Speeches
Sidang Media Khas BKSS 8.0
Deliver on 26 Jan 2022

Click here for Sidang Media Khas BKSS 8.0 pdf files.

SIDANG MEDIA KHAS

YAB KETUA MENTERI SARAWAK


BANTUAN KHAS SARAWAKKU SAYANG (BKSS) 8.0

"PEMULIHAN SOSIOEKONOMI RAKYAT"

26 JANUARI 2022 (JUMAAT)

 

 

Bismillahhirrahmannirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Sarawakku Sayang.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan padu semua rakyat Sarawak yang telah memberi mandat besar kepada GPS untuk terus mentadbir Sarawak bagi tempoh lima tahun lagi.

Segala usaha, komitmen dan perancangan kita untuk membangun Sarawak kini sedang giat dilaksanakan oleh Kementerian-Kementerian dan agensi-agensi di bawah Kerajaan Sarawak.

Saya akan mempastikan Sarawak di bawah pimpinan GPS akan terus berusaha membangunkan Sarawak ke arah kestabilan, kemakmuran dan kegemilangan.

Sarawak sekarang dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara, dimana sektor-sektor ekonomi dan sosial telah mula dibuka.

Saya percaya fasa pemulihan ini akan memberi ruang kepada rakyat untuk terus menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial harian mereka demi kelangsungan hidup mereka dan keluarga masing-masing.

Pada masa yang sama, Kerajaan Sarawak juga akan meneruskan usaha menangani pandemik COVID-19 di Sarawak agar ianya terkawal dan tidak membebankan kehidupan rakyat. Saya menyeru agar rakyat sentiasa bersama dengan kita menangani pandemik ini dengan mematuhi segala SOP yang dikeluarkan.

Sukacita saya ingin maklumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan melaksanakan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 yang merangkumi 7 langkah yang telah diumumkan semasa Bajet Negeri 2022 pada 12 Oktober 2021.

 

LANGKAH 1: DISKAUN BIL ELEKTRIK

Kerajaan Sarawak akan meneruskan inisiatif pemberian diskaun 5% sehingga 25% ke atas bil elektrik bulanan kepada pengguna Domestik, Komersil dan Industri mulai bulan Januari hingga Jun 2022.

Diskaun ini akan memberi manfaat kepada 647,000 isirumah, pengguna komersil dan industri di seluruh Sarawak. Kos keseluruhan diskaun bil elektrik ini berjumlah RM166.8 juta akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.

 

JADUAL 1: DISKAUN BIL ELEKTRIK

Kategori Pengguna

Diskaun

Jumlah Subsidi

(RM Million)

Domestik[1]

25%

97.7

Komersil C1[2], C2[3] & C3[4]

15%

53.7

Industri I1[5] & I2[6]

10%

6.1

Industri I3[7]

5%

9.3

JUMLAH SUBSIDI

166.8

 

LANGKAH 2: DISKAUN BIL AIR

Diskaun 10% hingga 25% ke atas bil air bulanan untuk pengguna Domestik, Komersil dan Industri akan diteruskan mulai Januari hingga Jun 2022. Diskaun ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 647,000 isi rumah di seluruh Sarawak. Kos keseluruhan diskaun bil air ini berjumlah RM24.0 juta akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.

JADUAL 2: DISKAUN BIL AIR

Kategori Pengguna

Diskaun

Jumlah Subsidi

(RM Juta)

Domestik (Isirumah penerima subsidi RM5 sedia ada)

25%

14.6

Domestik/Komersil

15%

7.6

Industri

10%

1.8

JUMLAH SUBSIDI (RM Juta)

24.0


LANGKAH 3: DISKAUN 50% SEWA SKIM PERUMAHAN PERBADANAN PEMBANGUNAN PERUMAHAN SARAWAK (HDC)

Diskaun 50% sewa Skim Perumahan HDC akan diteruskan bagi bulan Januari hingga Jun 2022. Langkah ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 3,200 penyewa Skim Perumahan HDC di seluruh Sarawak.

Kos keseluruhan diskaun ini dianggarkan melebihi RM2.6 juta.


LANGKAH 4: PENGECUALIAN BAYARAN SEWA KEPADA PENGUSAHA KECIL DAN SEDERHANA (PKS) YANG BEROPERASI DI PREMIS-PREMIS PERNIAGAAN MILIK BADAN-BADAN BERKANUN DAN SYARIKAT-SYARIKAT GLC NEGERI

Kerajaan Sarawak akan meneruskan pengecualian bayaran sewa kepada pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) yang beroperasi di premis-premis perniagaan milik Badan-Badan Berkanun dan syarikat-syarikat GLC Negeri bagi tempoh 6 bulan lagi iaitu Januari hingga Jun 2022.

Pengecualian bayaran sewa ini akan melibatkan kos sebanyak RM2.0 juta kepada Kerajaan Sarawak.

 

LANGKAH 5: DISKAUN 50% SEWA PASAR DAN GERAI

Diskaun 50% sewa pasar dan gerai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk penjaja dan peniaga kecil akan diteruskan bagi bulan Januari hingga Jun 2022.

Bantuan ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 10,165 penjaja yang berdaftar yang menyewa pasar dan gerai di bawah PBT.

Keseluruhan diskaun berjumlah RM1.7 juta akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.

 

LANGKAH 6 : ONE-OFF  INSENTIF KEPADA PENGUSAHA PENAMBANG, PENGENDALI VAN PENUMPANG BERDAFTAR, PEMANDU TEKSI, PENGENDALI BAS DAN VAN SEKOLAH YANG BERDAFTAR DI SARAWAK

Sarawak sekarang dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara, dimana sektor-sektor ekonomi dan sosial mula dibuka. Oleh itu, perkhidmatan pengangkutan awam amat diperlukan bagi membantu aktiviti sosioekonomi.

Oleh itu, bantuan tunai secara one-off  iaitu sekali sahaja sebanyak RM500 akan diberi kepada pengusaha penambang, pengendali van penumpang, pemandu teksi dan pengendali bas dan van sekolah di Sarawak bagi membolehkan mereka memberi perkhidmatan yang diperlukan.

Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 1,725 pengusaha dari sektor pengangkutan di Sarawak dan langkah ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM870,000.

 

LANGKAH 7 : ONE-OFF GERAN KEPADA PENJAJA DAN PENIAGA KECIL YANG BERDAFTAR DENGAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN MELALUI SARAWAK PAY

Bagi membantu para penjaja dan peniaga kecil untuk meneruskan kelangsungan aktiviti perniagaan mereka, Kerajaan Sarawak akan  memberi Geran Khas berjumlah RM1,000 secara sekali sahaja (one-off) kepada 87,500 penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan dalam tahun ini.

Bantuan Geran Khas ini akan melibatkan perbelanjaan Kerajaan Sarawak sebanyak RM87.5 juta.

 

KESIMPULAN

Saya berharap langkah-langkah dalam Pakej BKSS 8.0 dengan perbelanjaan sebanyak RM285.47 juta dapat  membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat.  

Bantuan ini merupakan komitmen Kerajaan Sarawak dalam usaha memulihkan sosioekonomi untuk kesejahteraan rakyat seperti pakej-pakej BKSS sebelum ini.

Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha memastikan semua langkah yang telah diumumkan dalam pakej BKSS memberi manfaat kepada golongan sasar.  

Oleh itu, saya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan memastikan bantuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seperti yang diumumkan dalam Pakej BKSS 7.0 dibayar kepada yang layak.

Jawatankuasa Penilaian bagi bantuan ini telah mengenalpasti 22,110 PKS dan 24,322 Perusahaan Mikro milik usahawan Sarawak yang layak mendapat bantuan.

Mereka telah dihubungi untuk menghantar dokumen perniagaan yang diperlukan secara online bagi membolehkan pembayaran dibuat. Ini penting kerana proses penilaian dilakukan melalui sistem pengkomputeran yang memerlukan maklumat perniagaan yang lengkap dan tepat.

EPU Sarawak telah menyediakan garis panduan penghantaran dokumen perniagaan melalui emel dan telah memuat naik infografik dan video di media sosial UKAS untuk membantu PKS dan Perusahaan Mikro sejak Oktober 2021.

Sehingga tarikh tutup pada Oktober 2021 sebanyak 12,809 PKS telah menghantar dokumen masing-masing. Walau bagaimanapun, sebanyak 9,955 atau 77.7% PKS didapati mengemukakan dokumen perniagaan yang tidak lengkap atau tidak tepat dan ditolak oleh sistem pengkomputeran, maka pembayaran tidak dapat dibuat.

Proses verifikasi sedang giat dijalankan dan sehingga Januari 2022 sejumlah RM20.6 juta telah disalurkan kepada PKS dan Perusahaan Mikro yang telah mengemukakan dokumen perniagaan yang lengkap.

Kerajaan Sarawak sentiasa memikirkan langkah-langkah yang terbaik dalam melaksanakan inisiatif bagi membantu meringankan beban rakyat.

Kerajaan Sarawak juga mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat agar terus terpelihara. Saya bersama dengan rakan-rakan dalam Kerajaan akan terus menyumbang bakti dan memberi khidmat demi Sarawakku Sayang.

Terima kasih.

Speeches By: YAB Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg