picture

News

 

Rakyat Sarawak cekal, sentiasa pertahan perpaduan: Abang Johari

Posted on 18 May 2023
Source of News: Utusan Borneo Online

KUCHING: Rakyat Sarawak cekal dan sentiasa mempertahankan perpaduan yang ada di negeri ini walaupun berlainan agama dan bangsa, tegas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, sungguhpun mempunyai perbezaan pendapat, namun ia bukan alasan untuk Sarawak mencetuskan masalah besar dalam isu perkauman dan agama.

"Kadang kala kita mempunyai perbezaan pendapat, tetapi alhamdullilah sehingga hari ini tidak pernah terjadi masalah besar membabitkan kaum atau agama di mana ia boleh mendatangkan perpecahan kepada masyarakat majmuk di Sarawak.

"Dan nilai seperti ini yang perlu kita jaga bersama," ujarnya ketika berucap pada Seminar Antarabangsa Imam As-Syafi'i yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Abang Johari menjelaskan, kerajaan di bawah pimpinannya sangat mengutamakan perpaduan dan keharmonian dalam beragama di Sarawak tanpa mengetepikan keutamaan dan kesucian Islam.

Katanya, ia merupakan asas yang sangat perlu untuk sesebuah masyarakat bergerak maju ke hadapan. 

"Saya sangat menyokong penganjuran seminar seumpama ini agar kefahaman dalam beragama dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan.

"Setelah 60 tahun merdeka kini Sarawak sangat berpotensi menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030. 

"Sehubungan itu, saya mengajak semua menjaga perpaduan kerana perpecahan disebabkan isu perkauman hanya akan merugikan kita dan mengganggu usaha yang sedang giat kita laksanakan," tegas Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu itu.

Beliau berharap melalui sesi perkongsian ilmu pada seminar itu akan dapat meningkatkan kefahaman dalam melaksanakan hidup beragama dengan lebih baik dan harmoni.

Sementara itu, Mufti Sarawak Datu Kipli Yasin dalam ucapannya berkata, seminar pada kali ini membincangkan bagaimana kebijaksanaan, ketelitian dan kehebatan para ulama dahulu dalam menghasilkan karya-karya fiqh.

"Fokus seminar kita pada kali ini adalah untuk mengenali dengan lebih dekat ketokohan Imam Muhammad bin Idris As-Syafi'i atau dikenali sebagai Imam As-Syafi'i dan pendekatannya dalam fiqh Mazhab As-Syafi'i," katanya.

Menurutnya, seminar ini penting untuk memahami dan menghayati bagaimana ketokohan dan pendekatan mazhab yang diamalkan dengan ilmu.

  • oleh