Click here for Majlis Konvokesyen ke 30 Politeknik Kuching Sarawak pdf files.
TEKS UCAPAN
YAB DATUK PATINGGI TAN SRI (DR) ABANG ABDUL RAHMAN ZOHARI BIN TUN DATUK ABANG OPENG
PREMIER SARAWAK
BERSEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KE-30 POLITEKNIK KUCHING SARAWAK
HOTEL IMPERIAL, KUCHING 13 SEPTEMBER 2022
Terima kasih saudara/i pengacara majlis. Bismillah Hirrahman Nirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh Dan Salam Keluarga Malaysia dan Salam Sarawak Ku Sayang.
Yang Berusaha Dr. Norhayati binti Ibrahim Pengarah Bahagian Peperiksaan & Penilaian
Mewakili Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia;
Encik Hikmatullah bin Hajid Ahmad Khan Pengarah Politeknik Kuching Sarawak;
Timbalan-Timbalan Pengarah Politeknik Kuching Sarawak;
Yang dihormati Pengarah-Pengarah Politeknik Kuching Sarawak; Ketua-ketua jabatan dan Unit Politeknik Kuching Sarawak;
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri Politeknik Kuching Sarawak; Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri:
Wakil-wakil Industri; Para Pensyarah;
Para ibu bapa, dan para graduan yang diraikan sekalian. Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.
Salam sejahtera dan Salam Sarawak Ku Sayang.
MUKADIMAH
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya dapat kita berkumpul pada hari ini di majlis Konvokesyen Ke-30 Politeknik Kuching Sarawak (PKS). Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas jemputan kepada saya untuk turut sama hadir ke majlis ini.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian dan bakal menerima diploma masing-masing pada majlis Konvokesyen ini setelah bertukus-lumus menimba ilmu sepanjang tempoh berada di PKS.
Harapan saya, agar para graduan dapat menggunakan segala ilmu dan kemahiran yang telah diperolehi di sini dengan sebaik mungkin untuk membantu masyarakat dan membangunkan Sarawak dan negara.
Hadirin yang saya hormati.
PEMBANGUNAN MODAL INSAN DALAM PENDIDIKAN TVET
Pembangunan modal insan dan pembangunan tenaga kerja di dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan dua elemen utama dalam usaha untuk melonjakkan kemajuan negara untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi, khususnya Sarawak, menjelang 2030.
Kejayaan sektor industri bukan sahaja bergantung kepada faktor kewangan semata-mata, tetapi juga kepada keupayaan dan kemahiran tenaga kerja manusia. Kejayaan sektor industri di negara-negara maju memberi kita pengajaran bahawa kemahiran tenaga kerja golongan muda atau para pekerja kolar biru memainkan peranan yang amat penting untuk memacu operasi sektor industri dan swasta negara.
Stigma masyarakat kita terhadap pekerjaan kolar biru yang dianggap “kotor dan susah” berbanding pekerjaan dalam pejabat yang berhawa dingin telah menjadi suatu tembok penghalang untuk memajukan bidang TVET di negara ini.
Perkara ini amat berbeza sekali di negara-negara perindustrian seperti Jerman dan Jepun di mana kebanyakan sektor pekerjaan telah lama memberi fokus kepada sektor tenaga berkemahiran teknikal dan vokasional dalam pelan pembangunan modal insan mereka. Pekerjaan berasas kemahiran dan latihan teknikal boleh juga menyediakan gaji yang lumayan, dan kadang kala lebih lumayan daripada pekerjaan kolar putih.
Oleh itu, saya amat berharap agar negara kita juga tidak ketinggalan dalam memantapkan pembangunan modal insan terbaik di bidang teknikal dan vokasional bagi menyokong pembangunan industri dan penguasaan teknologi, yang seterusnya membantu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga manusia berkemahiran dari negara luar.
Namun, sebelum pendidikan TVET boleh benar-benar berjaya bertapak di negara kita, adalah penting bagi masyarakat untuk mengubah ‘mind set’ atau persepsi terhadap TVET yang sering dianggap dan dilihat sebagai sektor pendidikan kelas kedua.
INSTITUSI TVET KELOLAAN SARAWAK
Kerajaan Sarawak amat sedar tentang kepentingan pendidikan TVET untuk menyediakan tenaga manusia bagi menyokong pembangunan industri di negeri ini. Selain daripada keberadaan institusi kemahiran dan latihan teknikal persekutuan, Sarawak juga mempunyai pusat latihan teknikal dan kemahiran tajaan kerajaan Sarawak sendiri di bawah kelolaan Yayasan Sarawak.
Institusi Kerajaan Negeri yang dimaksudkan termasuklah CENTEXS atau Centre of Technical Excellence yang dahulunya hanya sebuah pusat pembangunan belia. Selain daripada campus induk di Kuching, CENTEXS mempunyai cawangan di Lundu, Mukah, Lawas dan Dalat. CENTEXS Kuching bukan setakat pusat TVET tetapi juga pusat latihan teknologi digital dan cyber dengan kerjasama Huawei.
Saya juga melihat bahawa keperluan tenaga kerja di Sarawak pada masa akan datang hendaklah memberi tumpuan kepada bidang-bidang baharu dan bidang-bidang tertentu terutamanya bidang kimia selaras dengan halatuju Sarawak ke arah ekonomi hijau atau green economy dan pembangunan hiliran industri petroleum.
Hadirin dan hadirat sekalian,
PERANAN, SUMBANGAN PKS
Alhamdulillah, kejayaan anda semua ini menterjemahkan hasrat dan misi PKS selama ini iaitu melahirkan graduan TVET yang bukan sekadar cemerlang dari aspek pendidikan tetapi juga sahsiah diri. Syabas dan terima kasih di atas komitmen jitu para graduan semua sehingga berjaya bergraduat seperti hari ini.
Saya difahamkan kadar kobolehpasaran graduan Politeknik Kuching melebihi 96% pada tahun 2018, 2019 dan 2021. Walaupun negara mengalami pandemik pada tahun 2020, namun kadar kebolehpasaran graduan adalah pada 91.1%. Ini menunjukkan graduan PKS adalah cukup laris di pasaran pekerjaan dan yang lebih membanggakan adalah fakta 90% graduan PKS adalah anak Sarawak.
Semoga, kejayaan ini akan dapat mengharumkan nama PKS dan menjadi contoh teladan yang baik untuk para pelajar junior PKS. Pelajarilah
seberapa banyak ilmu semasa anda bergelar pelajar kerana pada tahun mendatang, anda semua pula yang akan naik ke pentas graduasi.
Pada pandangan saya, PKS adalah merupakan sebuah institusi pendidikan TVET yang sangat penting bagi kerajaan Sarawak. Ini adalah kerana PKS mempunyai peranan dalam pembangunan pendidikan bidang teknikal bagi wilayah Sarawak yang bakal memperlengkapkan modal insan atau sumber tenaga manusia pada masa akan datang.
Sehubungan itu, sebagai Premier Sarawak, saya berharap agar hubungan di antara Politeknik Kuching Sarawak dengan Kerajaan Sarawak, pemain industri di dalam dan di luar negara akan berkekalan menerusi strategic partnership yang boleh menguntungkan kesemua pihak.
Saya yakin, jika Politeknik Kuching Sarawak mampu melahirkan tenaga kerja teknikal berkualiti kepada ketiga-tiga pemegang taruh ini, ia akan menjadi pemangkin kepada pembangunan PKS yang lebih mantap pada masa akan datang.
Hadirin Sekalian,
HARAPAN UNTUK BELIA
Usaha mewarna dan mencorak masa hadapan industri teknikal negara terletak pada iltizam dan kesungguhan anak-anak yang bergraduasi pada hari ini. Di pihak Kerajaan, program perindustrian sedia ada seperti di Samajaya dan Samalaju telah menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda. Saya amat yakin program perindustrian di bidang hiliran dan huluan sektor minyak dan gas di negeri ini akan menambahkan peluang pekerjaan kepada para belia kita.
PENUTUP
Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada semua graduan dan terima kasih kepada PKS kerana telah berjaya menganjurkan majlis pada hari ini. Semoga segala usaha dan komitmen PKS dalam melahirkan graduan TVET berterusan di masa-masa akan datang.
Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh. |