Speeches
Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2022
Deliver on 31 Aug 2022

Click here for Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2022 pdf files.

 

TEKS UCAPAN

YAB DATUK PATINGGI TAN SRI (DR) ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG

PREMIER SARAWAK

SEMPENA

MAJLIS SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN

PERINGKAT SARAWAK 2022

BETONG

31 OG0S 2022, 10.00 PAGI

 

 

Assalamuwaalaikum warahmatulahi wabarakatuh,

 

UCAPAN KEPADA TUAN YANG TERUTAMA

Tuan Yang Terutama, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan Yang Amat Berbahagia, Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Ragad Kurdi Taib,

Bagi pihak rakyat jelata, kola ingin mengalu-alukan kehadiran Tun dan Toh Puan pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2022 di Betong ini.

Kola menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tun dan Toh Puan di atas kesudian untuk hadir bersama rakyat sekalian pada majlis yang besar pengertiannya dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang boleh menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

Sebagai seorang tokoh yang telah berkhidmat begitu lama dalam menegakkan agenda pembangunan negara, khususnya Sarawak, kola percaya kehadiran Tun yang diiringi oleh Toh Puan memberi makna yang mendalam kepada majlis sambutan pada pagi ini untuk memperkukuhkan semangat kesetiaan rakyat terhadap negara ini.

Kola dan rakyat berdoa agar Tun dan Toh Puan sentiasa berada alam lindungan dan peliharaan Allah SWT.

Tun, sekarang kola mohon untuk berucap kepada para hadirin.

 

[SALUTATION]

Assalam waalaikum warahmatulahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Sarawakku Sayang.

 

HARI KEBANGSAAN BUKAN HARI KEMERDEKAAN

Saya mengucapkan selamat datang kepada semua saudara dan saudari sekalian yang sudi hadir pada pagi ini sempena Sambutan Hari Kebangsaan yang berpusat di Betong pada tahun ini.

Sejak 2015, 31 Ogos tidak lagi dinamakan sebagai Hari Kemerdekaan tetapi dikenali sebagai Hari Kebangsaan memandangkan tarikh penubuhan Malaysia dan tarikh kemerdekaan Malaya adalah dua tarikh yang berbeza. Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana menghormati sentiment rakyat di Sarawak dan juga Sabah mengenai tarikh- tarikh berkenaan.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,

 

PENGHORMATAN KEPADA BETONG

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada masyarakat di Betong yang diberi penghormatan pada kali ini untuk menjadi tuan rumah kepada Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak pada tahun ini.

Terima kasih kepada Ketua-Ketua Masyarakat, adik kakak serta semua yang hadir untuk sama-sama memeriahkan acara pada pagi ini.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,

 

PEMBANGUNAN BAHAGIAN BETONG

Bahagian Betong adalah sebuah kawasan pentadbiran yang agak baru setelah diangkat statusnya daripada sebuah daerah ke sebuah bahagian pada 2002. Tidak dapat dinafikan sejak dinaikkan taraf kepada sebuah Bahagian, Betong sudah jauh berubah dari segi pembangunan. Kemudahan infrastruktur di Bahagian ini seperti jalan raya agak meluas, terdapat beberapa institusi pendidikan dan latihan di Betong dan potensi pertanian kawasan ini terus diberi tumpuan.

Namun, semua yang sedia ada belum mencukupi tetapi akan terus dipertingkatkan melalui BIDA, iaitu Betong Area Development Agency yang dipengerusikan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah.

Penubuhan BIDA, seperti URDA bagi Hulu Rajang, HDA (bagi kawasan tanah tinggi Ulu Baram), SADA (bagi Kawasan Sri Aman), IRSDA (bagi kawasan Samarahan) dan lain-lain, merupakan pendekatan baharu untuk mempastikan pembangunan di kawasan-kawasan berkenaan diselaraskan dengan lebih berkesan untuk mempercepatkan pembangunan, terutamanya dari segi infrastruktur.

Saya amat yakin dengan beroperasinya BIDA nanti dengan kepimpinan Datuk Amar Douglas Uggah yang sentiasa bekerja keras, kawasan Betong akan membangun dengan lebih pesat lagi dan bergerak maju seiring dengan kawasan-kawasan lain di negeri ini.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,

 

MENGHORMATI PERJANJIAN MALAYSIA 1963 (MA63)

 

Seperti kita sedia maklum, negara ini terbentuk apabila tiga wilayah bersetuju untuk bergabung menjadi sebuah negara berdasarkan Perjanjian MA63 dan Inter-Government Committee Report atau IGC yang memberi keistimewaan kepada wilayah Sarawak dan juga Sabah.

Selepas 59 tahun penubuhan Malaysia dan dalam pada semua rakyat Malaysia perlu memahami konsep Persekutuan dan mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi, perlu juga supaya keistimewaan atau hak Sarawak tidak dipersoalkan tetapi langkah-langkah diambil untuk menghormati apa yang telah dipersetujui oleh para pemimpin terdahulu.

Rakyat Sarawak menuntut supaya hak dan keistimewaan Sarawak dihormati dan diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan tetapi ini tidak bermakna rakyat Sarawak tidak mempunyai semangat kebangsaan dan patriotisme yang tinggi. Anak Sarawak dalam arena sukan seperti Pandelela Rinong dan Gustin Bonnie Bunyau berjuang bermatian-matian agar lagu kebangsaan kita Negaraku boleh berkumandang di arena antarabangsa. Orang Sarawak juga berbangga apabila pemain badminton beregu negara, iaitu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik memenangi kejohanan dunia di Tokyo tiga hari yang lepas.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,

 

MANFAAT KOLABORASI, KERJASAMA

 

Sebagai sebahagian daripada Persekutuan kita harus akur bahawa ada kuasa yang berada pada Kerajaan Persekutuan, ada kuasa dan hak di bawah Kerajaan Sarawak dan ada kuasa bersama. Namun, apa yang pasti harus ada bentuk kerjasama dan kolaborasi antara pihak Persekutuan dan pihak negeri supaya pembangunan dapat dilaksanakan dengan licin. Tanpa kerjasama yang erat antara negeri dan persekutuan seperti berlaku pada tempoh 22 bulan ketika di bawah pentadbiran Kerajaan PH - yang akan rugi akhirnya ialah rakyat.

Pada kebelakangan ini saya menerima kunjungan daripada beberapa orang menteri di peringkat persekutuan dan saya menerima mereka dengan hati yang terbuka untuk berkerjasama demi kepentingan Sarawak dan negara keseluruhannya.

Sarawak sentiasa terbuka untuk berkerjasama demi kepentingan dan manfaat semua pihak dan rakyat. Namun, jika ada pertikaian mengenai kuasa dan hak negeri atau Persekutuan, mahkamah harus menjadi penentu kebenarannya. Justeru, apabila Sarawak menuntut cukai atau SST ke atas produk petroleum dari Sarawak, penyelesaiannya telah ditentukan oleh makhamah bahawa Sarawak ada hak mengenakan SST.

Setakat ini sejak 2019, Sarawak telah memungut RM8 bilion SST dan dengan harga minyak mentah yang telah meningkat pasti SST bagi tahun ini akan juga meningkat. Pendapatan Sarawak yang meningkat kembali kepada rakyat melalui perlaksanaan pelbagai program pembangunan dan bantuan kepada rakyat.

Walaupun Sarawak dan Petronas sudah berhadapan di mahkamah, sekarang sudah terjalin kerjasama yang baik antara kedua-dua pihak untuk memajukan industri minyak dan gas di Sarawak, pada peringkat hiliran dan juga huluan kerana itulah aspirasi rakyat Sarawak. Kerjasama ini dimeterai di bawah Perjanjian Penyelesaian Secara Komersil atau Commercial Settlement Agreement yang ditandatangani kedua belah pihak pada Disember 2020.

Antara lain, pihak Petronas telah memberi komitmen untuk menyalurkan lebih banyak gas bagi tujuan membangunkan hub petrokimia di Tanjung Kidurong, Bintulu dengan pembinaan loji penyaluran gas kedua di Tanjung Kidurong.

Saya yakin melalui kerjasama ini dan kerjasama dengan pihak-pihak lain, Sarawak akan mempunyai hub petrokimianya sendiri yang akan menyediakan lebih banyak peluang perkejaan kepada rakyat Sarawak, khususnya para belia.

Kerajaan Sarawak juga bersedia untuk menjalin kerjasama dengan pihak pelabur dari luar negara seperti Korea dan Jepun untuk membangunkan ekonomi hidrogen di negeri ini. Pada hujung minggu ini saya akan berkunjung ke Korea untuk

mempereratkan kerjasama dengan pihak pelabur di sana. Pada bulan Oktober, saya akan memenuhi undangan ke Jepun untuk berkongsi pandangan mengenai hidrogen sebagai sumber bahan bakar baru ke arah transisi tenaga daripada bahan bakar karbon kepada bahan bakar tanpa karbon sebagai mendokong usaha dunia mengatasi perubahan iklim dunia.

Sarawak melalui SEDC Energy juga akan menjalinkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan atau R&D dengan Petronas untuk menghasilkan bahan bakar lestari atau Sustainable Aviation Fuel (SAF) daripada alga (atau lumut dalam bahasa tempatan kita).

Industri penerbangan menghasilkan banyak gas rumah hijau atau green house gas yang menjadi antara punca utama pemanasan suhu dunia. Kapal terbang tidak boleh mengunakan hidrogen sebagai bahan bakar tetapi bio-fuel boleh menjadi bahan bakar alternatif yang amat sesuai untuk menguasakan enjin kapalterbang.

 

Saudara dan saudari yang saya hormati,

 

BKSS 9.0

 

Dua hari yang lepas saya telah mengumumkan BKKS 9.0 sebagai inisiatif untuk meringankan beban rakyat ekoran kenaikan harga barangan terutamanya barangan keperluan harian. Sarawak adalah satu-satunya Kerajaan Negeri yang terus membantu rakyatnya menghadapi keadaan yang agak sukar pada masa ini.

Saya amat berharap diskaun bagi bil air dan elektrik, cukai pintu, sewa pasar dan gerai mulai bulan Julai di bawah BKKS 9.0 ini sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada rakyat yang terkesan.

Pihak industri juga diberi bantuan dari segi kos bahan binaan supaya projek-projek infrastruktur terutamanya dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk manfaat rakyat. Keseluruhannya, Kerajaan GPS akan membelanjakan sejumlah RM1 bilion untuk melaksanakan BKKS 9.0. – semuanya untuk rakyat.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati,

 

PENUTUP

 

Kita merasa bersyukur kerana Sarawak sebuah negeri yang aman dan rakyatnya sentiasa berusaha untuk mengekalkan perpaduan walaupun berlainan agama dan bangsa. Walaupun, kadang kala kita mempunyai perbezaan pendapat tetapi Alhamdullilah tidak pernah terjadi masalah kaum atau agama yang besar yang boleh mendatangkan perpecahan kepada masyarakat majmuk di Sarawak.

Potensi Sarawak untuk menjadi ekonomi yang maju berpendapatan tinggi menjelang 2030 amat cerah. Saya mengajak semua rakyat Sarawak untuk berusaha dan berkerjasama agar impian ini dapat direalisasikan. Perpecahan masyarakat oleh kerana isu perkauman dan agama pasti akan membantutkan usaha sedia ada yang akhirnya akan merugikan semua kita.

Sebagai mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya bagi pihak rakyat jelata mengucapkan setinggi terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan kerana sudi bersama rakyat di Betong pada pagi ini untuk sama-sama memeriahkan Hari Kebangsaan 2022.

Sekian, Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Speeches By: YAB DatuK Patinggi Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg