picture

News

 

Sarawak teroka teknologi baharu manfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui: Premier

Posted on 17 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online
Abang Johari yang ditemani Abdul Hamid serta tetamu kehormat lain melakukan simbolik perasmian sempena majlis Ramah Tamah Aidilftri SEB di Kuching, malam Selasa. - Gambar oleh Roystein Emmor


Abang Johari yang ditemani Abdul Hamid serta tetamu kehormat lain melakukan simbolik perasmian sempena majlis Ramah Tamah Aidilftri SEB di Kuching, malam Selasa. - Gambar oleh Roystein Emmor

KUCHING: Kerajaan Sarawak giat meneroka teknologi baharu yang akan memperkayakan kegunaan sumber tenaga boleh diperbaharui bagi negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sumber tenaga boleh diperbaharui yang dimaksudkan itu termasuk tenaga hidro, solar, solar hibrid dan turbin gas.

“Kita perlu memikirkan kaedah baharu untuk memajukan kegunaan sumber-sumber tenaga berkenaan. 

“Misalannya dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) sebagai pembekal utama tenaga di Sarawak, kita boleh menyusun formula bersama pihak berkaitan dalam membangunkan teknologi tenaga solar dan hidro ini,” ujarnya ketika berucap pada majlis Ramah Tamah Aidilftri SEB  di sini, malam Selasa.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, Pengerusi SEB Datuk Amar Abdul Hamid Sepawi serta tetamu kehormat lain.

Abang Johari menambah, sudah tentu kaedah baharu itu nanti juga perlu mengambil kira kos dan tarif (elektrik) yang perlu dijual bagi mengelakkan kerugian di masa hadapan.

“Maka itu, kita mesti ada formula tertentu dan memandangkan terdapatnya kemajuan dalam teknologi solar, ada kemungkinan kosnya dapat dikurangkan,” ujar beliau.

Abang Johari berkata, Sarawak juga sedang meneroka prospek mengintegrasikan angin dan solar sebagai sumber tenaga pelengkap.

Ia katanya, adalah berdasarkan kejayaan sistem tenaga solar hibrid yang dilaksanakan oleh Shell di platform TIMI (dari kawasan pantai Sarawak yang menggabungkan penjanaan tenaga angin dan solar.

“Untuk itu, saya telah meminta saintis kita memikirkan bagaimana memanfaatkannya dan saya difahamkan perkara ini (kajian) sudah dilaksanakan. Cuma perlu meneroka kemungkinan baharu untuk memiliki teknologi berasaskan angin.

“Jika ini berlaku, kita boleh memiliki ‘offshore’ turbin angin kita sendiri bagi membawa tenaga-tenaga tersebut ke daratan dan kemudiannnya diedarkan oleh SEB," jelasnya.

Mengulas mengenai fokus kerajaan Sarawak terhadap sektor berkenaan, Abang Johari berkata, ianya dapat menjadi sumber ekonomi baharu kepada negeri kerana tenaga berkenaan boleh disalurkan kepada negara jiran.

Sekiranya kajian mengenai perkara itu berjaya, katanya, objektif SEB untuk menjadi pembekal sumber tenaga yang dominan di Borneo akan dapat dilaksanakan.

Beliau percaya, perkara ini dapat dicapaikan dengan teknologi yang ada pada masa kini.