysia yang menunjukkan penggunaan gas serombong yang berdaya maju untuk meningkatkan pengeluaran lumut pada skala perindustrian.

“Bergantung kepada teknologi yang digunakan, beberapa kajian menunjukkan bahawa biojisim lumut sebanyak 350 tan setahun boleh dijana daripada tapak seluas lima hektar yang boleh diproses menjadi 87 tan lipid yang mampu menghasilkan kira-kira 45 tan SAF,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Chitose Carbon Capture Central Sarawak di Sejingkat di sini, hari ini.

Projek mikro lumut yang bermula pada 2020, diketuai Kumpulan Chitose Jepun - kontraktor utama Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC).

Abang Johari berkata, sebagai permulaan tapak seluas lima hektar itu akan menjadi contoh yang baik dalam menguruskan karbon dalam ekonomi sirkular, sementara masih mengumpulkan data untuk meningkatkan teknologi serta pengeluarannya.

Menurut Abang Johari, sebagai permulaan beliau mencadangkan kepada Jepun (Chitose) untuk mewujudkan pengeluaran pada tahap 6,000 tan sebulan atau 72,000 tan setahun.

“Jika kita kira angka ini, ia memberi pulangan berbilion kepada hasil pendapatan negeri dan pada masa yang sama membantu dunia mencapai bersih sifar karbon terutama dalam industri penerbangan.

“Langkah seterusnya adalah untuk meningkatkan lagi pengeluaran dengan meluaskan lagi kawasan kepada 10 hektar tanah yang telah kita cadangkan iaitu antara kawasan Balingian dan Tanjung Manis. Ini bermakna kita bakal menghasilkan biojisim lumut berskala besar.

“Kita bakal menjadi pengeluar biojisim lumut terbesar di dunia yang mengeluarkan SAF untuk digunakan industri penerbangan,” katanya.

Selain untuk SAF, beliau memaklumkan pada masa yang sama jumlah biojisim ini juga boleh menghasilkan 192 tan protein dan 52 tan karbohidrat malahan sesetengah mikro lumut juga dilaporkan mempunyai sifat antikanser yang penting dalam rawatan sel-sel kanser dalam tumor.

Beliau berkata, jualan daripada komponen biojisim ini iaitu lipid, protein dan karbohidrat berpotensi menjana nilai ekonomi RM2 hingga 3 bilion setahun.

Katanya, dengan menggunakan nilai purata sebanyak AS$6.50 setiap tan kredit karbon, ini berpotensi menjana pendapatan sebanyak AS$1.3 juta setahun untuk kemudahan sebesar ini.

“Kemudahan  ini yang merupakan lanjutan daripada Loji Jana Kuasa SEB Sejingkat dan teknologi yang telah dibangunkan berpotensi meletakkan asas bagi inisiatif hijau baharu yang akan memberi manfaat kepada rakyat kita, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan mengembangkan ekonomi kita, ketika dunia menuju ke arah kemampanan dan mengurangkan kesan perubahan iklim,” katanya.

Hadir sama dua Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi dan Pengerusi SEB Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.