Speeches
Sambutan Hari Lahir Ke 86 Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sarawak
Deliver on 05 Oct 2022

Click here for  Sambutan hari lahir ke 86 TYT Sarawak pdf files.

 

TEKS UCAPAN YANG AMAT BERHORMAT

PREMIER SARAWAK

DATUK PATINGGI TAN SRI (DR) ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG SEMPENA SAMBUTAN HARI LAHIR KE-86

TUAN YANG TERUTAMA

YANG DI-PERTUA NEGERI SARAWAK

 

5 Oktober 2022

 

 

UCAPAN KEPADA TUAN YANG TERUTAMA

Bismillahirahmannirahim          assalamuwaalaikum    warahmatulahi wabarakatuh,

Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, serta

Yang Amat Berbahagia, Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Ragad Kurdi Taib.

 

Bagi pihak rakyat jelata, kola menjunjung kasih dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tun dan Toh Puan yang sudi hadir bersama rakyat pada majlis bersempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-86 Tuan Yang Terutama Tun pada pagi yang berbahagia ini.

Bagi pihak kaula sendiri, barisan Kabinet dan rakyat jelata ingin menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT bahawa pada tahun ini Sambutan Perayaan Hari Lahir rasmi Tun dapat diadakan secara besar-besaran dengan keadaan COVID-19 yang agak terkawal pada masa ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa pandemik COVID-19 telah mendatangkan kesan yang amat mendalam kepada ekonomi Sarawak. Pertumbuhan ekonomi negeri ini agak perlahan pada tahun 2020 dan 2021 akibat kawalan pergerakan yang dikenakan. Namun, pada tahun ini pertumbuhan ekonomi Sarawak sudah menampak sedikit peningkatan. Kola yakin keadaan ini akan terus diperbaiki dengan pembukaan sempadan antarabangsa dan domestik, perlaksanaan pelbagai projek pembangunan, inisiatif-inisiatif baharu dan ekosistem yang kondusif untuk pelaburan. Fundamental ekonomi Sarawak yang agak kukuh diwarisi daripada era Tun juga memberi keupayaan kepada negeri ini untuk mengimbangi keadaan ekonomi dunia

yang tidak menentu yang kini diburukkan lagi oleh perperangan di Ukraine.

Mengimbau kembali era kepimpinan Tun, visi Tun untuk membawa Sarawak ke era yang moden melalui program pembangunan perindustrian di bawah Sarawak Corridor of Renewable Energy atau SCORE, telah membuka ruang dan laluan untuk Sarawak membangunkan dan mengwujudkan nilai tambah kepada sumber airnya yang begitu banyak untuk menghasilkan tenaga yang diperlukan oleh industri. Melalui pembinaan empangan hidro terutamanya Bakun, Sarawak berupaya menyediakan banyak tenaga dengan tarif elektrik yang kompetitif sebagai tarikan kepada para pelabur.

Kejayaan Sarawak di bawah kepimpinan Tun boleh dilihat dari sudut kejayaan membangunkan zon-zon perindustrian seperti Samajaya dan Samalaju yang menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat Sarawak, khususnya golongan belia.

Kaula dan rakan-rakan dalam Kabinet amat menghargai usaha Tun untuk meletakkan asas yang amat kukuh bagi Sarawak melangkah ke era ekonomi yang moden.

Secara peribadi Kola juga amat menghargai peluang untuk berkhidmat di bawah kepimpinan Tun pada peringkat awal perlaksanaan program perindustrian negeri ini ketika menjadi Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak yang pertama pada tahun 1987. Pengalaman ini amat berguna kepada kola untuk memimpin Kerajaan Sarawak dalam meneruskan legasi Tun.

Bersempena sambutan hari lahir Tun ke-86, kaula, rakan- rakan Kabinet dan rakyat jelata berdoa agar Tun, dan Toh Puan, terus dikurniakan dengan kesihatan dan kealfiatan oleh Allah SWT.

 

Sekarang kaula memohon untuk berucap kepada hadirin sekalian.

 

YB Timbalan-Timbalan Ketua Menteri YB Speaker DUN

YB Setiausaha Kerajaan Sarawak YB Timbalan-Timbalan Menteri YB MP & ADUN

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati

 

MUKADIMAH

 

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola Perayaan Sambutan Hari Lahir Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud di bawah kepimpinan YB Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pengangkutan yang telah berjaya menganjurkan Perhimpunan dan Rapat Umum yang pertama sejak Sarawak dilanda COVID-19 dua tahun yang lepas.

Saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan keizinanNya kita dapat berhimpunan pada pagi ini dengan perasaan lebih yakin selepas mengharungi pandemik selama dua tahun lebih. Keadaan yang lebih selamat dapat kita nikmati pada ketika ini adalah atas usaha gigih pihak SDMC

dengan dedikasi barisan hadapan yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta dengan sokongan padu rakyat untuk menangani COVID-19.

Keadaan belum selamat sepenuhnya kerana masih berlaku jangkitan, walaupun tidak dalam keadaan yang serius. Saya amat berharap semua kita terus berjaga-jaga walaupun beberapa syarat telah dilonggarkan, seperti opsyen memakai pelitup muka, untuk keselamatan diri kita sendiri dan orang lain di sekeliling kita.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati,

 

BKSS 1.0 – 9.0

 

Ketika pandemik melanda negeri ini, Kerajaan amat akur dengan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat. Kawalan Pergerakan telah menyebabkan banyak perniagaan kecil dan besar menghadai kesulitan dan mengakibatkan ramai orang hilang pekerjaan dan punca nafkah. Untuk meringankan beban rakyat, peniaga-peniaga kecil, industri kecil dan sederhana Kerajaan GPS telah membelanjakan sejumlah RM6.7 bilion di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang 1.0. hingga 9.0 (BKSS

– 9.0) untuk pelbagai bantuan daripada subsidi air dan elektrik kepada cukai rumah, sewa premis, bayaran balik pinjaman perumahan, bantuan tunai sehingga ke bantuan dari segi mengawal harga bahan-bahan binaan tertentu. Sarawak agak bernasib baik kerana kedudukan kewangan agak kukuh yang memberi keupayaan kepada Kerajaan GPS untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat selain daripada bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, sebanyak RM300 juta telah diperuntukkan untuk pengoperasian Jawatan Kuasa Pengurusan Bencana Negeri (SDMC) atas dasar bahawa keselamatan nyawa rakyat adalah amat penting ketika negeri ini berhadapan dengan COVID-19. Selain itu, Kerajaan Sarawak telah membelanjakan RM260 juta untuk membiayai kos kuarantin di hotel-hotel, sekali gus mempastikan hotel-hotel dapat beroperasi dan pekerja- pekerja tidak hilang pekerjaan.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak swasta, badan-badan tertentu, agensi kerajaan dan badan- badan separa kerajaan yang telah memberi sumbangan berjumlah RM28 juta kesemuanya dalam usaha bersama menangani COVID-19.

 

KEJAYAAN PROGRAM PEMBERIAN VAKSIN

 

Program pemberian vaksin mencapaikan kejayaan yang membanggakan walaupun terpaksa berhadapan dengan keadaan yang sukar terutamanya di luar bandar dan pedalaman dengan kadar 94 peratus bagi 1 dos dan 92 peratus, dua dos. Bagi kategori remaja, Sarawak mencatatkan 92 peratus bagi 2 dos dan kanak-kanak 90 peratus. Kejayaan ini dapat dicapai atas kerjasama semua pihak dan komitmen Kerajaan Sarawak dari segi logistik demi memudahkan urusan para petugas untuk sampai ke tempat-tempat yang jauh dari pusat bandar.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati,

 

EKONOMI SARAWAK

Sarawak sedang bergerak ke arah menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030. Melalui pengenalan Ekonomi Digital yang berteraskan data dan inovasi, saya yakin Sarawak mampu bergerak pantas untuk mengejar visi ini.

Sekarang ini Sarawak sedang melaksanakan pembangunan infrastruktur secara besar-besaran untuk memudahkan aktiviti

ekonomi dan pelaburan. Tanpa jaringan jalan raya yang baik dan efisyen ekonomi negeri ini tidak akan bergerak sepantas yang diinginkan.

Pembangunan infrastruktur memerlukan kos yang besar dan kaedah biasa melalui bajet tahunan tidak akan mampu membiayai kos membina jalan raya dan jambatan yang tinggi. Alhamdullilah, melalui pembiayaan alternatif dengan penubuhan Bank Pembangunan Sarawak atau DBOS, Kerajaan dapat melaksanakan program untuk menyediakan infrastrukutur yang begitu penting untuk memacu aktiviti ekonomi negeri ini.

Aktiviti pelaburan juga bergantung kepada keupayaan negeri ini menyediakan tarif elektrik yang kompetitif di rantau ini. Dengan mengambil alih hidro Bakun daripada Kerajaan Persekutuan pada 2018, Sarawak mempunyai kuasa penuh terhadap penjanaan elektrik dan juga kuasa untuk menentukan tarif elektrik.

Dewasa ini, negara-negara di rantau ini sedang memerhatikan di manakah mereka boleh mendapat akses kepada sumber tenaga boleh diperbaharui untuk menggantikan bahan-bahan bakar fosil. Sarawak bernasib baik kerana mempunyai sumber tenaga yang cukup besar yang dijanakan

oleh empangan hidro. Saya telah dijemput untuk menghadiri Minggu Tenaga Singapore atau Singapore Energy Week pada 25 hingaa 28 Oktober ini. Saya akan berada di sana untuk mengetengahkan potensi Sarawak sebagai sumber tenaga untuk negara-negara Asean.

Sesungguhnya, kita telah merasai dan mengharungi satu cabaran yang amat besar kepada ekonomi dan kehidupan rakyat akibat pandemik COVID-19 sejak tahun 2020. Ekonomi Sarawak beransur pulih dan mencatatkan pertumbuhan positif pada kadar

2.9 peratus dalam tahun 2021. Pada tahun ini, saya yakin, ekonomi Sarawak akan terus berkembang dan dianggarkan untuk mencapai pertumbuhan sebanyak 5.0 hingga 6.0 peratus.

Sesungguhnya, dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa sejak bulan April 2022 telah menggalakkan kemasukkan lebih ramai pelawat ke Sarawak yang seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan sektor perkhidmatan. Juga kelihatan pelaksanaan aktiviti pembinaan yang semakin mantap dan pertumbuhan dalam industri minyak dan gas yang didorong oleh kenaikan harga komoditi dunia.

Untuk memastikan ekonomi Sarawak terus maju, Kerajaan Sarawak akan memastikan aktiviti pembangunan yang bersasar, serta memberi impak dan manfaat yang tinggi kepada masyarakat Sarawak. Inisiatif-inisiatif ini adalah selaras pelan jangka panjang Sarawak, iaitu Pembangunan Strategi Pasca COVID-19 2030.

 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati,

 

PEMBANGUNAN BAHAGIAN MIRI

Saya amat yakin pembangunan Bahagian Miri akan terus melonjak dengan peningkatan aktiviti industri minyak dan gas. Alhamdulillah, Shell yang sudah lama meninggalkan Miri kini kembali ke Miri dan pastikan akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi di bandar ini. Rizab minyak di daratan atau onshore masih terdapat di sekitar Bahagian Miri, terutamanya di Selatan Marudi yang akan diusahakan oleh Sarawak sendiri berdasarkan kuasa negeri ini di bawah OMO 1958.

Kawasan Hulu Baram yang kaya dengan flora dan fauna dan kawasan tanah tinggi yang sesuai untuk tanaman iklim sejuk

merupakan potensi yang harus dibangunkan untuk mengangkat status ekonomi di Bahagian Miri keseluruhannya.

Baru-baru ini saya telah berada di Marudi untuk melihat perkembangan projek-projek pembangunan di sana termasuk pembinaan Jambatan Marudi. Kontraktor penyelamat telah memulakan kerja-kerja untuk menyiapkan jambatan ini yang akan menjadi penghubung penting bagi pembangunan laluan darat ke kawasan Ulu Baram, Mulu dan Limbang.

 

Sidang hadirin yang saya hormati,

 

PENUTUP

Pilihanraya Umum Ke-15 akan menjelang tiba dalam masa terdekat. Sudah kelihatan di media-media sosial hantaran- hantaran yang cuba untuk mengadu dombakan rakyat dengan isu-isu yang berkisar tentang agama dan kaum. Saya menyeru kepada rakyat supaya tidak terpengaruh dengan perkara- perkara yang boleh memecah belahkan perpaduan antara rakyat kita yang pelbagai agama dan bangsa hanya oleh kerana ingin meraih sokongan politik.

Kerajaan GPS sebagai sebuah kerajaan yang bertanggung jawab berkhidmat untuk menjaga kepentingan dan hak semua rakyat dari pelbagai sudut. Jika rakyat terus bersatu untuk mengejar impian menjadi sebuah negeri maju berpendapatan tinggi semua rakyat akan mendapat manfaatnya nanti.

Sebagai akhir kata, sekali lagi saya bagi pihak rakyat jelata ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagian Toh Puan atas kehadiran bersama rakyat jelata pada pagi ini.

Saya mengajak seluruh rakyat berdoa agar Tun dan Toh Puan sentiasa berada di bawah peliharaan dan lindungan Allah SWT dan terus menjadi payung keharmonian rakyat dan kemakmuran Sarawak Ibu Pertiwi Anak Sarawak.

Sekian, saya sudahi dengan wabilahitaufik walhidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Dirgahayu Tun.

Speeches By: YAB Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg