picture

News

 

Tenaga solar penting realisasi bekalan elektrik 24 jam seluruh negeri: Abang Johari

Posted on 11 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari (lima kanan) menyaksikan penyerahan dokumen Stesen Solar Hibrid Long San antara Shanghai Electric diwakili oleh Yang Xing Hai dan Sarawak Energy diwakili oleh Datu Sharbini Suhaili (empat kanan) di Hotel Pullman Kuching, hari ini. - Gambar Chimon Upon
Abang Johari (lima kanan) menyaksikan penyerahan dokumen Stesen Solar Hibrid Long San antara Shanghai Electric diwakili oleh Yang Xing Hai dan Sarawak Energy diwakili oleh Datu Sharbini Suhaili (empat kanan) di Hotel Pullman Kuching, hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Kerajaan Sarawak berhasrat berkongsi manfaat yang diperolehi daripada penggunaan tenaga solar di kawasan luar bandar untuk merealisasikan kemudahan bekalan elektrik 24 jam di seluruh negeri.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha ini penting dilaksanakan di Sarawak bagi menyediakan bekalan elektrik menyeluruh dan mampu milik menjelang 2025.

Beliau percaya setiap masyarakat di negeri ini berhak untuk berkembang maju dan berjaya, tanpa mengira lokasi yang diduduki.

"Oleh itu, kerajaan Sarawak terus mengambil langkah untuk merapatkan jurang antara masyarakat luar bandar dan bandar dengan memanfaatkan inisiatif sedia ada dalam penggunaan tenaga solar.

"Ia seperti Skim Elektrik Luar Bandar (RES) dan Skim Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) untuk menyediakan tenaga elektrik mampu milik yang dipacu oleh Sarawak Energy.

"Inisiatif ini penting untuk Sarawak bergerak lebih dekat ke arah merealisasikan matlamat ini (penyediaan bekalan elektrik 24 jam di seluruh negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Stesen Solar Hibrid Long San antara Shanghai Electric dan Sarawak Energy di Hotel Pullman di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Presiden Shanghai Electric Power Transmission dan Distribution Group Xiao Wei Hua, Konsul General Republik China di Kuching Xing Weiping dan tetamu jemputan lain.

Mengenai stesen hibrid solar tersebut, Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu itu menjelaskan, ia merupakan satu lagi contoh usaha kerajaan dalam memenuhi aspirasi rakyat terhadap kecekapan tenaga elektrik, khasnya di kawasan pedalaman.

Menurutnya, walaupun isi rumah domestik Long San sebelum ini dibekalkan tenaga menerusi stesen janakuasa diesel, namun stesen hibrid solar mampu menampung keperluan yang semakin meningkat di kawasan berkenaan.

"Stesen ini bakal menyediakan tenaga elektrik dengan lebih baik selain meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih mampan, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil diesel.

"Perkhidmatan penting seperti kemudahan penjagaan kesihatan dan pendidikan kini akan dapat berjalan dengan lebih lancar menerusi inisiatif di bawah tenaga solar," tambah Abang Johari.

Kemudahan ini juga katanya, akan membantu meningkatkan taraf hidup komuniti Long San, selain menyediakan peluang ekonomi baharu serta akses dan penglibatan yang lebih luas dengan dunia luar.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Sarawak Energy dan Shanghai Electric kerana bekerjasama untuk membina stesen hibrid solar ini.

"Saya mengiktiraf dan benar-benar menghargai kerja keras dan dedikasi yang ditunjukkan oleh kedua-dua organisasi sejak beberapa tahun lalu untuk melaksanakan projek penting ini," jelasnya.

Pada majlis penyerahan stesen berkenaan, Sarawak Energy diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Datu Sharbini Suhaili, manakala Shanghai Electric diwakili oleh Pengerusinya Yang Xing Hai.

Sementara itu, Pengerusi Sarawak Energy Datuk Amar Abdul Hamid Sepawi berkata, Stesen Hibrid Solar Long San ialah stesen hibrid solar pertama seumpamanya di Sarawak.

"Usaha menyediakan stesen ini akan membantu memacu lagi usaha elektrifikasi luar bandar dalam memastikan semua masyarakat di Sarawak mempunyai akses kepada bekalan elektrik yang boleh dipercayai dan mampu milik 24 jam," katanya.

  • oleh